Selamat datang ke blog Smart Generation kami menyediakan pelbagai jenis barangan untuk anda pilih dengan harga berpatutan! kepuasan anda keutamaan kami!.Jangan lupa untuk follow blog ini ok..:-)..SMART GENERATION MENGUCAPKAN TERIMA KASIH ATAS SOKONGAN ANDA.

Khamis, 21 Oktober 2010

PEMBASMIAN HUTAN(DEFORESTATION) DAN KEPUPUSAN SPESIS (SPECIES EXTINCTION) DI MALAYSIA

DISEDIAKAN OLEH:MOHD ASRI BIN ZULKIFLI
                                    (EKOLOGI DAN BIODIVERSITI UM)


PENDAHALUAN:
Di Malaysia pada penghujung 1989 anggaran 18.5 juta hektar atau 56.3 peratus daripada bumi di Malaysia diliputi hutan. Hutan hujan tropika kaya dengan flora dan fauna. Di semenanjung Malaysia lebih kurang 8000 spesies tumbuh – tumbuhan berbunga yang direkodkan dan 2500 daripadanya ialah spesies pokok.Hutan bukan sahaja berfungsi sebagai habitat kepada flora dan fauna tetapi mempunyai kepelbagaian fungsi seperti sumber ubat-ubatan dan kawasan tadahahan air. Hutan Hujan Tropika Asia Tenggara adalah merupakan salah satu hutan yang tertua dan mempunyai ekosistem yang paling kompleks di dunia. Hutan-hutan seperti hutan bakau, hutan paya serta hutan pergunungan juga adalah termasuk dalam istilah tersebut dan wujud di Sabah. Ianya terkenal dengan kepelbagaian spesies hidupan yang wujud di dalamnya. Terdapat lebih daripada 3,000 spesis pokok asli di Sabah, Jumlah keluasan kawasan hutan di Malaysia dianggarkan melebihi separuh daripada keluasan tanah negara, iaitu 6.4 juta hektar di Semenanjung Malaysia, 4.7 juta di Sabah dan 9.4 juta hektar di Sarawak. Kebanyakan daripada kawasan hutan tersebut telah diwartakan sebagai hutan simpan kekal, taman negeri dan taman negara, atau lain-lain kawasan perlindungan hutan dalam usaha untuk memelihara pelbagai jenis hutan untuk generasi akan datang

Dalam membincangkan kepupusan flora ini kita lihat bagaimana orkid hutan yang cantik telah dilaporkan hampir pupus, faktor ini mungkin disebabkan oleh keadaan bumi dan perilaku manusia yang kian menggugat kestabilan alam.Malahan hutan sendiri berfungsi sebagai sumber ubat-ubatan dan kawasan tadahan air yang terpenting. Hutan sekunder merupakan  komponen utama hutan di kawasan Himalaya Tengah dan di bukit timur laut India.Pembasmian hutan di kawasan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh tekanan luaran daripada pengekstrakan balak untuk kegunaan industri. Pembasmian hutan  secara besar-besaran di luar kawasan ini ditambah pula dengan permintaan penduduk tempatan untuk makanan, kawasan ragutan dan kayu api, menyebabkan penggunaan sumber hutan yang seimbang sebelum ini, termasuk pengurusan hutan sekunder bekas ladang, terganggu. Memahami kaitan tempatan antara proses ekologi dan sosial adalah penting untuk merangka strategi ke arah pengurusan hutan sekunder secara mapan di kawasan ini, yang merupakan tempat tinggal masyarakat tradisional.Pendekatan khusus yang dicadangkan ialah mendapatkan faedah daripada warisan sosio-budaya yang berkaitan dengan spesies teras seperti Alnus nepalensis. Tradisi disekitar spesies teras ini dan juga spesies lain yang berkaitan, serta ciri-ciri ekologi tertentunya, membolehkan strategi pengurusan menyesuai dirangka untuk menyelesaikan kedua-dua masalah alam sekitar dan sosio-budaya. Dalam merangka rancangan pengurusan menyesuai seperti itu yang dapat beroperasi pada peringkat landskap yang melibatkan integrasi padu ekosistem-tani semula jadi dan yang diuruskanoleh manusia, suatu institusi yang sesuai perlu dirangka untuk memastikan penyertaan  penduduk.

PEMBASMIAN HUTAN(DEFORESTATION):
Pembasmian hutan dikenali sebagai proses pembersihan hutan dengan cara menebang dan membakar pokok. Selain daripada itu, menurut buku yang ditulis oleh Alan Grainger bertajuk ‘Controlling tropical deforestation’ mendefinasikan pembasmian hutan sebagai  proses pembersihan hutan samaada secara sementara atau kekal  untuk digunakan sebagai tapak pertanian atau bagi tujuan lain. Kunci  utama dalam definisi ini adalah ‘pembersihan’ . Jika kerja pembersihan tidak dilakukan, maka ia tidak dianggap sebagai pembasmiaan hutan.
Masalah pembalakan haram merupakan salah satu aspek yang terpenting dalam proses pembasmian hutan ini kerana pembalakan haram ini belaku tanpa kawalan daripada pihak berkuasa walaupun kerajaan ataupun pihak berkuasa telah mewartakan kawasan hutan tersebut sebagai khazanah kerajaan dan diwartakan sebagai kawasan hutan simpan kekal,Tetapi atas kerana sikap pentingkan diri dan keuntungan menyebabkan golongan ini tidak mengendahkan langsung mengenai perkara ini. Menurut laporan Trade Record Analysis of Fauna and Flora menyatakan antara 1986 hingga jun 1990 , 500,000 hektar hutan di Malaysia ditebang tetapi kawasan yang dibenarkan hanya 320,000 hektar sahaja. Pembalakan haram juga menebang spesies pokok yang dilindungi seperti Meranti dan Cengal, Membalak di kawasan perlindungan seperti di kawasan hutan simpan dan Taman Negara.Apabila kegiatan pembalakan dijalankan  juga memusnahkan spesies tumbuhan yang lain contohnya apabila pokok balak tumbang  juga akan memusnahkan tumbuhan kecil yang berada di sekitar itu.Pembakaran hutan secara terbuka seperti yang berlaku di Kalimantan dan Sumatera akan menyebabkan spesies-spesies yang terancam yang ada di kawasan tersebut akan musnah.Pembukaan kawasan pertanian baru seperti pembukaan tanah-tanah rancangan oleh Felda dan Felcra yang turut memusnahkan spesies tumbuh – tumbuhan.
Manusia memainkan peranan penting di dalam mempengaruhi evolusi flora selain daripada merubah komponen ekosistem hutan di sepanjang hayatnya. Kadang-kadang kegiatannya mempunyai kesan yang sedikit, tetapi kadang-kadang  manusia juga menyebabkan perubahan besar dalam vegetasi berkayu, atau kehilangan seluruh litupan pokok. Namun tidak semua gangguan tersebut membawa kemusnahan, tetapi masalah yang ditimbulkan sudah cukup kerap dan cukup serius untuk menimbulkan kerisauan kepada kita mengenai pembasmian hutan yang berlaku dan tahapnya yang berleluasa pada hari ini. Komponen ekosistem yang ternyata dipengaruhi oleh manusia ialah hakisan tanah yang terjadi akibat aktiviti-aktiviti pembalakan dan pertanian yang tidak terkawal. Hasil daripada hakisan tanah ini juga turut memusnahkan pelbagai spesies flora dan fauna selain daripada mengubah sistem aliran air di muka bumi. Pendedahan hutan kepada tindakan manusia telah juga mempengaruhi ciri-ciri semulajadi dalam ekosistem hutan. Pertambahan penduduk dengan sendirinya menuntut ruang-ruang hutan yang lebih luas untuk dieksploitasikan hinggalah mengubah sistem hidupan dan ekosistem hutan dan alam sekitar itu sendiri. Setiap barangan yang dijual menggalakkan lebih banyak lagi pemusnahan tumbuhan hutan hingga mengakibatkan hilangnya nilai-nilai biodiversiti hutan. Oleh itu, manusia berperanan dalam mempengaruhi kepelbagaian biologi dan perubahan yang terjadi terhadap haiwan, tumbuhan dan organisma organisma pelbagai  yang terdapat di hutan.

Pada era globalisasi dan moden ini , kecenderungan untuk menanam satu jenis tanaman di kawasan yang luas bererti menggalakkan kehadiran serangga perosak dan penyakit. Gejala-gejala ini boleh merebak dengan cepat ke atas spesies tanaman tunggal.Terdapat berbagai-bagai lagi cara ubahsuaian yang dilakukan oleh manusia malahan perubahan struktur  hutan tropika masih terus berlaku.Sebagai contoh terdapat kumpulan manusia yang mencari rezeki semata-mata sebagai pemungut hasil hutan. Mereka memungut bahagian tumbuh-tumbuhan liar yang boleh dimakan ataupun yang mempunyai nilai yang tinggi dalam perubatan moden dan tradisional. Biasanya kita membayangkan jumlah penduduk nomad ini tidak ramai dan mereka hanya mengambil sedikit sahaja bahan sehinggakan kesannya terhadap hutan hujan tropika adalah amat kecil dan boleh diabaikan. Bagaimanapun, bukti terkini menunjukkan bahawa sesetengah kumpulan telah mengakibatkan kepupusan beberapa spesies serta dapat menambahkan kehadiran spesies yang lain melalui pemilihan (Padoch & Vayda 1983).

Pertanian pindah merupakan sistem utama penggunaan tanah hutan yang diamalkan oleh petani di kawasan tropika. Oleh sebab amalan ini melibatkan penebangan dan kerap kali pembakaran hutan, diikuti oleh penanaman tanaman untuk beberapa tahun, jelas sekali kesan yang besar untuk jangka masa pendek akan dialami oleh hutan. Kesan jangka masa panjang sistem pertanian pindah yang stabil mungkin agak kecil, iaitu terutamanya daripada perubahan kekerapan spesies tumbuh-tumbuhan (misalnya mungkin terdapat lebih sedikit pokok kecil yang lembut dan mudah terbakar dan lebih banyak pokok buah-buahan dan kelapa sawit).
Bagaimanapun, jika populasi manusia yang lebih ramai menyebabkan tempoh penanaman menjadi lebih panjang dan tempoh ruang pula menjadi lebih singkat, sistem pembaikan semula jadi hutan tropika tidak lagi berupaya memulih semula kawasan untuk menjadi hutan biji benih. Oleh sebab hasil pertanian lazimnya berkurangan di bawah keadaan begini, sistem maklum balas yang positif dan pantas tertubuh, dan semakin banyak tanah memberikan hasil yang lebih rendah. Akhirnya, kawasan berkenaan mungkin ditinggalkan kerana tidak lagi mampu mengeluarkan hasil pertanian yang sewajarnya. Setiap tahun, kira-kira sejuta hektar bekas kawasan hutan tropika ditinggalkan oleh petani setelah kawasan merosot sepenuhnya.
Selain perubahan yang sebahagian besarnya tidak diingini ini, hutan tropika kian banyak digantikan dengan vegetasi lain secara sengaja. Di Dunia Baru terutamanya, jalur hutan yang luas terbentang telah ditukarkan menjadi padang rumput untuk menjadi padang ragut ternakan lembu. Di beberapa kawasan yang lebih subur dan tersalir bebas di Borneo, ladang yang dikuasai lalang Imperata lebih disukai kerana lebih mudah dibersihkan. Sementara itu, kawasan pedalaman yang lebih luas di kawasan pergunungan New Guinea terdapat ladang lalang yang sudah tua yang ditanam pada jeda-jeda tertentu.

Bagaimanapun, hutan yang telah terlalu banyak ditebang kerap ditukarkan sahaja menjadi ladang atau untuk kegunaan lain, walaupun terdapat minat yang bertambah dalam perhutanan yang disepadukan dengan pertanian. Perubahan yang lebih hebat mungkin berlaku pada masa depan disebabkan perkembangan dalam mekanisasi, dan dalam teknologi pulpa spesies campuran yang membolehkan keseluruhan hutan dituai dan batangnya ditukarkan menjadi kertas.Kesan pembasmian hutan yang paling nyata adalah penyingkiran tanah secara menyeluruh oleh larian permukaan semasa hujan lebat. Lazimnya kejadian ini lebih dahsyat lagi di kawasan cerun-cerun curam. Kesan ini sering ditemui khususnya di kawasan yang keseluruhan pokoknya telah ditebang menggunakan jentera berat, misalnya di sepanjang jalan yang baru dibina, atau selepas vegetasi berulang kali ditebang seperti dalam amalan pertanian pindah yang diiringi kitar penanaman yang kerap atau berpanjangan. Satu lagi contoh ialah hutan yang dijadikan padang rumput dan kemudian ragutan yang berlebih-lebihan diamalkan lalu menyebabkan terbentuknya galur sehingga sedalam 120 meter dan selebar 2 km seperti yang dilaporkan berlaku di Afrika Barat (Okigbo 1977).
Perubahan fizikal lain yang penting pada tanah hutan turut berlaku di kawasan lapang,di samping pemindahan sebahagian atau keseluruhan tanah hutan. Perubahan ini amat bergantung pada kaedah pembersihan yang digunakan, khususnya jika melibatkan jentera berat. Perubahan ini termasuklah perubahan dalam keupayaan tanah untuk menyimpan air, saiz liang dan penembusan air dan akar, serta nisbah komponen yang berbeza saiznya.Selain itu, lazimnya selepas pembakaran, secara kimia tanah akan menjadi lebih sesuai untuk pertumbuhan tanaman tetapi tidak lama kemudian menjadi kurang subur - misalnya disebabkan oleh larut lesap yang berlaku begitu pantas. Tambahan pula, pembakaran meruapkan sebahagian daripada nitrogen dan sulfur, serta karbon.Kawasan di dalam hutan yang telah diubahsuai juga lebih mudah dirosakkan oleh angin, atau berupaya menyokong perebakan api semasa cuaca kering.Pembasmian hutan yang berleluasa mungkin juga mengubah makro-iklim, malah juga akan mengurangkan jumlah jatuhan hutan bagi kawasan sejauh beribu-ribu kilometer dari kawasan hutan yang telah dibasmi itu.Organisma hidup di dalam ekosistem hutan amat terjejas oleh perubahan guna tanah yang berbagai-bagai cara samada secara langsung atau tidak langsung. Contohnya, pembuangan atau kematian tunggul, biji benih dan organ perenial yang lain di dalam tanah akan mengurangkan bilangan spesies tumbuh-tumbuhan tertentu, sementara yang lainnya (termasuk rumpai yang mendatangkan masalah) menjadi dominan. Jika spesies pokok dibalak secara memilih, populasinya turut berkurangan dari segi kepelbagaian genetik dan perkadaran pokok yang mempunyai bentuk batang yang sesuai untuk perhutanan. Kehilangan pendebunga atau agen penyebar bermakna pokok berkenaan akan pupus. Degradasi fauna turut berlaku. Sesetengah vertebrat yang lebih besar begitu mudah pupus jika sumber makanannya dimusnahkan atau jika bahagian hutan yang tinggal terlalu kecil utuk menampung populasi yang sedang membiak. Spesies serangga yang dahulunya mengakibatkan kerosakan kecil mungkin bertukar menjadi perosak.
Jelaslah daripada rumusan bahawa perubahan pada hutan hujan tropika kerap menghasilkan perubahan fizikal, kimia dan biologi yang mempunyai kesan jangka panjang yang sememangnya akan mengurangkan keupayaan ekosistem untuk memenuhi keperluan manusia.

PEMBASMIAN HUTAN DI MALAYSIA:
Malaysia terdiri daripada tiga kawasan utama iaitu Semenanjung Malaysia,Sabah dan Sarawak.Malaysia mempunyai tanah secara keseluruhannya adalah 33.2 hektar,yang mana semenanjung Malaysia meliputi lebih kurang 40 peratus ,Sabah 22 peratus dan Sarawak 38 peratus.Pada awal tahun 1980,lebih kurang 2/3 wilayah pembangunan adalah hutan semulajadi,manakala 3 juta hektar lagi adalah dibawah penanaman getah dan kelapa sawit.Populasi di Malaysia pada tahun 1997 adalah lebih kurang 21 juta dan 80 peratus daripadanya adalah di semenanjung Malaysia.Di semenanjung Malaysia proses pembasmian hutan ini banyak belaku dan dikenalpasti bermula pada abad yang ke-20.Perkara ini berkaitan dengan pembesaran dan peningkatan orentasi eksport dalam bidang penanaman dan pertanian.Di waktu perang dunia kedua,terdapat peningkatan penanaman tanaman seperti getah di Malaysia.Penanaman ini telah dikuasai oleh syarikat-syarikat asing daripada luar negara.Selepas daripada kemerdekaan,pada tahun 1960 dan 1970,penanaman kelapa sawit pula menjadi terkenal.Lebih kurang 1.12 juta hektar tanah hutan telah dibersihkan dan ditebang untuk penanaman kelapa sawit ini,dan 226,700 hektar tanah hutan telah di musnahkan untuk penanaman getah dalam tahun 1966 dan 1984 untuk milik pensedirian.Selepas 1956,FELDA  memainkan perana penting dalam membuat pembersihan dan pembasmian hutan untuk kegunaan pertanian.Pada lewat 1980,FELDA telah membangunkan hampir satu juta hektar tanah untuk pertanian terutama untuk penanaman kelapa sawit dan getah dan jumlah itu bertambah pada tahun 1986,yang mana sejumlah 4 juta hektar tanah telah digunakan.
Pembesaran pertanian dan pembasmian hutan di sabah tidak jauh beza dengan semenanjung Malaysia,tetapi dalam skala yang lebih kecil.Penebangan balak untuk tujuan komersial menjadi aspek paling penting dalam memusnahkan dan pembasmian hutan di sabah.Syarikat kayu British Borneo telah memonopoli penebangan balak di sabah pada tahun 1919 dan 1952.Selepas daripada perang dunia kedua,3 syarikat besar asing dan lapan syarikat firma tempatan telah membesarkan operasi pembalakan ini.Yayasan sabah telah ditubuhkan pada tahun 1966 untuk mengatasi pembalakan yang berleluasa ini.Kerajaan negeri sabah pada ketika ini telah mewartakan 855,000 hektar tanah pada tahun 1970.Lebih kurang 9 peratus kawasan tanah di sabah digunakan untuk penanaman.pada tahun 1989,yang mana tanah-tanah ini telah digunakan untuk penanaman getah,kelapa sawit dan koko.2.7 peratus lagi ditambah untuk penanaman pertanian seperti tanaman ruji iaitu padi.
Penanaman tumbuhan menjadi aspek penting dalam ekonomi sabah.Penanaman terbesar seperti kelapa sawit dan koko bertambah besar pada tahun 1980.Sebagai contoh kerajaan sabah telah membersihkan lebih kurang 33,00 hektar hutan untuk penanaman koko,kopi dan beberapa tumbuhan ruji dalam tahun 1977 dan 1988. Sabah merupakan salah satu daripada 13 buah negeri dalam Malaysia, dan terletak bahagian utara kepulauan Borneo, di antara garis lintang 4o dan 7o Utara Khatulistiwa. Sabah merupakan negeri kedua terbesar di Malaysia dengan keluasan daratan lebih kurang 7.37 juta hektar. Dikenali sebagai 'Negeri Di Bawah Bayu', Sabah adalah negeri yang bebas dari ancaman ribut taufan. Dengan iklim khatulistiwa dan taburan hujan antara 1700 - 5100 mm setahun, Sabah amat dipengaruhi oleh angin monsun Timut Laut yang melanda dari November hingga Februari. Pada masa kini, hutan Sabah melitupi kawasan lebih kurang 4.7 juta hektar, atau lebih kurang 63% dari jumlah keluasan tanahnya, termasuk hutan-hutan simpan, tanah negeri dan juga taman-taman.

Di sarawak,pembalakan adalah penyebab utama kepada pembasmian hutan.Bank Dunia mencadangkan 3.1 juta hektar tanah hutan di negara ini dibalak pada tahun 1980,2.3 juta di sarawak(World Bank,1991,p4).Menurut sumber daripada kerajaan Malaysia pada tahun 1990,lebih kurang separuh daripada 8.3 juta hektar tanah hutan di sarawak telah pun digunakan untuk tujuan pembalakan untuk memindahakan kayu-kayu balak yang bernilai tinggi.Kebanyakan saintis percaya operasi pembalakan ini telah memusnahkan 30 hingga 70 peratus pokok asal.Bnak Dunia Pada ketika itu menganggarkan pada hujung tahun 1980 industri pembalakan di sesebuah negeri memberikan peluang pekerjaan kepada lebih kurang 60 ribu penduduk tempatan dan 40 peratus daripada pekerja itu bekerja dalam industri pembalakan ini di selurh dunia(World Bank,1991,p7).
Pengalaman Malaysia dalam pembasmian hutan ini adalah berbeza daripada negara-negara maju yang lain.Dari segi pembangunan dan populasi penduduk tidak menajdi faktor utama dalam pembasmian hutan yang berlaku di Malaysia,tetapi punca dan sebab utama adalah untuk tujuan pembalakan dan pertanian.

KEPUPUSAN SPESIS(SPECIES EXTINCTION):

