Penulis mahu membuat ulasan berkenaan Program Transformasi Ekonomi yang telah diperkenalkan oleh kerajaan di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.Program Transformasi Kerajaan (GTP) diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak pada bulan April 2009, dan akan diterajui oleh beliau. Dua objektif GTP adalah – pertama, untuk mentransformasikan kerajaan agar menjadi lebih efektif dalam penyampaian perkhidmatan dan bertanggungjawab atas keberhasilan yang menjadi keutamaan kepada rakyat; dan kedua, memacu Malaysia ke arah melahirkan masyarakat yang maju, bersatu-padu dan saksama dengan standard kehidupan yang tinggi untuk semua. Ini sejajar dengan misi nasional ke arah mencapai Wawasan 2020 – untuk Malaysia mencapai status negara maju sepenuhnya.
Enam NKRA telah dikenalpasti untuk menuju ke arah transformasi Kerajaan dan ianya adalah:
1.Mengurangkan jenayah
2.Membanteras rasuah
3.Mempertingkatkan pencapaian pelajar
4.Mempertingkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah
5.Mempertingkatkan infrastruktur asas luar bandar
6.Mempertingkatkan pengangkutan awam bandar
Penulis melihat daripada aspek perancangan Dasar yang di bawa kerajaan ini sesuatu yang amat baik dan diadun dengan begitu rapi sekali agar dapat diterima oleh semua lapisan rakyat.Namun apa yang benar-benar mengelirukan Penulis adalah bagaimana kerajaan mahu melaksanakan dan merealisasikan perkara ini mengikut kaedah yang benar-benar dapat menyakinkan rakyat secara keseluruhannya.Apa yang penulis lihat bahawa dasar-dasar baru yang diperkenalkan oleh kerajaan ini merupakan kaedah yang biasa digunakan dalam organisasi korporat dan harus di ingat bahawa kerajaan bukan entiti korporat.Kalau benar sangkaan penulis,kerajaan perlu tahu bahawa badan korporat mementingkan keuntungan semata-mata.Bukan mereka peduli nasib dan penderitaan orang lain,kerana keuntungan merupakan perkara yang paling utama.Sebab itu penulis tidak hairan apabila kerajaan mahu menjadikan Malaysia sebagai hab hiburan untuk mendapatkan keuntungan.Kerajaan sudah tidak mempedulikan lagi persoalan nilai dan moral ini.
Pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu menjadikan Malaysia sebuah hab pusat hiburan malam bagi memacu industri pelancongan mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP).Ini akan dilaksanakan dengan penubuhan beberapa kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama ,melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dan “mempakejkan” semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP.Menurut perancangan ETP yang dikeluarkan , ia adalah sebahagian daripada 12 projek permulaan (EPP) yang bertujuan memperkasakan sektor pelancongan agar ketibaan pelancong dapat dipertingkatkan.Langkah itu dijangka mendapat bantahan golongan konservatif agama yang sebelum ini telah berulang-kali berdemonstrasi membantah kehadiran penghibur antarabangsa. Sasaran terbaru mereka adalah bintang sensasi Amerika - Adam Lambert yang seorang 'gay'.Satu daripada 12 EPP itu adalah melonggarkan syarat ketat bagi penganjuran konsert dan majlis antarabangsa, yang sekarang ini dikatakan banyak menghindarkan penghibur antarabnagsa ke negara ini.Mulai suku terakhir 2010, acara antarabangsa yang menampilkan penghibur antarabangsa yang memenuhi tiga kriteria minimum dikecualikan daripada tertakluk kepada syarat-syarat ketat Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal).Kriteria berkenaan adalah:
- Penarafan kelas A berasaskan pada kedudukan 100 teratas carta Billboard sejak lima tahun yang lalu;
- Menarik 2,500 penonton bagi setiap acara; dan
- Telah membuat pertunjukan di tiga tempat antarabangsa.
Selain mematuhi syarat Puspal, mereka bakal tertakluk kepada “garis panduan yang lebih fleksibel”, pelepasan cukai, perlonggaran daripada imigresen untuk menjadikan Malaysia hub majlis acara antarabangsa.
Untuk meminda garis panduan Puspal, seperti yang dicadangkan, jawatankuasa Puspal akan bekerjasama dengan agensi-agensi lain yang terlibat (majlis tempatan, Jabatan Imigresen, dan Kementerian Kewangan). Kementerian Pelancongan akan memantau dan menjejak proses pelaksanaan.Jumlah pelaburan yang diperlukan adalah RM467 juta dan akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan. Kerajaan menjangkakan ia akan memberi pendapatan negara kasar sebanyak RM427 juta dan mewujudkan sebanyak 8,000 peluang pekerjaan.Lebih mengejutkan lagi EPP juga mencadangkan penubuhan zon hiburan di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu bagi menggandakan pendapatan hiburan malam Malaysia kepada RM1.8 bilion menjelang 2020. Langkah itu akan menyaksikan penubuhan enam kelab malam baru yang mampu menampung kehadiran 900 pengunjung pada hujung minggu menjelang awal 2012. Dua lagi akan beroperasi pada 2013 dan 2014."Menjelang 2014, akan terdapat sekurang-kurang 10 kelab malam di zon hiburan. Ini akan menghasilkan impak pendapatan kasar negara RM0.7 bilion dan mewujudknan 5,614 pekerjaan baru menjelang 2020," petik laporan itu.Bagi mencapai hasrat itu, liberalisasi beberapa peraturan hiburan akan dilaksanakan, termasuk membenarkan pelanjutan had waktu beroperasi bagi pusat hiburanKawasan hiburan yang sedia ada dikatakan tidak memadai untuk mencapai pertumbuhan yang diharapkan memandangkan purata kadar penghunian hujung minggu bagi kelab malam di bandar adalah sebanyak 85 hingga 90 peratus.Menerusi kerjasama dengan Greater KL/KV NKEA, dipersetujui bahawa lokasi berpotensi bagi kawasan hiburan baharu ialah kawasan di sekitar Central Market.Kawasan ini akan direkabentuk untuk menarik pelancong dengan kemudahan 24 jam, keselamatan awam yang mencukupi, pengangkutan dan infrastruktur, tetapi ia akan kekal terpisah dari kawasan kediaman dan keagamaan.
Pasar malam, pasar tani, pasar minggu dan pasar tamu akan menjadi nostalgia apabila ia bakal digantikan dengan Pasar Komuniti, mengikut bidang ekonomi utama negara (NKEA) melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dilancarkan.Tujuan rancangan kerajaan itu adalah menyelaraskan beberapa pasar berkenaan dan menyatukan mereka di lokasi-lokasi yang mempunyai persekitaran yang kondusif.“Pada masa ini, pasar-pasar tersebut menghadapi cabaran prasarana. “Mereka beroperasi di beberapa lokasi sementara (contohnya,; padang permainan,tempat letak kereta, di tepi jalan raya) yang sering menyumbang kepada kesesakan dan keadaan kotor,” petik laporan ETP itu.Projek ini dijangka menyaksikan peniaga terpaksa berbelanja lebih kerana pasar tradisional mereka sekrang ini adalah murah - mereka boleh menyewa satu lot untuk kurang RM10 sehari.Bagi menyusun semula peniaga berkenaan, projek ini memerlukan dana swasta dan pelaburan RM15.5 bilion bagi membantu memperuntukan pinjaman pada kadar faedah yang lebih rendah, menyediakan pembiayaan atau rundingan bagi mendapatkan kadar bayaran lesen kenderaan dan lesen gerai jualan yang lebih rendah kepada peniagaan.Inisiatif Pasar Komuniti yang dicadangkan itu dikatakan akan menghasilkan pendapatan tambahan sebanyak RM8.8 bilion pendapatan negara kasar setahun dan mewujudkan 141,000 pekerjaan menjelang 2020.Projek yang sama juga akan menyaksikan penjaja yang menjual makanan di gerai-gerai jalanan ditempatkan di pusat makan sehenti yang dinamakan Bazaar Makan di mana pengunjung boleh mencuba dan menikmati masakan Malaysia dan antarabangsa yang terbaik Pusat makan besar premium itu turut akan mempunyai kedai makanan ternama seperti restoran keluarga, restoran perkhidmatan segera, kafe, bar dan restoran mewah.Pusat makanan ini juga akan menyediakan daya tarikan seperti taman pancaindera, permainan dan gelanggang acara dan taman permainan, dan kedai runcit kecil seperti kedai serbaneka dan surat khabar.Setiap Bazaar Makan yang didirikan akan bersaiz lebih kurang 9,000 meter persegi, dengan kapasiti tempat duduk sekitar 3,500 orang.Sejumlah 10 Bazaar Makan akan dibina dalam tempoh 10 tahun akan datang di bandar-bandar utama di Malaysia dan usahasama ini akan diuruskan secara persendirian dan oleh Wesria Food Sdn Bhd.Projek ini melibatkan pelaburan dan pembiayaan sebanyak RM270 juta, di mana hampir 90 peratus daripadanya dicadangkan dari sektor swasta.Kerajaan berharap Bazaar makan ini mampu akan menghasilkan pendapatan tambahan sebanyak RM230 juta pendatan dalam negara kasar setahun dan mewujudkan 4,200 pekerjaan baru menjelang 2020.
Penulis melihat bahawa salah satu rancangan kerajaan bagi menjayakan Program Transformasi Ekonomi ini telah menyebabkan rakyat semakin meragui kerajaan sekarang ini.Kewujudan Hab hiburan secara besar-besaran bagi memastikan peningkatan ekonomi dalam bidang pelancongan seolah-olah menjadikan Malaysia seperti LAS VEGAS kecil.Memang perlaksanaan itu akan menguntungkan kerajaan,malahan berkali-kali ganda lagi keuntungan itu.Tetapi penulis mahu mempersoalkan kepada kerajaan,Apakah maknanya keuntungan itu apabila kerajaan seolah-olah lupa mengahncurkan nilai dan budaya dalam masyarakat kita terutama golongan muda.Sekarang inipun persoalan moral remaja semakin berleluasa dan kerajaan sudah menemui jalan buntu,tetapi ditambah lagi dengan beban untuk menjadikan Malaysia sebagai hab hiburan.Kerajaan mahu mewujudkan pekerjaan baru,dan pekerjaan baru untuk golongan remaja ini menjadi pelayan di bar-bar.Adakah ini maksud sebenar kerajaan?
Masih belum terlambat bagi kerajaan menilai perkara ini.Kerajaan harus ingat.Tempoh berkuasa hanya 5 tahun sahaja dan selepas itu rakyat yang akan tentukan.Rakyat mempunyai kelebihan dalam demokrasi.Segalah hak dan tuntutan rakyat bukan perkara yang boleh diremeh-remehkan.Rakyat Malaysia bukan lagi golongan bodoh dan tidak berakal dan mudah di tipu.Tetapi rakyat Malaysia sekarang ini sudah tahu menilai yang mana baik dan yang mana buruk bagi mereka.Semoga kerajaan sedar akan perkara ini dan menilai kembali proses untuk menjadikan Malaysia sebagai hab hiburan.
PENULIS:MOHD ASRI ZULKIFLI,PELAJAR TAHUN AKHIR UNIVERSITI MALAYA.