Pages

Selamat datang ke blog Smart Generation kami menyediakan pelbagai jenis barangan untuk anda pilih dengan harga berpatutan! kepuasan anda keutamaan kami!.Jangan lupa untuk follow blog ini ok..:-)..SMART GENERATION MENGUCAPKAN TERIMA KASIH ATAS SOKONGAN ANDA.

Isnin, 28 Februari 2011

TEGURAN TERBUKA MAHATHIR KEPADA NIK AZIZ



salam kepada semua...


1. Percubaan Dato Nik Aziz untuk memperingatkan saya bahawa saya akan berdiri dihadapan Allah s.w.t. satu masa nanti sedikit sebanyak membuktikan keangkuhannya seolah-olah saya tidak tahu akan agama saya. Saya juga beriman dengan hakikat bahawa setiap apa yang dipertuturkan dan diperbuat di dunia ini akan diadili di akhirat nanti.

2. Nik Aziz juga akan berdiri dihadapan Allah satu masa nanti dan segala yang dipertutur dan dilakukan olehnya di dunia ini akan diadili di akhirat nanti dan lidah, tangan dan kaki Nik Aziz akan jadi saksi. Bukan bagi Nik Aziz untuk mengadili saya atau sesiapa dan bukan Nik Aziz yang akan mengadili dirinya sendiri.

3. Sehingga kita diadili di akhirat kita tidak boleh dengan angkuhnya merasa kita tidak berdosa dan orang lain yang berdosa. Allah s.w.t. sahaja yang mengetahui segala dosa yang dilakukan oleh sesiapa, termasuk Nik Aziz. Dakwaan Nik Aziz yang dianya beriman, setelah mengkafir dan memecahbelah orang Islam, membuat berbagai-bagai tuduhan, akan ditentukan oleh Allah s.w.t. Tidak memadai dengan pengakuan Nik Aziz yang dianya beriman.

4. Saya tidak pernah dakwa yang saya ini selalunya betul dan tetap ke syurga. Saya juga tidak suruh sesiapa menyokong atau mengundi saya kerana itu akan menjamin mereka akan ke syurga di akhirat. Yang membuat dakwaan seperti ini ialah Nik Aziz.

5. Dalam Islam tidak ada paderi yang boleh ampunkan sesiapa, atau menjamin balasan di akhirat kelak. Di Tenang Nik Aziz secara terbuka menghukum orang UMNO sebagai Jahiliah.

6. Untuk tidak menjadi Jahiliah sokonglah PAS. Apakah ulama-ulama Islam yang tidak punyai kepentingan politik sudah putuskan bahawa syarat untuk menjadi orang Islam ialah menyokong PAS? Di manakah dalam Al-Quran dan Hadith yang sahih yang menyebut bahawa hanya dengan menyokong PAS baharulah seseorang itu beragama Islam? Kalau ini benar nenek moyang siapa yang jahil kerana tidak ada PAS masa mereka? Orang Islam lain di luar Malaysia sudah tentu bukan Islam kerana tidak ada PAS di negara mereka.

7. Orang UMNO adalah orang yang beragama Islam, walaupun bagi Nik Aziz mereka bukan Islam kerana tidak sokong PAS. Dunia mengiktiraf bahawa orang Melayu termasuk ahli UMNO dan ahli PAS juga adalah orang Islam. UMNO tidak mendakwa bahawa hanya orang UMNO sahaja yang Islam, atau dengan mengundi UMNO menjadi Islam dan akan ke syurga.

8. Oleh kerana orang UMNO beragama Islam maka perjuangan UMNO ialah untuk bangsa, agama (Islam) dan negara. Demikianlah pegangan UMNO kepada Islam sehingga Perlembagaan ciptaan UMNO mensyaratkan seseorang itu adalah Melayu jika dianya beragama Islam. Nik Aziz tidak akan memasukkan syarat ini kerana Melayu boleh jadi jahiliah dan tidak Islam kerana tidak sokong PAS.