Tahap kepupusan sesuatu spesies tumbuhan akan bergantung pada jumlah spesies yang hadir dalam sesuatu lokasi hutan tersebut dan hanya terbatas pada tahap yang tertentu sahaja,taburan pembasmian hutan dan tahap gangguan atau penurunan kawasan mereka yang tetap di hutan (Whitmore dan Prance, 1987).
Menurut Graiger A(1993)kepupusan boleh diertikan sebagai berakhirnya riwayat suatu organisma atau kumpulan organisma (takson), biasanya kepupusan ini didahulukan dengan spesies. Pada umumnya, kepupusan spesies ini terjadi apabila matinya individu terakhir dalam suatu spesies. Kepupusan adalah suatu proses yang tidak boleh diundur semula walaupun menggunakan pelbagai teknologi dan cara untuk mengembalikan spesies yang telah mengalami kepupusan.
kadar kepupusan  semulajadi adalah satu spesies untuk 2 tahun dan distabilkan dengan kewujudan spesies pengganti yang mampu beradaptasi dengan persekitaran semasa. Akan tetapi, perbuatan manusia telah menyebabkan kadar kepupusan berlaku dengan lebih cepat. Suatu spesies mungkin menghadapi risiko kepupusan lebih awal apabila bilangan spesies jatuh dengan kadar yang rendah dan akan dipupuskan oleh kemarau, penyakit dan bencana yang lain. Pakar ekologi cuba untuk memahami bagaimana suatu populasi yang mempunyai bilangan individu yang sedikit mudah merudum bilangannya.
Menurut pandangan Wallace (1869) yang menyatakan bahawa Gugusan Kepulauan Melayu sangat kaya dengan spesies tumbuhan. Rasanya amat rugi, jikalau kawasan yang begitu kaya dengan sumber alam tidak dimanfaatkan dan diselidiki. Boleh dikatakan setiap kawasan habitat yang terdapat di Malaysia merupakan suatu makmal lapangan yang paling sempurna. Kesemua kehidupan yang terdapat di hutan hujan tropika sangat mengagumkan dan masing-masing mempunyai ciri-ciri yang tersendiri. Contohnya, berdasarkan diameter, bunga yang terbesar di dunia ialah bunga pakma (Rafflesia arnoldi), kalau dilihat dari segi ketinggian pula bunga Amormophullus titanum merupakan bunga yang tertinggi di dunia kerana ia boleh mencapai sehingga 2 m.Namun tumbuhan ini sedang diancam kepupusan di atas sikap dan perilaku manusia itu sendiri.
Kalau dilihat jenis tumbuhan yang terdapat sekarang terutama sekali tumbuhan yang tumbuh di bumi Malaysia, bukan sahaja terdapat bermacam-macam bentuk morfologi dan struktur pokoknya, namun terdapat juga pelbagai bunga yang cantik. Ini termasuk tumbuhan akuatik seperti teratai (Nympheae pubescens) dan telipok (Nelumbo nucifera). Tumbuhan-tumbuhan ini mudah dikaji terutama sekali yang masih hidup dan berbunga. Biasanya kitar hidup tumbuhan ini daripada biji benih boleh diikuti sehingga mencapai tahap dewasa oleh kerana keadaannya masih utuh. Sebaliknya flora fosil atau tumbuhan fosil tidak begitu diketahui. Walaupun spesies tumbuhan fosil ini memainkan peranan yang penting untuk mengesan dan menentukan evolusi tumbuhan (Mansor 1989).
Menurut ahli tumbuhan fosil dari Australia, White (1988), negara Australia bernasib baik kerana mempunyai simpanan rekod tentang kehidupan tumbuhan termasuk yang telah pupus, sejak 415 juta tahun yang lalu. Ini berdasarkan kajian tumbuhan fosil yang rekodnya masih disimpan. Permulaan organisma pertama yang meninggalkan air dan menuju ke daratan melalui kala geologi sehingga sekarang boleh dikesan dan diikuti di Australia. Tumbuhan berbunga atau Angiosperma yang termasuk monokot dan dikot merupakan jenis tumbuhan yang dominan hanya pada masa sekarang. Berdasarkan rekod geologi, kewujudan tumbuhan-tumbuhan ini dianggap bermula pada 125 juta tahun yang lalu.

Malaysia telah digolongkan sebagai salah sebuah dari 12 negara di dunia, yang dikenali sebagai pusat megadiversiti berdasarkan kekayaan dan kepelbagaian sumber asli, terutamanya tumbuh-tumbuhan. Pusat-pusat megadiversiti ini menampung sekurang-kurangnya 60% kepelbagaian spesies yang diketahui di dunia. Malaysia juga diperakui sebagai salah satu kawasan utama bagi endemisme spesies di mana kebanyakan spesies yang terdapat di negara ini adalah unik dan tidak ditemui di lain-lain tempat di dunia. Di Semenanjung Malaysia misalnya, lebih daripada 26% spesies pokok adalah edemik. Manakala, endemisme bagi spesies herba dianggarkan mencapai hingga ke tahap 80%.Sumber tumbuhan negara ini sangat kaya dengan kepelbagaian spesies dan secara konservatifnya, dianggarkan mengandungi lebih dari 15,000 spesies tumbuhan berbunga, lebih daripada 1,000 spesies paku pakis, dan sebilangan besar tumbuhan peringkat rendah seperti alga, briofit, liken dan kulat.Herbarium Kepong di FRIM atau singkatannya KEP terletak di Seksyen Botani, Bahagian Perhutanan dan Pemuliharaan, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) yang ditubuhkan sejak awal abad ke-20, telah lama dikenal pasti sebagai herbarium terbesar dan tertua di Malaysia. Bermula dengan koleksi sejumlah 481 spesimen sahaja pada tahun 1915, hari ini, jumlah koleksi tersimpan telah pun mencecah hampir 250,000 spesimen. Selari dengan fungsinya sebagai sebuah pusat rujukan tumbuhan yang terbesar, Herbarium Kepong telah turut secara dasarnya diiktiraf sebagai Herbarium Kebangsaan dan dijangkakan koleksi spesimen tumbuhan di herbarium ini akan bertambah menjadi dua hingga tiga kali ganda dalam tempoh sepuluh tahun akan datang. Koleksi di Herbarium Kepong mewakili hampir keseluruhan spesies tumbuhan yang terdapat di Malaysia dan kawasan serantaunya. Koleksi ini juga merupakan koleksi lama yang bersejarah dan amat berharga. Sebahagian dari koleksi yang terkumpul di sini merupakan spesies tumbuhan yang belum pernah dijumpai sebelumnya, spesies tumbuhan yang jarang dijumpai hampir pupus di negara ini. Manakala sebahagian besar dari koleksi tumbuhan di sini telah menjadi nadi tarikan kepada para penyelidik dalam mahu pun dari luar negara bagi menjalankan penyelidikan di bidang sains botani, ekologi, hortikultur dan lanskap. Koleksi-koleksi berharga ini sememangnya amat penting bagi kajian botanik terutama dalam pengukuhan sistem penamaan saintifik tumbuhan dan secara langsung turut menyediakan kemudahan bagi tatacara pengecaman tumbuhan.Sebahagian besar daripada kepelbagaian biologi negara masih perlu diselidiki dan didokumenkan. Kekurangan data menghalang usaha untuk mengguna dan menguruskan sumber tumbuhan negara dengan lebih baik. Pemusnahan habitat yang berterusan menyebabkan kehilangan kepelbagaian tumbuhan negara sebelum sebahagian besar daripadanya dapat didokumenkan. Kehilangan kepelbagaian biologi akan melibatkan kehilangan spesies yang berpotensi untuk dibangunkan dan dijadikan produk yang berguna kepada manusia.Koleksi tumbuh-tumbuhan serta ilmu pengetahuan yang tersimpan di Herbarium Kepong ini seharusnya dipelihara dengan baik. Dengan meningkatnya koleksi tumbuh-tumbuhan ini, lebih banyak ruang penyimpanan dan makmal kajian bersangkutan diperlukan. Kepentingan Herbarium Kepong serta pelbagai maklumat tumbuhan yang terdapat di sini seharusnya dipanjangkan untuk manfaat masyarakat setempat mahupun sejagat. Dengan penubuhan Pusat Diversiti Tumbuhan, dijangka hasrat ini akan dapat dipelihara dan direalisasikan demi kepentingan generasi akan datang.

