BLACKBERRY akan dijual kepada konsortium pelabur yang merancang untuk menswastakan syarikat telefon pintar itu dengan harga AS$4.7 bilion (RM15.1 bilion).
Perjanjian surat hasrat telah ditandatangani dengan konsortium yang diketuai Fairfax Financial Holdings Limited yang menawar untuk membelinya tertakluk kepada semakan mendalam.
Firma Kanada, Fairfax yang memiliki kira-kira 10 peratus saham BlackBerry juga merupakan pemegang saham terbesar syarikat itu.
Di bawah perjanjian ini, konsortium akan menawarkan AS$9 (RM28.95) bagi setiap saham tertunggak dan Fairfax juga akan menyumbangkan sahamnya dalam urus niaga ini.
BlackBerry berkata, pelan itu mendapat sokongan lembaga pengarahnya.
Persetujuan pembelian dijangka diumumkan pada 4 November ini setelah siasatan menyeluruh disempurnakan. Ia juga bergantung kepada pemerolehan pembiayaan konsortium tersebut.
Sementara itu, BlackBerry meneruskan usaha mendapatkan pembeli lain yang berminat.
Jumaat lalu, BlackBerry mengumumkan telah membuang 40 peratus daripada tenaga kerjanya selepas pelancaran telefon pintar baru awal tahun ini kurang mendapat sambutan. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan