Pada usia 12 tahun, anak-anak lain sibuk meneruskan pelajaran di sekolah selain melakukan pelbagai aktiviti riadah bersama rakan sebaya. Namun berbeza dengan anak kecil bernama Tegar Septian ini apabila zaman kanak-kanak dihabiskan di jalanan bagi mencari rezeki dengan menjadi pengamen (penyanyi jalanan) di Indonesia seawal usianya 9 tahun.
Siapa sangka rezeki berpihak padanya apabila dia ditawarkan menjadi artis rakaman Harpa Records, sekali gus menjadikannya popular. Malah, dalam waktu tidak sampai setengah tahun, lagunya yang berjudul Aku Yang Dulu Bukan Yang Sekarang mendapat tontonan tertinggi di YouTube iaitu sebanyak lapan juta pengunjung sejak ia ditayangkan Mei tahun lalu.
Tidak pernah terfikir akan perubahan drastik yang dialaminya, Tegar yang berasal dari Subang, Jawa Barat mengakui semua yang diterimanya adalah kebetulan dan ketentuan Ilahi.
“Alhamdulillah impian untuk menjadi orang senang sudah dimakbulkan Allah. Memang saya tidak pernah menyangka popular secepat ini namun berharap lagu saya menjadi pedoman buat semua.
“Saya juga sangat gembira apabila impian untuk berduet dengan ramai artis popular di Indonesia sudah termakbul dan berharap jika dapat menyanyi duet dengan kumpulan dari Malaysia iaitu Slam.
“Malah, kehadiran ke Malaysia juga tidak diduga kerana ini kali pertama saya menjejakkan kaki di sini,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran album mini berjudul Tegar dan Sahabat di ibu kota, baru-baru ini.
Pada majlis itu juga turut diraikan ulang tahun Tegar yang ke-12 yang jatuh pada 18 September lalu dan pihak pengurusan Rusa Music Marketing Sdn Bhd menghadiahkan Tegar sebuah iPad Mini.
Album yang sudah terjual lebih 100,000 unit di Indonesia itu mula dipasarkan sejak April lalu dan atas sambutan serta permintaan peminat Malaysia, ia mula dipasarkan di sini pada pertengahan Ogos tahun ini.
Lebih menarik, Tegar kini mampu membelikan keluarganya sebuah rumah berharga 200 juta rupiah (RM60,000) di kampung halamannya di Subang. Bukan itu saja, dia turut membelikan sebuah motosikal buat kegunaan keluarga dan berhasrat membeli sebuah lagi.
“Alhamdulillah, syukur dengan rezeki yang diberikan oleh-Nya. Sejak menjadi artis rakaman, impian pertama saya untuk membelikan keluarga rumah sudah terlaksana dan banyak lagi perkara yang ingin saya lakukan untuk menyenangkan mereka.
“Selepas hampir empat tahun meninggalkan alam persekolahan, saya kini sedang perlahan-lahan belajar sendiri di rumah dengan dibantu guru yang datang mengajar seminggu dua kali.
“Saya berharap hasrat untuk belajar tinggi seperti orang lain terlaksana. Meskipun sudah popular pelajaran tetap saya utamakan, malah itulah yang menjadi antara impian saya ketika susah iaitu ingin mempunyai pelajaran di samping dapat memberi kesenangan kepada ahli keluarga,” katanya yang berada di ibu kota selama seminggu.
Sementara itu, Alfas Hermansyah selaku pengurus juga orang pertama yang melihat kebolehan Tegar, mengakui memilih Tegar kerana pertama kali mendengar suara kanak-kanak itu dia terpaku dan teruja akan keunikan yang dimiliki.
“Pertama kali bertemu Tegar ketika saya sedang makan di sebuah warung di Subang kawasan tempat tinggal Tegar. Ketika itu terdetik dalam hati kenapa tidak saya ambil saja dia sebagai artis untuk diketengahkan bakat yang dimilikinya daripada dibiarkan begitu saja.
“Malah, ketika melihat satu rakaman lagu yang dihasilkannya berjudul Temanku Ini Mabok Cinta dimuat naik di YouTube, menguatkan lagi keyakinan saya bakat semula jadi yang dimiliki Tegar. Namun lagu ini sudah ditukar tajuknya kepada Rindu Ibu.
“Paling saya tidak sangka apabila lagu Aku Yang Dulu Bukan Yang Sekarang berjaya mendapat perhatian masyarakat sehingga mendapat tontonan tertinggi setakat ini,” katanya.
Selain lagu Aku Yang Dulu Bukan Yang Sekarang turut dimuatkan dalam album mini Tegar dan Sahabat ialah Sekolah, Rindu Ibu, Bengawan Solo, Sahabat Tegar, Ayah Ibu Malaikatku, YouTube Oh YouTube, Ulang Tahunku, Ke Mana Lagu Untukku, Kebun Binatang dan Libur Sekolah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan