Dropship
– mungkin istilah yang janggal dan jarang didengar oleh sesetengah
orang. Namun bagi mereka yang setiap hari bergelumang dalam dunia
perniagaan, istilah ini pasti sudah tidak asing lagi di telinga mereka.
Tentu
ada di antara anda yang ingin memulakan perniagaan tanpa perlu merasa
sakit kepala; bimbang tentang modal, bimbang produk yang dijual tidak
ada keberkesanannya atau sambutan dingin pembeli terhadap produk yang
dijual. Jika anda dalam kalangan anda yang mempunyai alasan-alasan
sebegini, maka kaedah Dropship mungkin boleh menjadi pilihan perniagaan
anda.
Dropship
merupakan istilah jual beli yang menjadi trend terkini dalam dunia
perdagangan dalam talian. Dropship atau juga dikenali sebagai
Dropshipping merupakan satu rantaian perniagaan yang melibatkan penjualan sesuatu produk atau servis dengan pengedar (iaitu anda). Pengedar hanya perlu membayar kepada pembekal harga produk dan servis yang dijual kepada pembeli.
Tugas anda hanyalah untuk mempromosi produk yang dijual oleh pembekal
dan melakukan urus niaga pesanan dengan pembeli. Setelah pembayaran
dibuat oleh pembeli, anda akan menghantar pesanan itu kepada pembekal
yang seterusnya akan membungkus dan menghantar produk tersebut terus ke
alamat pembeli. Konsep yang nampak mudah bukan? Anda sebagai pengedar
akan memperoleh keuntungan ‘atas angin’, tanpa perlu menyimpan stok atau
menyediakan kos modal yang tinggi. Kebiasaannya keuntungan anda adalah
berdasarkan perbezaan margin harga jual yang diberikan oleh pembekal
kepada anda sebagai agen Dropship dengan harga yang ditawarkan kepada
pembeli.
Contoh pengiraan keuntungan anda:
Pihak
pembekal (DropShipper) akan memberikan anda akses katalog produk mereka
dengan harga barang yang diberikan kepada anda dikira dengan harga
istimewa. Contohnya, harga yang diberikan kepada anda untuk sepasang
kasut adalah RM24.00 dan kos penghantaran pula adalah sebanyak RM6.00.
Anda
pula menjual produk tersebut di laman e-dagang anda dengan mengenakan
harga pasaran iaitu sebanyak RM50.00 termasuk kos penghantaran. Pembeli
kemudiannya membuat pesanan dan pembayaran kepada anda. Perbezaan harga
jual beli produk inilah sebenarnya merupakan keuntungan yang akan anda
peroleh. Dalam contoh ini, anda akan memperoleh keuntungan sebanyak
RM20.00 bagi setiap pasang kasut yang dijual!
Tanpa
perlu ada modal dan produk untuk memulakan perniagaan, anda sebenarnya
sudah boleh bergelar usahawan. Kalau moto syarikat penerbangan tambang
murah Air Asia, ‘Everybody can fly’, mungkin moto perniagaan
berkonsepkan Dropship ini pula ‘Everybody can do business!’
Bagaimana untuk memulakan perniagaan Dropship
Tentu
ada yang tertanya-tanya bagaimana jika ingin memulakan perniagaan
berkonsepkan Dropship ini. Pertama-tama, apa yang perlu anda buat adalah
mencari DropShipper yang sah yang menawarkan servis Dropship kepada
pengedar. Namun, anda tentu tidak mahu terjebak di dalam scam perniagaan
dalam talian kerana tidak dinafikan kes-kes penipuan seperti ini banyak
terjadi. Oleh itu, bagaimana anda boleh mengenal pasti syarikat
DropShipper yang anda pilih itu merupakan syarikat yang sah dan telus
dalam menjalankan perniagaan mereka?
SIASAT.
Ya, anda perlu menyiasat latar belakang DropShipper yang dipilih,
pastikan sama ada mereka ini di bawah kategori pengilang atau pemborong.