9. Asas Islam mungkin tidak sama dengan nasionalisme. Penganut-penganut agama lain juga boleh jadi nasionalis. Ini tidak bermakna nasionalis Islam tidak Islam. Nasionalis yang terdiri daripada orang Islam memang berjuang untuk menegakkan agama Islam, memelihara negara Islam dan menjaga kehormatan agama Islam.

10. Mustafa Kemal Ataturk tidak menitik berat ke-Islamannya. Dia adalah seorang nasionalis. Pada masa dia berperang untuk negaranya, Turki dikuasai oleh orang Greek Kristian. Kerana nasionalismenya yang amat kuat, dia berperang sehingga Turki kembali ditakluk dan diperintah oleh orang Turki.

11. Dengan menyelamatkan Turki daripada orang Greek agama Islam terpelihara sehingga ke hari ini dan ke-Islaman orang Turki kekal. Sudah tentu Nik Aziz tidak akan akui orang Islam Turki adalah Islam.

12. Tidak ada keangkuhan yang lebih daripada seorang yang memikir dia sahaja Islam dan orang Islam lain tidak Islam dan tidak beriman kepada Allah s.w.t.

13. Terselamatnya banyak negara Islam yang dahulu dijajah adalah hasil perjuangan nasionalis Islam. Mereka nasionalis kerana mereka masing-masing sayang dan setia kepada negara mereka sahaja. Jika mereka hanya berjuang untuk Islam maka tumpuan mereka tentulah kepada membebaskan seluruh umat Islam tanpa mengira bangsa atau negara. Tetapi hakikatnya mereka tidak berjuang untuk negara Malaysia dan agama Islam di sini. Yang berjuang untuk membebaskan negara kita dengan agama Islam di sini ialah nasionalis Islam Melayu.

14. Nik Aziz sendiri berjuang hanya di Malaysia dan tidak di seluruh dunia Islam yang hari ini menghadapi pelbagai jenis penindasan dan tekanan. Walaupun Nik Aziz mendakwa bahawa dia berjuang untuk Islam, tetapi dengan menghadkan perjuangannya kepada negara ini dia juga adalah nasionalis sama seperti nasionalis dalam UMNO. Jika orang UMNO jahil kerana nasionalisme mereka, Nik Aziz juga jahil kerana sebab yang sama.

15. Apakah nasionalis Melayu Islam tidak pernah menyatakan tujuan hidup ini? Jika Nik Aziz membuka mata dan telinga, mungkin dia akan melihat perjuangan UMNO untuk Islam secara yang terpampang dihadapannya dan mendengar segala yang diperkatakan oleh pemimpin dan ahli UMNO berkenaan perjuangan untuk Islam, orang Islam dan negara Islam. Saya tidak perlu ulang tujuan hidup nasionalis Islam Melayu ialah mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. dengan membuat ibadah tertentu, memelihara orang Islam dan agama islam bukan sahaja di Malaysia tetapi dimana sahaja orang Islam ditindas. Tuhan yang akan menilai pengabdian nasionalis Melayu Islam dan bukan Nik Aziz.

16. Sebaliknya apa yang keluar dari bibir Nik Aziz sebagai tujuan hidupnya ialah untuk memenangi pilihanraya dan menjadi pemerintah bersama DAP dan PKR. Untuk ini Nik Aziz secara terbuka sanggup mengkafirkan orang Islam UMNO, bersedia untuk bekerjasama dengan syaitan untuk menjayakan perjuangannya, bekerjasama dengan orang yang menolak perjuangannya untuk mendirikan negara Islam ala PAS, mempertahankan pendapat tokoh bukan Islam supaya orang Islam longgarkan pegangan mereka kepada ajaran agama Islam. Harapan Nik Aziz ialah dengan melakukan semua ini orang bukan Islam di Malaysia akan sokong partinya dalam pilihanraya. Bukan Islam yang diutamakan, bukan mengabdikan diri kepada Allah, tetapi kemenangan dalam pilihanraya.

17. Bolehkah Nik Aziz baca apa yang ada dalam hati orang Melayu UMNO Islam apabila mereka mengucap dua kalimah syahadah? Apakah Nik Aziz tahu apa yang ada dalam hati seseorang apabila dia berniat dalam hati semasa solat dan masa-masa lain. Apakah Nik Aziz percaya dia adalah manusia luarbiasa yang tahu apa ada dalam hati seseorang yang tidak sama dengan apa yang disebut olehnya?

18. Kuasa ini hanya ada pada Allah s.w.t. Adakah Nik Aziz juga mempunyai kuasa ini? Apakah pandangan Islam terhadap orang yang mendakwa dia boleh baca apa yang ada dalam hati manusia sepertimana Allah s.w.t. boleh membacanya.

19. Apakah dasar pejuangan UMNO telah saya jelaskan. Islam tidak menyuruh kita hanya membuat ibadat tertentu sahaja. Mempertahankan umat Islam di Malaysia adalah satu daripada yang diwajibkan ke atas orang Islam. Sebab itu orang yang terbunuh mempertahankan orang Islam dan negara mereka termasuk dalam golongan syahid.

20. Apakah usaha yang dibuat oleh Kerajaan pimpinan nasionalis Melayu Islam supaya keupayaan menyelamatkan umat Islam dan agama Islam di Malaysia ada pada negara ini tidak menepati satu daripada kewajipan orang Islam? Untuk pengetahuan Nik Aziz Kerajaan pimpinan Melayu Islam nasionalis berjaya menolong orang Islam bukan sahaja di Malaysia tetapi di negara tertentu sehingga serangan keatas mereka terpaksa dihentikan.

21. Untuk menunaikan kewajipan ini negara harus mempunyai kewangan yang cukup yang datang daripada peningkatan ekonomi negara. Akan mampukah kita menunaikan kewajipan ini jika kita papa kedana, selalu meminta-minta dan mengemis daripada orang lain. Perjuangan untuk membangunkan negara supaya pertahanannya lebih kukuh adalah kewajipan orang Islam. Tidak mencukupi jika kita hanya berdoa meminta pertolongan Allah s.w.t.

22. Apakah benar UMNO menghapuskan Jawi sehingga kita tidak dapat membaca Al-Quran? Tidakkah Kerajaan UMNO mengadakan sekolah agama, mata pelajaran Islam yang menggunakan tulisan Jawi? Kenapakah Harakah menggunakan tulisan Rumi? Bagaimanakah terdapat lebih ramai yang mempelajari agama sehingga ke peringkat universiti jika generasi ini buta Al-Quran, tidak boleh baca Jawi.

23. Peruntukan kepada sekolah agama rakyat dihentikan kerana bukan agama yang diajar di sekolah-sekolah ini tetapi politik pecah-belah parti PAS.

24. Tidak pernah saya membuat tuduhan yang Nik Aziz menyebabkan parti UMNO diharamkan, atau penubuhan Semangat 46 atau Parti Keadilan. Tetapi yang jelas ialah PAS memberi sokongan kuat kepada serpihan ini kerana gemar melihat perpecahan dan pengharaman UMNO.

25. Benarkah Islam menerima pecah belah sebagai satu perkara yang pasti berlaku seperti Nik Aziz katakan?

26. Tafsiran ayat 36 dalam Surah Al-Baqarah berbunyi demikian; "Setelah itu maka syaitan menggelincirkan mereka berdua (Adam dan Hawa) daripada syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan daripada nikmat yang mereka telah berada di dalamnya; dan kami berfirman, "Turunlah kamu. Sebahagian dari (keturunan) kamu menjadi musuh kepada sebahagian daripada yang lain; dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)".

27. Ayat ini adalah berkenaan umat manusia yang sering berpecah belah dan bermusuh-musuhan sesama mereka.

28. Rujukan oleh Nik Aziz kepada ayat ini secara tidak langsung menjadi pengakuan oleh Nik Aziz yang dianya memang terlibat dengan pecah belah orang Melayu Islam.

29. Khusus bagi orang Islam, Allah s.w.t. berfirman (Ayat 10 Surah Al-Hujarat); "Innamalmukminu na ikhwatun..." iaitu orang-orang yang beriman (mukmin) itu adalah bersaudara.

30. Ayat itu diteruskan dan maksudnya ialah, "maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelagah) itu, dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat."

31. Allah s.w.t. berfirman lagi dalam Al-Quran (Ayat 103, Surah Ali-Imran); "Dan berpeganglah kamu pada tali Allah (Al-Quran) dan janganlah kamu bercerai berai..."

32. Tak mungkin Nik Aziz tidak tahu akan ayat-ayat ini. Lebih mungkin Nik Aziz lupa dalam keghairahan menyalahguna agama untuk menghalalkan perbuatan yang ditegah. Yang jelas ialah Islam tidak menyuruh perpecahan di kalangan umat Islam.

33. Nabi Muhammad tidak memecah-belah orang Islam. Utbah bin Rabiah mengecam Nabi kerana agama Islam yang dibawa Baginda memecah belah kaum Quraisy (yang pada masa itu bukan semuanya Islam) kerana sebahagian daripada mereka telah memeluk agama Islam. Janganlah Nik Aziz banding dirinya dan apa yang dilakukan olehnya sama dengan Baginda Rasulullah. Baginda telah cuba menyatupadu orang Quraisy melalui Islam tetapi Nik Aziz menyeru supaya orang yang sudahpun Islam berpecah tiga dengan niat untuk melemahkan UMNO, musuh politik PAS.

34. UMNO tidak menculik ADUN PAS. Sebaliknya permusuhan antara pemimpin PAS Terengganu menyebabkan beberapa daripada mereka meninggalkan PAS untuk menyertai UMNO. Hari ini pun terlihat banyak peristiwa seperti ini berlaku. Jika mana-mana ahli PAS yang berpisah dari PAS untuk menyertai UMNO dan kemudian balik kepada PAS itu adalah pilihan mereka. Tidak ada paksaan atau tekanan dengan menyalahguna agama oleh UMNO untuk mendapat orang PAS.

35. Saya tidak tahu ada pilihanraya pada tahun 2003. Yang ada ialah Pilihanraya Umum 2004, di waktu mana saya bukan lagi Perdana Menteri dan PAS kalah teruk.

36. PAS tidak harus lupa di Memali enam orang anggota polis ditembak mati oleh pengganas Memali. Itulah sebabnya polis terpaksa tembak balas.

37. Iqraq ditafsir sebagai "baca". Membaca tetap akan memberi kita tambahan ilmu. Sebab itu intelek Islam dizaman dahulu mengejar ilmu dengan membaca dalam bahasa Greek ilmu yang diterokai oleh mereka itu. Tak mungkin mereka membaca tulisan Greek dengan mengguna bahasa Arab.

38. Selepas menguasai ilmu yang diterokai oleh orang Greek, orang India, Parsi dan lain-lain maka dapatlah intelek Islam menambah kepada ilmu sains dan matematik dengan hasil kajian mereka. Dengan itu juga bahasa Arab menjadi bahasa ilmu.

39. Orang Eropah terpaksa mempelajari bahasa Arab untuk menguasai ilmu mereka. Sementara itu orang Islam (Arab) menolak ilmu yang kononnya sekular, kerana kononnya tidak berkaitan dengan agama.

40. Ilmu terkini yang diterokai oleh bangsa Eropah ditulis hampir semuanya dalam bahasa Inggeris.

41. Sains dan matematik tidak seperti ilmu lain. Sains dan Matematik memperkenal banyak ilmu baru hasil kajian yang dibuat sepanjang masa. Semua hasil ini dihebah dalam bahasa Inggeris. Kita tidak mempunyai cukup pakar yang terlatih dalam bidang-bidang sains tertentu yang fasih dalam bahasa Inggeris dan Melayu untuk menterjemah beribu-ribu kertas kajian (research papers) dalam bahasa Inggeris. Sebaliknya jika ilmu baru ini tidak dikuasai oleh orang Melayu, bahkan orang Islam, mereka akan ketinggalan jauh kebelakang, menjadi mundur dan lemah, mudah dipermain orang.

42. Bolehkah Nik Aziz perkenalkan seorang Melayu yang mempelajari Sains hanya dalam Bahasa Melayu yang mampu menulis kertas atau memahami tulisan berkenaan dengan nano sains atau theory of relativity atau perkiraan yang diperlukan untuk menghantar space shuttle supaya menemui dan dipasang kepada International Space Station.

43. Pada pendapat Nik Aziz apakah hanya dengan mengguna bahasa Melayu dalam mempelajari sains dan matematik kita akan jadi lebih Islam? Apakah Nik Aziz berpendapat dengan mengguna bahasa Malayu maka kita lebih Melayu, lebih setia kepada bangsa, lebih nasionalis, sedangkan Nik Aziz mendakwa Melayu tidak penting asalkan kita Islam, dan nasionalisme menjadikan kita kurang Islam. Apakah minat Nik Aziz kepada pengajaran dalam bahasa Melayu tidak mencerminkan sifat Nik Aziz sebagai seorang nasionalis juga, sama seperti orang UMNO. Nik Aziz harus tuntut supaya Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Arab, bukan bahasa Melayu.

44. Islam tidak akan sempurna tanpa iman kata Nik Aziz. Saya tahu dan orang UMNO tahu. Tetapi bagaimana Nik Aziz boleh tahu seseorang Islam sempurna imannya atau tidak? Allah s.w.t. tahu tetapi apakah Nik Aziz mempunyai kebolehan seperti Allah Ta'ala?

45. Apakah Abdullah bin Ubay di zaman Rasulullah tidak berjasa kepada Islam apabila dia membina Masjid Dhirar? Jika membina sekolah agama tidak bermakna UMNO berjasa kepada Islam, kenapakah saya dikecam apabila peruntukan kepada sekolah agama ditarik balik setelah sekolah dijadikan pusat mengembangkan ideologi PAS untuk membenci UMNO?

46. Apakah oleh kerana di Thailand juga wujud sekolah-sekolah agama (yang dibangun oleh orang Islam) maka ini bermakna pembinaan sekolah agama oleh UMNO tidak bermakna berjasa kepada Islam. Apabila PAS mendirikan sekolah agama apakah PAS berjasa kepada Islam? Atau berjasa kepada parti?

47. Arak sekarang dijual dibawah pemerintahan PAS. Besar atau kecil tidak bermakna kebenaran menjual arak tidak bertentangan dengan Islam.

48. Judi dan arak memang haram bagi Islam. Saya jemput Nik Aziz secara terbuka tuntut rakan karibnya DAP supaya sekarang ini, sebagai anggota dalam Pakatan Rakyat yang akan memerintah negara ini membuat pengakuan tertentu yang Kerajaan campuran Pakatan akan haramkan judi dan penjualan arak, disamping menerima hukum Hudud. Jika DAP enggan membuat kenyataan ini sanggupkah PAS mendakwa akan kalahkan calon DAP? Atau apakah PAS akan membisu berkenaan dengan negara Islam PAS, hukum Hudud, pengharaman judi dan arak kerana bukan dasar dan tujuan perjuangan PAS yang penting tetapi kemenangan dalam PRU dengan pertolongan DAP yang penting?

49. Akhir kata saya akui pengetahuan agama Nik Aziz dalam tetapi alangkah baiknya jika Nik Aziz berhenti daripada menyalahguna dan menyalah tafsir Islam demi kepentingan politik diri sendiri. Tidak ada sesiapa yang dapat lari daripada hari pengadilan yang dijanjikan oleh Allah s.w.t.

50. Justeru itu bertaqwalah kepada Allah s.w.t. dan hentikanlah mengeliru umat Islam di Malaysia kerana ingin menang pilihanraya.




BUKTI MENGKAFIR UMNO :-
1. Dalam Utusan Malaysia 18hb Februari, 2011, Nik Aziz bertanya apa bukti dia mengkafir UMNO.

2. Allah Maha Kaya.

3. Kepada soalannya, dia sendiri menjawab, "Tolak agama ambil nasionalis, apa nama kerja ini". Jadi nasionalis UMNO di dakwa oleh Nik Aziz menolak agama. Dan dia bertanya, "apa nama kerja ini". Tolak agama bermakna kafir. Jadi Nik Aziz tuduh UMNO kafir.

4. Nik Aziz menuduh saya fikir agama ini sembahyang, puasa, nikah kahwin, tengok anak bulan, itu sahaja agama saya. Memang pun bagi saya semua ini adalah sebahagian daripada ajaran agama Islam. Apa dianya yang saya tolak berkenaan agama dengan menjadi seorang nasionalis? Ini tidak diterangkan.

5. Tetapi sebelumnya dia mendakwa "sokong PAS ertinya sokong Islam". Kita jadi Islam setelah mengucap dua kalimah syahadah - "Tiada Tuhan (yang disembah) melainkan Allah dan Nabi Muhammad adalah Rasul Allah".

6. Apakah Nik Aziz berpendapat hanya setelah mengucap "sokong PAS" baru jadi Islam dan sebelum itu kafir? Ini juga bermakna Nik Aziz mengkafirkan saya.

7. Tidak ada pengertian lain dengan dakwaan UMNO tolak Islam selain daripada mendakwa UMNO adalah kafir.

8. Apa lagi bukti yang dikehendaki oleh Nik Aziz yang dia telah mengkafir saya dan UMNO kerana kami nasionalis yang tidak sokong PAS.

9. Nik Aziz membandingkan dirinya dengan malaikat yang menegur Nabi. Saya bukan Nabi dan Nik Aziz bukan malaikat. Nik Aziz dan saya hanya manusia biasa dan ahli politik. Teguran ahli politik kerana kepentingan politiknya tidak sama dengan teguran malaikat.

10. Lagi pun teguran Nik Aziz menidakkan ke-Islaman saya, satu teguran (lebih tepat lagi satu tuduhan) yang amat serius.

11. Apakah ada orang Islam yang tidak melenting jika sesiapa mengkafirkannya? Apakah Nik Aziz tidak akan melenting jika saya kata dia sudah kafir? Belum saya kata itu pun Nik Aziz sudah melenting.

12. Berkenaan dengan Nik Aziz dan PAS memperkenalkan Islam kepada DAP, bukti menunjukkan PAS yang telah dipengaruhi DAP.

13. Lihat sahaja tindakan biadap terhadap Sultan dan Raja Muda Perak oleh ahli PAS, berguling-guling atas jalan menghalang kereta Raja. Sebelum berbaik dengan DAP ahli PAS lebih berpegang kepada budaya Melayu. Kerana mahu sokong DAP ahli PAS mengenepikan ke-Melayuan mereka. Dan sekarang tuntutan untuk mendirikan negara Islam pun sudah tidak didengari lagi.

14. Apabila bapa kepada DAP menyarankan supaya orang Islam longgarkan pegangan mereka kepada ajaran Islam, Nik Aziz tidak menolaknya kerana anggapannya yang saranan ini tidak seburuk nasionalisme orang Islam UMNO. Janganlah melenting jika saya kata Nik Aziz sudah terima saranan Lee Kwan Yew supaya orang Islam longgarkan pegangan mereka kepada Islam kerana ini tidak dahsyat seperti menjadi nasionalis Melayu Islam dalam UMNO.

15. Sekarang Nik Aziz mahu Melayu diutamakan kerana mereka adalah masyarakat majoriti di negara ini. Bukan masalah orang Melayu yang menyebabkan Nik Aziz mengubah pendirian terhadap bangsanya tetapi kerana Melayu menjadi majoriti dan dianya memerlukan undi orang Melayu, tidak lebih daripada itu.

16. Kenalilah Nik Aziz, orang yang utamakan hanya undi orang Melayu, bukan keprihatinan terhadap masalah hidup mereka.



TUAN GURU NIK AZIZ TIDAK MINTA DILAHIRKAN SEBAGAI MELAYU,TAPI ASALKAN ISLAM...





Tuan Guru Nik Aziz memberikan kita satu analogi yang sangat mudah bagi menghilangkan ketaksuban kepada bangsa...


memang bukan mudah untuk menghilangkan rasa cinta dan ikatan sesuatu bangsa,Namun islam tidak melihat bangsa itu sebagai kekuatan,tetapi kesatuan dalam satu akidah iaitu islam merupakan adunan terbaik bagi memastikan perpaduan itu terus wujud atas dasar cintakan agama...


Bagi mereka yang mempunyai semangat cintakan bangsa,memang tidak senang dengan kenyataan ini,Namun kalau diperhalusi dan di fahami bahawa dilhairkan dalam sesuatu bangsa itu merupakan satu anugerah,tetapi yang lebih bernilai apabila di lahirkan sebagai seorang islam tidak kira daripada bangsa mana sekalipun....


Adalah lebih baik jika Tuan Guru Nik Aziz memberikan kefahaman yang lebih jelas kepada rakan-rakan mereka dalam Pakatan Rakyat terutama DAP supaya tidak terlalu bersikap chauvinist dan tidak memandang rendah kepada masyarakat melayu...


Masyarakat di Negara ini terus aman dan makmur kerana Perpaduan menjadi teras utama dalam menjamin keamanan termasuk dalam anutan agama.Sensitiviti antara agama juga menjadi perhatian yang perlu di titikberatkan oleh seluruh pimpinan Negara.Sebab itu Islam itu di lihat membawa kesejahteraan dan rahmat kepada semua,kerana dalam islam konsep keadilan dan kasih sayang antara teras utama yang menjadi pegangan.


Berikut merupakan kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Tuan Guru Nik Aziz :-



Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau tidak minta untuk dilahirkan sebagai seorang berbangsa Melayu.Beliau juga berkata adalah secara kebetulan beliau lahir di negara ini.
“Kalau saya (lahir) dari kalangan masyarakat Orang Asli sekalipun tidak apa, asalkan saya Islam dan beriman dengan Allah SWT,” katanya.

Nik Aziz mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang meminta beliau bersyukur dilahirkan sebagai bangsa Melayu yang tentunya beragama Islam.Dr Mahathir berkata Melayu adalah bangsa yang unik di dunia kerana mengikut Perlembagaan, bangsa Melayu mesti bertutur dalam bahasa Melayu, mengamalkan adab Melayu dan beragama Islam.

Nik Aziz berkata semua bangsa adalah sama dan tidak ada keistimewaan kepada satu-satu bangsa sebagaimana juga bangsa Arab sendiri kecuali seseorang itu Islam dan beriman kepada Allah SWT.
“Kalau pada bangsa, tentu bapa saudara Nabi Muhammad SAW iaitu Abu Jahal (masuk syurga) tetapi Allah SWT telah menyatakan awal-awal lagi dia (bapa saudara Nabi) adalah ahli Neraka,” katanya.

Mengenai Islam yang diperjuangkannya, Nik Aziz berkata ia adalah Islam sederhana yang diletak di tempat yang tinggi dan menentang tindakan melampau yang bertentangan dengan agama.Bagaimanapun, beliau mengakui agak sukar untuk mengembalikan Islam sebenar sebagaimana air yang mengalir dari hulu sungai tidak sama dengan air di muara.

“Setelah mengalir jauh, pastinya melalui pelbagai rintangan, sampah sarap dan pelbagai kekotoran, untuk minum (air di muara) kena tapis dulu, kita kena rebus (masak) dulu,” jelasnya. — Bernama

APA YANG PERLU KITA TAHU MENGENAI PEMIMPIN LIBYA MUAMMAR GADDAFI....







