Selamat datang ke blog Smart Generation kami menyediakan pelbagai jenis barangan untuk anda pilih dengan harga berpatutan! kepuasan anda keutamaan kami!.Jangan lupa untuk follow blog ini ok..:-)..SMART GENERATION MENGUCAPKAN TERIMA KASIH ATAS SOKONGAN ANDA.

Selasa, 26 Oktober 2010

ANALISIS MAHASISWA;LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA 2009


Penulis pada hari ini ingin membincangkan mengenai topik LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA BAGI TAHUN 2009.Laporan Audit yang telah dikeluarkan ini merupakan antara aspek terpenting dalam kita menilai prestasi kerajaan dan juga memastikan supaya segala peruntukan yang telah diberikan digunakan dengan sepenuhnya oleh agensi yang terlibat.Namun,setiap kali Laporan Ketua Audit negara ini dikeluarkan masih banyak lagi terdapat permasalahan yang berlaku dalam sistem dan pengurusan terutama yang melibatkan agensi-agensi kerajaan.Perkara 106 dan 107 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Audit 1957 menghendaki Ketua Audit Negara mengaudit Penyata Kewangan, Pengurusan Kewangan serta aktiviti Kerajaan Persekutuan dan mengemukakan Laporan mengenainya kepada Yang di-Pertuan Agong yang akan mengarahkan supaya Laporan itu dibentangkan di Parlimen. Bagi memenuhi tanggungjawab ini, Jabatan Audit Negara telah menjalankan 3 kaedah pengauditan seperti berikut :-
1.1. Pengauditan Terhadap Penyata Kewangan - untuk memberi pendapat sama ada Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan bagi tahun berkenaan menggambarkan kedudukan yang benar dan saksama serta rekod perakaunan mengenainya telah diselenggarakan dengan teratur dan kemas kini.
1.2. Pengauditan Pematuhan - untuk menilai sama ada pengurusan kewangan di Kementerian/Jabatan Persekutuan dilaksanakan mengikut undang-undang dan peraturan kewangan yang berkaitan.
1.3. Pengauditan Prestasi - untuk menilai sama ada sesuatu aktiviti Kerajaan dilaksanakan dengan cekap, berhemat dan mencapai objektif/matlamat yang telah ditetapkan.

Penulis melihat dalam laporan yang dikeluarkan ini masih terdapat banyak kelemahan yang telah didedahkan hasil daripada laporan ini.Namun,apa yang menjadi persoalan dalam pemikiran penulis apakah tindakan dan juga jalan penyelesaian yang telah diambil oleh kerajaan bagi menanggani isu ini.Apakah Laporan Ketua Audit Pada tahun 2008 yang merungkai pelbagai permasalahan yang melibatkan penggunaan wang negara serta prestasi agensi-agensi kerajaan telah diambil tindakan dan adakah SPRM telah pun menyelesaikan permasalahan yang telah dilaporkan pada tahun lalu?.Inilah perkara yang perlu diberikan perhatian setiap kali Laporan Ketua Audit Negara dikeluarkan.Bukan semata-mata permasalahan dan juga keburukan yang rakyat mahu ketahui tetapi adakah tindakan yang serius diambil bagi memastikan permasalahan yang telah berlaku itu ditanggani dengan serius.

Penulis ingin mengulas mengenai beberapa perkara yang telah dikeluarkan oleh Ketua Audit Negara dalam laporannya yang berakhir pada tahun 2009 menjelaskan antaranya Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang  mendedahkan bahawa hutang negara pada tahun lalu berjumlah RM362.39 bilion, iaitu paras yang paling tinggi dalam tempoh lima tahun.Hutang itu mencakupi 53.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar(KDNK), kali pertama keadaan itu berlaku dalam sejarah negara, kata beliau dalam laporan tahunan terbaru yang di bentangkan di Parlimen .Hutang RM362.39 bilion ringgit yang disebut dalam laporan audit itu juga jauh lebih tinggi daripada RM233.92 billion yang disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Parlimen Jun lalu.Ketika itu Najib juga mendakwa hutang itu hanya mencakupi 34.3 peratus KDNK.
Dalam laporannya , Ketua Audit Negara menjelaskan hutang kerajaan meningkat dengan mendadak kerana hutang dalam negara yang semakin membesar.Hutang kerajaan di dalam negara (domestic debt) pada tahun lalu adalah RM348.60 bilion atau 96.2 peratus keseluruhan hutang Kerajaan Persekutuan.Penulis berharap agar kerajaan dapat mengurangkan kadar hutang yang telah dijelaskan dalam laporan Audit ini.Kadar hutang yang paling tinggi dalam sejarah negara ini memberikan satu signal yang jelas kepada kerajaan untuk memastikan perkara ini ditanggani supaya negara akan dapat mengurangkan jumlah hutangnya bagi memberangsangkan sektor ekonomi dan menarik para pelabur ke dalam negara ini.


Jutaan ringgit dana rakyat dibazirkan oleh agensi kerajaan kerana sejumlah mesin pengimbas yang dibeli tidak digunakan sepenuhnya, demikian didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2009 yang dibentangkan di Parlimen
Ini termasuk empat mesin pengimbas jenis Mobile Rapidscan MAX 3345 dan sebuah jenis Portal THSCAN HS 3000 yang dimiliki oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan ditempatkan di pejabat jabatan berkenaan di seluruh negara yang menelan belanja sebanyak RM 31.96 juta.

Semua mesin ini yang dibeli pada 2003 itu didapati langsung tidak digunakan atau tidak digunakan secara optimum oleh agensi kerajaan berkenaan sejak beberapa tahun lalu kerana kekurangan pegawai yang berpengalaman mengendalikannya atau disebabkan masalah teknikal.  Tiada justifikasi, beli tanpa kelulusan Paling mengemparkan ialah pada 14 Januari tahun ini, Jabatan Kastam diberi kelulusan untuk melanjutkan tempoh kontrak perkhidmatan penyenggaraan secara rundingan terus selama dua tahun untuk pengimbas jenis Mobile Rapidscan Max 3345 di Kompleks Kargo, Tanjung Puteri sedangkan ia tidak beroperasi sejak 2006 dan dalam proses pelupusan.Anggaran kos kontrak penyenggaraan bagi tujuh mesin pengimbas jenis Mobile Rapidscan Max 3345 di seluruh negara itu berjumlah RM4.55 million."Pihak Auditor tidak dapat menentukan justifikasi pelanjutan tempoh kontrak berkenaan memandangkan Jabatan Kastam sedang menunggu keputusan pelupusan / dalam proses menjalankan kajian kesesuaian penggunaan semua mesin pengimbas tersebut," laporan audit itu dipetik.

Pihak Auditor juga mendapati sejumlah RM1.17 juta dibayar untuk penyenggaraan mesin pengimbas yang tidak beroperasi..Berhubung pengimbas Soter RS yang bernilai RM1.48 juta yang ditempatkan di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA yang dibeli pada Ogos 2008 untuk menangani penyeludupan dadah, Laporan Ketua Audit Negara mendapati pembelian dibuat tanpa mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan.“(Pembelian tanpa kelulusan) dibuat berdasarkan keperluan mendesak bagi mengimbas kemasukan barangan bahaya seperti dadah yang berada pada tahap membimbangkan.”

Namun pengimbas itu tidak dapat digunakan sehingga Januari 2010 kerana pegawai Jabatan Kastam tidak mempunyai kepakaran bagi mengendalikannya.Laporan itu juga mendedahkan sehingga 4 Februari tahun ini, pengimbas itu telah hanya digunakan untuk lapan kali.Penulis melihat bahawa pendedahan ini merupakan salah satu indikator penting dalam kita mengukur prestasi agensi-agensi di bawah kerajaan.Sememangnya perkara ini suatu pembaziran yang terbesar bagi negara.Seharusnya negara menggunakan wang ini untuk perkara yang lebih menguntungkan rakyat.Selain itu,kelemahan yang didedahkan juga membuktikan bahawa tiada kajian yang serius dalam membeli barangan untuk agensi kerajaan kerana kurang kepakaran dalam sektor ataupun bidang ini.Perkara ini seharusnya dipandang serisu oleh pihak kerajaan.