Siasat maklumat syarikat penjual, nama syarikat dan nombor pendaftaran
syarikat, pastikan syarikat ini merupakan syarikat yang berdaftar dan
sah di sisi undang-undang. Semak nama pemilik, alamat syarikat dan
nombor telefon untuk dihubungi, pastikan ianya memang wujud. Kenal pasti
kepakaran dan pengalaman mereka, sudah tentu semakin lama syarikat ini
menjalankan perniagaan mereka, semakin anda boleh mempercayai syarikat
tersebut. Lakukan carian mudah melalui internet, untuk mengetahui jika
terdapat sebarang aduan dari ejen Dropship yang lain terhadap syarikat
itu, tidak kisah lah aduan dari segi produk, servis atau berkenaan
syarikat itu sendiri. Ambil tahu mengenai kos penghantaran dan kenal
pasti syarikat pos laju pilihan mereka ketika berurusan. Kenal pasti
jumlah tenaga kerja yang mereka ada. Jika boleh, sediakan dokumen
syarat-syarat bertulis atau kontrak, yang meliputi jaminan untuk produk
pembeli. Ini penting bagi memastikan pembeli mendapat pulangan jika
produk yang dibeli itu rosak, tidak sampai pada masa yang ditetapkan
atau dalam situasi yang lebih teruk – produk itu tidak sampai langsung
ke tangan pembeli. Sekiranya anda sudah berpuas hati dengan syarikat
DropShipper anda, maka anda bolehlah membuka akaun peruncit dan dapatkan
kod keahlian anda dengan syarikat berkenaan.
Untuk
menjadikan proses urus niaga lebih efisien, maka anda bolehlah
mewujudkan satu laman web e-dagang ataupun akaun Facebook untuk
perniagaan anda. Gunakan ia sebagai tempat di mana anda melakukan
promosi untuk melariskan produk yang dijual. Pamerkan dengan jelas
gambar-gambar produk dan juga sedikit penerangan mengenai produk. Jika
anda memperniagakan produk pakaian, pastikan ukuran saiz ada disertakan
sekali. Jangan lupa untuk menyediakan borang pesanan untuk pengunjung
laman web anda membuat pesanan melalui talian untuk produk yang ingin
dibeli. Borang pesanan perlulah lengkap dengan ruang untuk pembeli
memasukkan butiran peribadi seperti nama, alamat, nombor untuk dihubungi
dan produk yang ingin dibeli.
Apabila
pelanggan sudah membuat pesanan, dan anda sudah pun memastikan yang
pembayaran telah dibuat, maka anda bolehlah menghantar pesanan tersebut
kepada DropShipper dengan menyertakan butiran peribadi pelanggan.
DropShipper kemudiannya akan memproses pesanan itu, dan produk akan
dibungkus dan dihantar terus kepada pelanggan. Nama dan alamat anda akan
ditulis di bungkusan tersebut, sebagai sumber rujukan pembeli. Gunakan
‘tracking number’ daripada DropShipper anda, untuk anda memeriksa
transaksi dan status penghantaran dengan syarikat pos laju yang
digunakan.
Tips Kejayaan Perkhidmatan Dropship
Tip
1: Kaji Pasaran Anda – Cari produk yang senang untuk dijual! Buat
sedikit kajian untuk mengetahui permintaan pasaran anda, agar hasil
jualan anda lebih banyak dan lebih tinggi keuntungan yang diperoleh.
Anda juga boleh menjual produk yang anda minati, kerana secara semula
jadinya anda akan menjadi lebih berminat untuk memasarkan produk yang
anda jual itu.
Tip
2: Kepelbagaian produk yang ditawarkan oleh Dropshipper. Ada kalanya
lebih senang untuk menjana keuntungan apabila terdapat kepelbagaian
produk yang dijual, agar pembeli mempunyai pilihan ketika membeli. Sudah
tentu anda tidak mahu pembeli anda berpaling dan membeli dengan penjual
yang lain semata-mata atas alasan barangan yang dikehendaki tidak
dijual oleh anda. Jika produk yang dijual adalah produk makanan,
pastikan anda menjaga sensitiviti para pembeli. Cari produk yang
diiktiraf HALAL oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Pastikan
juga ia mempunyai standard dan kelulusan piawaian yang diperlukan dan
diiktiraf oleh badan-badan piawaian seperti SIRIM.
Tip
3: Gunakan platform dalam talian untuk jualan anda – Promosi produk
anda secara meluas melalui pelbagai platform dalam talian seperti laman
web e-dagang, Facebook, blog, di laman web bidaan seperti e-bay dan juga
di laman web forum seperti mudah.com. Kunjung laman web yang berbentuk
forum ini dan sesekali komen terhadap isu-isu semasa. Jangan lupa untuk
membuat pautan laman web anda setiap kali anda memberi komen anda. Anda
juga boleh membuat pautan laman web anda di dalam e-mel anda. Terdapat
pelbagai lagi cara untuk anda mempromosikan perniagaan anda, maka
jadilah seorang yang lebih kreatif untuk membolehkan perniagaan anda
lebih dikenali.
Tip
4: Tentukan berapa peratus keuntungan yang ingin anda peroleh. Dengan
adanya matlamat seperti ini, maka anda akan lebih fokus dalam perniagaan
anda. Buat perbandingan harga produk yang ditawarkan oleh agen DropShip
yang lain dan pastikan keuntungan yang diperoleh berbaloi dengan daya
usaha anda. Jangan lupa untuk menyediakan kunci kira-kira untuk anda
mengira keuntungan perniagaan anda pada setiap hujung bulan.
AWAS ! Sisi Buruk Perniagaan DropShip
Tahu
kah anda dengan menceburi perniagaan berkonsepkan DropShip ini, nasib
perniagaan anda berada sepenuhnya pada tangan pembekal anda. Disebabkan
anda tidak memiliki stok produk dan tidak mempunyai kawalan terhadap
inventori produk yang anda jual, anda tidak dapat mengawal berapa cepat
produk yang dibeli sampai ke tangan pembeli. Semuanya bergantung
sepenuhnya kepada pembekal untuk membungkus dan menghantar produk kepada
pembeli. Jika pembekal melakukan kerja ala kadar, maka sedikit sebanyak
akan menjejaskan reputasi perniagaan anda.
Ada
juga terjadi masalah pembekal kehabisan stok produk mereka dan tidak
memaklumi perkara tersebut kepada agen mereka. Maka secara tidak
langsung anda akan mendapat tempiasnya. Agak mendukacitakan jika anda
tidak dapat memenuhi permintaan pelanggan anda, terutama yang kerap kali
membeli dengan anda. Kes-kes seperti ini, adalah di antara penyebab
titik peralihan pembeli dan perkara yang menakutkan mungkin terjadi –
pembeli beralih kepada pengedar lain, saingan anda sendiri!
Isu
perkhidmatan pelanggan daripada DropShipper juga sering kali menjadi
masalah besar. Kebanyakan DropShipper mempunyai perkhidmatan pelanggan
yang buruk, malah ada yang tidak langsung mempunyai perkhidmatan
pelanggan di syarikat mereka. Jika anda berhadapan dengan situasi
pelanggan yang tidak berpuas hati dengan produk yang diterima, maka anda
akan terperangkap antara memuaskan hati pelanggan dan menunggu resolusi
daripada pembekal anda.
Saingan
juga mungkin akan menjadi salah satu masalah perniagaan DropShip.
Saingan terjadi kerana terlalu ramai yang ingin menjadi agen Dropship.
Jika ada agen yang tidak kisah margin keuntungan yang kecil, maka mereka
tentu tidak kisah untuk menjual produk yang sama dengan harga yang jauh
lebih rendah dari anda!
Kesimpulannya
Apa
yang telah dibincangkan dalam artikel ini diharap sedikit sebanyak
dapat dijadikan pembuka minda dan garis panduan kepada anda yang
berminat untuk memulakan perniagaan DropShip. DropShip boleh menjadi
satu peluang pendapatan yang sangat baik jika dilakukan dengan
perancangan yang teliti dan dilaksanakan dengan betul. Kunci kejayaan
sesebuah perniagaan ala DropShip ini sama sekali bergantung pada
pembekal yang kita pilih. Cari dan pilihlah pembekal yang sah dan
berdaftar agar risiko perniagaan anda dapat di minimumkan. Lakukan
promosi anda dengan bersungguh-sungguh dengan menggunakan semua media
yang ada. Layani dan jaga hati pelanggan anda dengan sebaiknya, agar
mereka akan acap kali berurus niaga dengan anda.
Secara ringkasnya, DROPSHIP = Anda tak perlu simpan stok, Anda tak perlu modal. Anda hanya perlu PROMOSI sahaja !
from :- http://www.usahawan.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan