Selamat datang ke blog Smart Generation kami menyediakan pelbagai jenis barangan untuk anda pilih dengan harga berpatutan! kepuasan anda keutamaan kami!.Jangan lupa untuk follow blog ini ok..:-)..SMART GENERATION MENGUCAPKAN TERIMA KASIH ATAS SOKONGAN ANDA.

Selasa, 1 Oktober 2013

RAHSIA KEJAYAAN APPLE:SYARIKAT TERBAIK DUNIA 2013


Mereka bermula dengan wang sebanyak USD1,300 (RM3,900) yang diperoleh daripada hasil jualan kalkulator saintifik milik Stephen Gary Wozniak dan Volkswagen milik Steve Jobs. Dengan wang ini mereka menghasilkan sendiri komputer peribadi di garaj rumah keluarga Steve Jobs. Komputer-komputer ini kemudiannya dijual di pasaran dan pada April  1976,  syarikat Apple ditubuhkan.

Dan kini selepas 35 tahun (seusia dengan penulis), Apple merupakan antara syarikat korporat paling berjaya di Amerika Syarikat dan dunia dengan nilai pasaran saham sekitar USD200 billion (RM600 billion) dan hanya beberapa langkah di belakang pencapaian Microsoft.

Apakah yang menjadikan Apple sebagai syarikat korporat yang cukup dikagumi rakan dan pesaingnya? Produk-produk keluarannya seperti iPod, iPhone dan iPad menjadi rebutan di pasaran dan ini dapat dibuktikan apabila di Sydney,  beribu pembeli sanggup berkhemah di luar kedai dua hari sebelum iPhone4 dilancarkan?
Bukan setakat itu, produk keluaran Apple mempunyai golongan pembeli yang cukup setia di mana majoriti mereka yang menggunakannya tidak akan bertukar ke jenama lain walaupun harganya lebih mahal dari produk-produk lain yang seumpamanya.
Jika dirujuk pada majalah-majalah perniagaan di Amerika Syarikat, terdapat banyak faktor yang boleh disenaraikan sebagai penyumbang kepada kejayaan Apple ini. Namun, artikel ini akan menyenaraikan enam faktor utama yang dikenalpasti menjadikan produk-produk Apple sebagai antara produk yang paling berjaya dalam pasaran.]


Karisma Kepimpinan Steve Jobs

Percaya atau tidak Steve Jobs tidak mempunyai ciri-ciri bos idaman seorang pekerja. Beliau terkenal dengan gaya kepimpinan autokratik dan sukar untuk sesiapa bekerja di bawahnya. Mereka yang pernah bekerja dengannya mengatakan beliau bukan sahaja boleh mengubah keputusan yang telah dibuatnya dalam sekelip mata malah adakalanya beliau akan memalukan mereka yang tidak sependapat dengan pandangannya.
Visi yang idealistik
Tetapi di sebalik itu, Steve Jobs telah berjaya memulihkan Apple yang di ambang kejatuhan, menaikkan keuntungan syarikat dan mengembalikan imej Apple. Harga saham Apple telah meningkat lebih dari 8 kali ganda semenjak beliau menerajui Apple.
Walaupun beliau tegas dan keras dalam memimpin mengikut caranya sendiri, Steve dilihat sebagai seorang pemimpin yang bijak dan mempunyai visi yang idealistik iaitu ‘menghasilkan komputer sebagai suatu alat untuk mengubah dunia’ dan ini membuatkan ramai yang tertarik untuk bekerja dengannya.

Pencipta iPod dan iPhone ini meletakkan tanda aras yang tinggi untuk inovasi dimana beliau merupakan CEO yang sangat obses dalam memastikan produk-produk Apple sempurna dalam setiap perkara. Steve Jobs memastikan produknya adalah yang terbaik kerana beliau  percaya jika ‘anda menghasilkan sesuatu yang amat hebat, maka setiap orang akan mahu menggunakannya’.
Malah, dedikasi beliau pada penemuan baru dan kecemerlangan ini telah mencipta budaya yang menjadikan Apple sebagai simbol inovasi.

Matlamat yang Jelas


Di Apple, matlamat akhirnya bukannya untuk membuat keuntungan tetapi Apple meletakkan dengan jelas matlamat utamanya ialah untuk ‘merekabentuk, membangunkan dan membawa kepada pasaran produk-produk yang lebih bagus’. Apple percaya dari situ, orang ramai akan menyukai produk-produknya, mendapatkannya dan dari situlah mereka menjana pendapatan.

Kerana itu,  Apple memastikan agar mereka tidak hanya sekadar menghasilkan produk baru yang hanya sekadar berbeza dengan produk pesaing tetapi mereka memastikan produk yang dihasilkan lebih bagus serta mempunyai kualiti tinggi. Bagi Apple, sekadar menghasilkan produk yang  berbeza dan baru itu adalah mudah.
Penekanan pada aspek ‘lebih bagus’ pada produk Apple mencerminkan pendirian syarikat tersebut untuk tidak mahu menjadi sebuah syarikat yang berterusan mengeluarkan produk yang baru hanya semata-mata kerana mahu terus ‘hidup’ tanpa memikirkan kesan jangka panjangnya. Bagi Apple, adalah satu pembaziran apabila sesebuah syarikat itu menggunakan segala sumbernya yang ada termasuk masa bekerja pekerja hanya untuk mengeluarkan produk yang baru yang tidak memberi nilai baru pada pembeli.

Inovasi, Satu Cara Hidup


Inovasi merupakan jantung dan nyawa Apple. Di Apple, inovasi tidak dijadikan kenyataan yang ditampal di dinding One Infinite Loop, ibupejabatnya tetapi ia dijadikan cara hidup di syarikat tersebut. Mereka bukan setakat berfikir bagaimana untuk menghasilkan produk baru yang lebih bagus seperti iPod dan iTunes Stores (yang merupakan ‘kedai jualan’ muzik kedua terbesar di US selepas Walmart).

Tetapi mereka juga berterusan mengenalpasti jalan bagi menambahbaik produk sedia agar menjadi lebih bagus, contohnya seperti iPad 2 yang lebih 33 peratus lebih nipis, 15 peratus lebih ringan dan 2 kali lebih laju dari iPad 1. Begitu juga dengan iPod Nano yang merupakan inovasi dari produk asalnya iaitu iPod.

Produk yang mengujakan

Pembangunan produk baru di Apple bermula dari keberanian mereka menghasilkan produk yang benar-benar membuat diri mereka sendiri teruja terlebih dahulu dan adakalanya ia bermula dengan dengan mempersoalkan kemampuan produk sedia ada. Sebagai contohnya idea penghasilan iPhone bermula dengan soalan-soalan pelik seperti di bawah:
“Apa yang kita benci ? Telefon bimbit. Apa yang kita akan ada dengan teknologi sedia ada ? Telefon bimbit dengan Mac di dalamnya. Apa yang kita mahu miliki ? Sebuah iPhone.”
Dan setiap usaha inovasi di Apple diambil begitu serius sehingga ia dipanggil usaha ‘moon shot’ di US. (‘Moon shot’adalah istilah yang digunakan untuk merujuk kepada program angkasa lepas oleh NASA). Mereka bersungguh-sungguh memfokuskan segala sumber yang ada untuk menghasilkan sesuatu produk walaupun kejayaannya di pasaran masih belum pasti sepertimana produk Apple TV, G4 Cube dan MacBook Air yang tidak berjaya di pasaran.
Namun, sebagai sebuah syarikat yang berteraskan inovasi, kegagalan adalah lumrah bagi Apple. Apa yang penting bagi mereka, setiap usaha penghasilan produk inovasi wajib dibuat dengan bersungguh-sungguh kerana apabila produk itu berjaya, kejayaan yang dicapainya adalah besar dan mengatasi kegagalan produk-produk terdahulu.
Ini dapat dilihat jumlah jualan iPhone yang mencecah 45 juta di seluruh dunia setakat tahun 2010. Manakala jualan iPad pula mencecah 3 juta unit hanya dalam masa 80 hari pelancarannya.

Pasukan Kerja yang Istimewa


Tidak semua orang boleh bekerja dengan gaya kerja Steve Jobs dan tidak semua orang boleh bekerja dengan Apple walaupun mempunyai kemahiran dan pengalaman yang banyak. Apple memerlukan pasukan kerja yang mereka gelarkan sebagai ‘pasukan kerja yang istimewa’.
Setiap pekerja di Apple mempunyai fungsi tugas mereka sendiri tetapi terdapat ‘garisan halus’ di antara fungsi-fungsi tersebut di mana setiap dari mereka mesti mampu berkolaborasi atara satu sama lain walaupun mempunyai projek yang berlainan.

Mereka juga hanya akan mengambil pekerja yang merasa tidak puas atau cukup dengan apa yang ada. Pereka produk Apple mestilah seorang fanatik dalam menghasilkan produk yang benar-benar sempurna sehinggakan bentuk skru di bawah MacBook pun dipastikan selari dengan rekabentuk keseluruhan MacBook tersebut. Apple memerlukan pereka produknya mempunyai kepercayaan (belief), nyalarasa (passion) dan komitmen dalam mencapai kesempurnaan.

Kemampuan beremosi

Bagi jawatan jurutera, Apple bukan sekadar mencari mereka yang mempunyai kemahiran teknikal tetapi juga yang mempunyai kemampuan beremosi. Kemampuan beremosi di sini merujuk kepada nyalarasa dan daya tahan yang mampu mendorong diri jurutera tersebut untuk mengatasi segala halangan dari segi teknikal dan rekabentuk bagi memastikan sesuatu projek itu siap mengikut jadual.
Seperkara lagi, tekanan di kalangan rakan sekerja di Apple amat tinggi sehinggakan ketua sesuatu unit atau projek akan ditolak oleh orang bawahan sekiranya pencapaiannya lemah. Menurut Ketua Pegawai Operasi Apple iaitu Tim Cook, Apple bukan tempat bekerja bagi mereka yang mempunyai hati dan semangat yang lemah.

Mampu Membentuk dan Mewujudkan Pasaran Baru


Bagi Steve Jobs, sesuatu produk yang dihasilkan tidak semestinya kerana pasaran memerlukannya, tetapi apa yang penting adalah untuk ‘menghasilkan produk yang pasaran yang mahukan sebelum mereka sendiri sedar mereka mahukannya’. Kerana itu Steve Jobs diketahui tidak berpegang pada kaedah kajian pasaran, grup fokus dan sebagainya tetapi dia menghasilkan produk yang beliau mahukan.

Sebagai contohnya, ketika iPhone dan iPad mula-mula diperkenalkan, adakah sesiapa yang mahukannya sebelum ia dijual? Tetapi apabila ia telah djual, hampir setiap daripada kita mahu memilikinya.
‘Cool factor’
Kemampuan berkomunikasi dan perhubungan awam Steve Jobs dikatakan faktor utama produknya berjaya di pasaran. Realitinya itu hanyalah faktor penyokong, faktor utama kejayaannya adalah  faktor ‘cool’ (cool factor) yang ada pada produk tersebut yang terhasil dari  inovasi kreatif, rekabentuk unik yang bergaya, mesra pengguna serta pada harga yang munasabah.
Seperkara lagi, dalam menghasilkan produknya, Apple sedar apa yang penting kepada majoriti pengguna adalah pengalaman menggunakan produk tersebut bukannya teknologi di sebalik produk tersebut. Pengguna lebih teruja dengan kemampuan iPod menyimpan sehingga 1,000 lagu bukannya dengan spesikasi pemacu keras (hard drive) di dalam iPod tersebut.

Persepsi pasaran

Apple juga berjaya membentuk persepsi pasaran bahawa jenamanya adalah jenama berteknologi tinggi sepertimana jenama Chanel dan Polo dalam dunia fesyen. Produk-produk Apple telah menjadi produk yang mendefinasikan identiti pemiliknya di mana pemiliknya dipandang sebagai mereka yang inovatif, bijak, bergaya dan berbeza dengan orang kebanyakkan yang lain.

Rangkaian Produk yang Sedikit

Berbanding dengan pengeluar produk telefon bimbit dan komputer riba yang lain, Apple mempunyai rangkaian produk yang sedikit. Ini memudahkan pengguna untuk memahami perbezaan antara produk-produknya dan sekaligus memudahkan pembeli membuat kepurusan untuk membeli.

Sebagai contohnya  bandingkan di laman web berapa banyak jenis telefon pintar yang dijual iPhone dengan jenama Nokia dan Blackberry. Jumlah jenis telefon pintar iPhone boleh dikira hanya dengan satu jari sahaja.

Memfokuskan sumber

Justeru pendekatan yang digunakan Apple  adalah menghasilkan hanya beberapa produk dengan menggunakan segala sumber yang ada di tangan dan menjadikannya berjaya. Mereka percaya jika sesebuah syarikat  menggunakan sumber yang ada untuk mengeluarkan rangkaian atau jenis produk yang banyak, kualiti dan fungsinya akan menurun.
Ini kerana sumber untuk menghasilkan setiap produk  akan berkurangan dek kerana jumlah rangkaian dan jenis produk yang banyak mahu dihasilkan. Produk yang mempunyai kualiti dan fungsi yang rendah tidak akan mampu berjaya di pasaran.
Keenam-enam strategi yang digariskan di atas secara keseluruhannya menggambarkan moto Apple itu sendiri iaitu ‘Think Different’ atau berfikir dengan cara berbeza. Apple memilih untuk menggunakan pendekatan yang berbeza dalam menguruskan perniagaannya yang adakalanya bertentangan dengan teknik pengurusan tradisional yang telah lama diamalkan oleh syarikat-syarikat lain.
Dan perbezaan inilah yang akhirnya meletakkannya sebagai salah satu jenama dan syarikat korporat yang paling berjaya di dunia.






Tiada ulasan:

CARI ITEM PILIHAN ANDA DI SINI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

BORANG TEMPAHAN ONLINE (LENGKAPKAN SELEPAS PEMBAYARAN DI BUAT SAHAJA)

Powered by 123ContactForm | Report abuse