Hampir 82 peratus permohonan yang diterima oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi tahun 2008 dan 2009 masih belum diproses.
Menurut Lapran Ketua Audit Negara, 61 peratus daripada 103,525 borang yang diterima pada 2008 dan semua 124,070 borang yang diterima pada 2009 masih belum diproses.Pasukan audit juga mendapati borang yang tidak lengkap disusun dalam keadaan yang tidak teratur di pejabat Unit Perjanjian di ibu pejabat PTPTN.Malah, laporan itu juga menyiarkan gambar bagi membuktikan dokumen berkenaan hanya ditutup dengan kanvas dengan penerangan ngambarnya menjelaskan ia bertujuan melindung dokumen itu daripada siling yang bocor.
"Pada pendapat kami, PTPTN sepatutnya melengkapkan perjanjian pinjaman pelajar dengan menandatanganinya pada kadar segera."Sebagai tambahan, (borang) perjanjian mesti disimpan dalam cara yang teratur bagi memudahkannya dicari,” petik Laporan Ketua Audit Negara yang diedarkan kepada ahli parlimen hari ini.Menurut laporan itu, PTPTN akan menghadapi aliran tunai defisit RM45.89 bilion menjelang tahun 2016.Penulis juga menganggap perkara ini perlu dipandang serius oleh pihak kerajaan.Seharusnya kerajaan perlu memastikan bahawa perkara dan dokumen penting sebegini perlu diselesaikan dengan kadar yang segera.Pertambahan kakitangan ataupun mengubah sistem yang sedia ada daripada borang kepada sistem online perlu dilakukan dengan segera supaya permasalahan ini tidak akan berlaku lagi.Penulis boleh jangkakan jika perkara ini berterusan berlaku PTPTN tidak akan mampu lagi untuk memberikan pinjaman kepada para pelajar dan Semua Bank tidak mahu lagi berurusan dengan PTPTN dan perkara ini akan menjejaskan masa sepan pengajian tinggi negara.

Dalam laporan Audit yang dikeluarkan ini juga menyatakan bahawa prestasi kementerian dan jabatan kerajaan bertambah baik.10 kementerian dan empat jabatan mencapai tahap cemerlang dalam prestasi pengurusan kewangan pada 2009 dengan memperolehi 90 markah ke atas berbanding dengan hanya empat kementerian dan dua jabatan pada tahun sebelumnya.Laporan Ketua Audit Negara 2009, yang dikeluarkan , berkata kementerian yang dinilai cemerlang ialah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.Kementerian lain ialah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.Jabatan yang mendapat markah cemerlang pula ialah Agensi Nuklear Malaysia, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Laut Semenanjung Malaysia dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia.Sementara itu, 15 kementerian dinilai sebagai baik dalam prestasi pengurusan kewangan pada 2009 dengan memperoleh markah antara 80 dan 89, manakala 36 jabatan/agensi memperoleh antara 70 dan 89 markah.Tiga jabatan memperoleh tahap memuaskan dalam pengurusan kewangan dengan markah antara 60 dan 70 bagi tahun 2009.Pada keseluruhannya, prestasi pengurusan kewangan di peringkat kementerian dan jabatan bagi 2009 bertambah baik berbanding 2008, kata laporan itu.Semakan Audit selanjutnya terhadap 25 kementerian mendapati secara umumnya, tiga daripada enam kawalan utama berada pada tahap cemerlang iaitu Kawalan Pengurusan, Perbelanjaan dan Terimaan manakala Kawalan Bajet, Pengurusan dan Akaun Amanah/ Kumpulan Wang Amanah dan Deposit serta Pengurusan Aset dan Stor didapati pada tahap baik.Bagi 44 Jabatan pula, lima kawalan utama kecuali Pengurusan Aset dan Stor mendapat tahap baik. Pengurusan Aset dan Stor hanya mencapai tahap memuaskan.Laporan Audit itu turut mengesyorkan beberapa cadangan untuk memantapkan lagi prestasi pengurusan kewangan termasuk Pegawai Pengawal/Ketua Jabatan mengambil tindakan "corrective dan preventive" (membetulkan dan mencegah) terhadap kelemahan yang dibangkitkan Jabatan Audit Negara dan mempertingkatkan penglibatan pegawai pengawal dan ketua jabatan secara "hands-on" dalam perkara ini.Ia juga mengesyorkan tindakan surcaj atau tatatertib dikenakan terhadap mereka yang gagal memungut hasil atau membuat bayaran yang tidak teratur.


Hospital Angkatan Tentera di kem Kinrara, Puchong yang dikenali sebagai '95 Hospital ATM' dibina di bawah tahap spesifikasi sekalipun harga asalnya dikekalkan.Dibina pada harga sebanyak RM267.89 juta, kontraktor dikatakan mengambil jalan mudah dengan membuat pindaan terhadap skop kerja - tanpa memaklumkan kepada Kementerian Kewangan.Ia termasuklah membatalkan pemasangan penghawa dingin di semua kawasan koridor dan laluan di bangunan hospital.Dalam Laporan Ketua Audit Negara 2009, didapati beberapa skop kerja diturunkan tarafnya termasuklah:Keluasan bangunan hospital dikurangkan sebanyak 7,000 meter persegi.,Mengurangkan sistem interkom kepada 15 stesen kritikal sahaja berbanding 52 stesten yang sepatutnya.,Kemudahan seperti rumah keluarga untuk pegawai dan pangkat-pangkat lain, Wisma Perwira serta Wisma Bintara tidak dibangunkan atau dibina.,Peralatan perubatan telah dikurangkan kepada 60 peratus daripada sasaran asal.Laporan ini juga mendapati bahawa Project Management Consultant (PMC) - penyelaras antara klien dan kontraktor - QMC Project Sdn Bhd, dikatakan telah bertindak secara tidak profesional dan ini menyebabkan "kesalahfahaman" terhadap kos projek."Secara realistik tidak berlaku sebarang pengurang skop tetapi kesalahfahaman dan perkhidmatan PMC yang tidak profesional," laporan itu dipetik.Penulis mengharapkan pihak kerajan sedar akan perkara yang telah berlaku ini.Pemberian kontrak kepada kontraktor yang tidak menjalankan kerja mereka dengan baik perlu di kaji semula.Jika perkara ini tidak ditanggani banyak lagi pembinaan bagunan kerajaan akan memberikan masalah kerana kontraktor tidak mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan,justeru tidak mustahil berlaku stadium bumbung runtuh di terengganu,syiling mahkamah jalan duta dan bangunan agensi kerajaan, dan parlimen bocor serta lantai bangunan sekolah runtuh.

Selain itu,suatu lagi pendedahan yang mengejutkan iaitu Kanak-kanak sekolah yang dijanjikan roti sandwich sardin tetapi hanya dibekalkan dua keping roti dengan marjerin.Perkara itu didedahkan dalam laporan Ketua Auditor Negara 2009 yang mendapati Rancangan Makanan Tambahan oleh kerajaan tidak menepati apa yang serpatutnya seperti yang berlaku di SK Jeroco di Lahad Datu.
Selain sardin, sandwich yang dijanjikan itu sepatutnya juga mempunyai timun, tomato dan salad, tetapi kanak-kanak itu cuma dibekalkan dengan marjerin.

Selain SK Jeroco, pembekal makanan di lima sekolah rendah yang lainj sekitar Malaysia juga didapati membekalkan kualiti makanan yang jauh lebih rendah daripada menu yang dicadangkan mengikut Rancangan Makanan Tambahan di sekolah-sekolah.

"Selepas maklum-balas daripada pakar pemakanan daripada jabatan pemakanan, Kementerian Kesihatan, kami dapati makanan daripada menu yang dibekalkan boleh menyebabkan pemakanan yang tak seimbang dan akan membantutkan perkembangan fizikal dan mental kanak-kanak,” petik laporan Ketua Audit Negara itu.Enam lagi pembekal didapati menyediakan makanan yang langsung berbeza dengan apa yang dicadangkan dalam program itu, lazimnya makanan berkenaan bernilai lebih rendah daripada sepatutnya.

Rancangan Makanan Tambahan diperkenalkan 30 tahun lalu bagi memberi kanak-kanak kurang berkemampuan makanan percuma pada nilai RM1.80 (di Semenajung Malaysia) dan RM2.05 (di Sabah dan Sarawak).Namun, laporan Ketua Audit Negara mendapati beberapa kontraktor terus menipu dalam pembekalan makanan kanak-kanak.

Antaranya adalah apa yang berlaku di SJK(C) Choong Hua 2 di Bidor, Perak. Pembekal makanan kantin menyediakan bungkusan mee segera kepada kanak-kanak, di mana sepatutnya mereka dibekalkan dengan bihun goreng.
Antara alasan lazim yang dikemukan oleh sekolah dan juga pembekal adalah “kesukaran mendapatkan bahan mentah, khususnya untuk sekolah di kawasan pedalaman.Laportan Ketua Audit Negara itu juga mendedahkan kualiti makanan yang rendah di beberapa hospital."Dalam persampelan, kami dapati Hospital Sultan Ismail Hospital membekalkan makanan yang berkualiti rendah. Ayam gorengnya masih berdarah, manakala Hospital Besar Pulau Pinang pula menyediakan sup sayur yang mempunyai rambut di dalamnya,” petik laporan itu.

Penulis juga melihat bahawa isu ini sememangnya serius dan kebiasaanya berlaku di semua tempat.Sikap mereka yang inginkan keuntungan dengan cara yang kotor mengakibatkan perkara sebegini sering berlaku.Semoga pendedahan yang dilakukan ini akan membuatkan kerajaan sedar dan sentiasa melakukan pemantauan yang berterusan.Penulis beranggapan bahawa kebanyakan peruntukan yang diberikan kerajaan kepada golongan tertentu ini kadang-kadang tidak sampai atau hanya sampai separuhnya sahaja.Golongan yang menyalahgunakan harta kerajaan dan wang rakyat ini perlu diberikan hukuman dan pengajaran.Kes seumpama ini sememangnya berlaku disemua kawasan dan tempat.Kebanyakan mereka yang telah dipertanggungjawabkan tidak menjalankan amanah dengan sepenuhnya.Jika kerajaan membiarkan perkara ini berterusan berlaku akan mengakibatkan rakyat tidak akan lagi percaya kepada kerajaan.

``SEMOGA LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA 2009 INI MEMBERIKAN MOMENTUM BARU KEPADA AGENSI KERAJAAN DAN PELAKSANAAN YANG MENYELURUH PERLU DIMAINKAN OLEH KERAJAAN BAGI MEMASTIKAN PERKARA SEBEGINI TIDAK AKAN BERLAKU LAGI DAN KERAJAN AKAN MENJADI KERAJAN KELAS PERTAMA DI DUNIA.``

SEKIAN...


PENULIS;Mohd Asri Zulkifli,Presiden Kolej-Kolej Kediaman Universiti Malaya(SPKUM)

Tiada ulasan:

CARI ITEM PILIHAN ANDA DI SINI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

BORANG TEMPAHAN ONLINE (LENGKAPKAN SELEPAS PEMBAYARAN DI BUAT SAHAJA)

Powered by 123ContactForm | Report abuse