KEPUPUSAN SPESIS TUMBUHAN DI MALAYSIA:
Pokok gaharu atau dikenali juga di Malaysia dengan nama lain seperti depu, karas atau engkaras merupakan pokok besar yang boleh mencapai ketinggian sehingga 40 meter tingginya. Diameter batangnya pula boleh mencapai sekitar 60 cm. Gaharu merupakan sejenis tumbuhan yang tumbuh di kawasan hutan hujan tropika, terutamanya di tanah rendah sehingga ke kawasan yang ketinggiannya sehingga 270 meter daripada paras laut. Secara keseluruhan terdapat 25 jenis pokok gaharu di dunia tetapi di Malaysia hanya ada 5 jenis iaitu Aquilaria Malaccensis (Depu,Kapas), Aquilaria Hirta (Chandan), Aquilaria Microcarpa (Garu), Aquilaria Beccariana (Gaharu,Tanduk) dan Aquilaria Rostata. Bagi masyarakat Malaysia, pokok gaharu atau depu hanya boleh didapati di dalam kawasan hutan belantara dan jumlahnya pula dilaporkan semakin sedikit atau hampir pupus sehingga ia disenarai dibawah CITES Apendix II pada 16 Febuari 1995. Kegiatan mencari kayu gaharu secara haram menjadikan tumbuhan itu kini semakin pupus kerana harganya, sama ada kayu (heartwood) atau minyak (damar) yang dihasilkan pokok itu adalah amat bernilai tinggi, lebih mahal dari harga emas.Tarikan kayu gaharu Malaysia dan nilainya yang amat tinggi merupakan magnet kepada pencari-pencari haram kayu gaharu terutamanya dari Thailand untuk menceroboh hutan-hutan negara ini sehingga ke Sarawak untuk mendapatkan tumbuhan berharga itu.Pokok gaharu boleh tumbuh di dalam hampir semua keadaan dengan penjagaan yang minimum, dan boleh mencecah ketinggian sehingga 40 meter manakala jejari batang pokoknya boleh membesar sehingga 60 cm.Bagaimanapun bagi pokok gaharu jenis Candan Gunung, ia hanya boleh tumbuh di kawasan yang mempunyai ketinggian 1,500 kaki dari aras laut, menjadikan ia lebih sukar ditemui dan dibiak.
Di Malaysia sebagai contoh,Pertumbuhan berbagai-bagai spesies palma menjadikan hutan hujan tropika Malaysia ini begitu unik dan jarang-jarang terdapat di negara-negara lain. Oleh sebab itu Malaysia terkenal sebagai negara palma dan merupakan negara yang terkaya dengan bilangan spesies palmanya selepas Amazonia.
Kekayaan alam semula jadi ini semakin hari semakin diancam kepupusan dan malangnya tidak ada penyelesaianya yang serius.Rancangan pemeliharaan dan pemuliharaan seolah-olah tinggal di atas kertas sahaja.Ancaman kepupusan banyak spesies Palma ini adalah disebabkan pembangunan fizikal kita yang tidak terkawal. Selain itu, banyak spesies palma kita yang endemik dan yang menarik dicuri oleh pemungut-pemungut palma ini,antara spesis yang mahal adalah Johannesteijsmannia altifrons, J. perakesnis, J. lanceolata, J. magnifica, Livitona endauensis, L. tahanensis dan banyak lagi yang mendapat tawaran harga yang mahal..

Pokok bunga orkid yang tinggal dalam kumpulan kelompok kecil yang kini kian mengecil dalam rimba hutan kinabalu,dan hutan-hutan di kawasan tawau dan tenom.Dua daripada beberapa jenis orkid yang mengalami ancaman kepupusan yang terdapat di negeri sabah adalah ``slipper orchid`` atau nama saintifiknya ``Paphiopedilum rothschildianum`` dan ``Elephant ear Orchid`` atau nama saintifiknya ``Phalaenopsis gigantea``.Penyelidik daripada UMS yang terdiri daripada Profesor Madya Dr. Vijay Kumar,Kenneth Rodrigues,Dr. Zaleha Abd Aziz dan Prof Madya Datin Dr. Mariam Abd Latip telah melakukan kajian dan penyelidikan mendalam keatas dua spesis orkid hutan yang diancam kepupusan.Dalam kajian mereka itu di dapati bahawa habitat semulajadi tumbuhan orkid adalah terdedah kepada ancaman bahaya jika sistem pengawalan hutan tidak di pandang serius.Sebagai contoh penebangan pokok-pokok kayu Balak merupakan salah satu daripada ancaman langsung kepada kitaran hidup habitat orkid ini.Ini adalah kerana pokok orkid tumbuh pada batang pokok kayu balak itu ataupun di kawasan sekelilingnya.Kedua-dua spesis ini telah dikenal pasti sebagai tumbuhan amat unik dan diancam kepupusan.







KESIMPULAN:

            Pembasmian hutan dan kepupusan spesis tumbuhan yang terdapat di Malaysia merupakan salah satu perkara dan aspek penting untuk generasi sekarang sedar akan perkara ini,kerana Melalui pembasmian hutan yang berleluasa akan menyebabkan spesis Tumbuhan yang terdapat di Malaysia akan terus diancam kepupusan jika pembasmian hutan ini tidak di kawal dan diberikan perhatian sepenuhnya.Pada hakikatnya, sistem biologi yang berasaskan hutan adalah amat kompleks dan sukar difahami, begitu juga dengan keadaan hidup berbilion-bilion manusia yang bergantung sepenuhnya pada hutan. Ternyata kestabilan dan keseimbangan alam sekitar telah dipengaruhi oleh tindakan-tindakan manusia untuk menakluki kawasan-kawasan hutan melalui berbagai aktiviti seperti meneroka hutan untuk pertanian contohnya pertanian pindah oleh Orang-orang Asli, penebangan pokok yang tidak terancang, pembakaran dan lain-lain lagi. Walaupun beberapa aktiviti kadangkala bertujuan untuk membangunkan ekonomi tetapi adakalanya aktiviti-aktiviti tersebut merupakan pencabulan kawasan oleh manusia yang perlu dibendung melalui undang-undang. Hutan hujan tropika telah banyak membekalkan kita dengan spesies-spesies yang berguna terutamanya tumbuh-tumbuhan untuk makanan dan pertanian, perubatan, estetik dan industri-industri yang bersumberkan tumbuhan hutan. Seandainya hutan-hutan ini masih terus kekal, nescaya masih banyak lagi peluang yang mampu disumbangkan untuk kehidupan sejagat.

RUJUKAN:

Collin,N.M,Sayer,J.A and Whitmore,T.c(eds) (1991) The Conservation Atlas Of       Tropical Forest:Asia And The Pacific.Macmillan,London
Jomo K.S,Chang Y.T,Khoo K.J(2004)Book Deforesting Malaysia,Zed Books Ltd,London
Ramakrishnan, P. S. & Kushwaha, S. P. S. (2001)728 Journal of Tropical Forest Science 13(4): 727–747 (2001)
 Sayer,J.A.,and Whitmore,T.C(1991) Tropical Moist Forest:Destruction And Species Extinction,Biological Conservation,55,199-214
Solon L.B and Krishna B.G(2000), Agricultural Expansion And Tropical Deforstation,Earthscan Publication Ltd,London
 Whitmore T.C and Sayer J.A (1992),Tropical Deforestation And Species Extinction.Chapman&Hall,London,1,8-12

3 ulasan:

AngahSayang2314 berkata...

heheh dpt lah ilmu buat tambah2

alep berkata...

terbaeeeekk!!!!

- berkata...

menarik.

CARI ITEM PILIHAN ANDA DI SINI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

BORANG TEMPAHAN ONLINE (LENGKAPKAN SELEPAS PEMBAYARAN DI BUAT SAHAJA)

Powered by 123ContactForm | Report abuse