PADA Jun 2009, pemimpin Libya, Muammar Gaddafi tiba di Rom, Itali dengan 300 ahli rombongan. Mereka menggunakan tiga buah pesawat Airbus.Seperti kebiasaan apabila melakukan lawatan ke luar negara, Gaddafi akan membawa bersama khemah gergasi Badwi yang didirikan di tengah-tengah bandar.
Beliau lebih suka tidur bahkan bertemu pemimpin negara asing di khemah itu berbanding hotel mewah.
Pada tahun 2007, Gaddafi bukan sahaja memacakkan khemah di kawasan lapang sebuah hotel lima bintang di Paris malah mempamerkan untanya di situ.

Senarai sisi eksentrik Gaddafi seperti yang dilaporkan akhbar Britain, Daily Mail termasuklah tindakannya membawa unta gurun Sahara sebagai sebahagian daripada rombongan pengiringnya semasa beliau melawat Perancis.Gaddafi memerlukan lima buah kapal terbang untuk mengangkut semua ahli rombongannya.
Gaddafi memacakkan khemahnya di estet milik jutawan Amerika, Donald Trump di New York semasa menghadiri Perhimpunan Agung, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada September 2009. Gaddafi mengembara dengan membawa khemah bagi menonjolkan asal-usul Badwi.Masyarakat Badwi merupakan kumpulan puak yang tinggal di kawasan padang pasir di Afrika.

Khemah

Apabila mereka berkelana merentas padang pasir, mereka akan mendirikan khemah bagi bermalam atau berlindung daripada cuaca buruk termasuk ribut pasir.Kain khemah itu biasanya diperbuat daripada bulu biri-biri yang ditenun dengan tangan.Dengan memakai gel dan rambut yang diwarnakan semasa tiba di Itali dua tahun lalu, Kolonel itu disifatkan media Barat mirip gaya Raja Pop, Michael Jackson.

Di tengah dadanya tersemat sekeping gambar pemimpin pemberontak Libya yang telah dihukum gantung oleh penjajah Itali pada tahun 1931. Beliau diberi sambutan negara oleh Perdana Menteri Silvio Berlusconi.
Pakaian Gaddafi sememangnya sering menarik perhatian. Beliau gemar memakai jubah yang panjang berjela dan mengenakan cermin mata seperti seorang juruterbang.Beliau yang memakai topi tentera, kelip merah dan pakaian lengkap seorang kolonel tentera masih mencuri tumpuan.Namun, pasukan pengawal peribadi Gaddafi, kini berusia 68 tahun, lebih memukau. Mereka memakai uniform khaki dan beret merah sambil menggalas senapang Kalashnikov buatan Rusia.

GAYA Gaddafi tidak banyak berubah sejak berkuasa lebih 40 tahun lalu.


Kira-kira 42 tahun lalu, Gaddafi menggulingkan raja terakhir Libya, Raja Idris atas nama revolusi Islam. Beliau juga mengisytiharkan dirinya sebagai pelopor sosialisme Islam.Bagaimanapun, pengawal peribadi wanitanya itu tidak menyorokkan wajah mereka di sebalik burqa.Menurut Gaddafi, mereka adalah simbol kepercayaannya pada emansipasi wanita."Wanita patut dilatih untuk berlawan, jadi mereka tidak mudah dipermainkan oleh musuh," kata Gaddafi.
Raja AfrikaSemua wanita itu dikatakan telah mengangkat sumpah taat setia kepada Gaddafi dan sanggup menyerahkan seluruh hidup mereka untuk lelaki itu.Ternyata, dikatakan tiada seorang pun daripada mereka pernah meninggalkan Gaddafi baik siang mahupun malam.Gaddafi juga menegaskan semua pengawalnya masih dara iaitu syarat wajib sebelum dibenarkan bertugas dalam pasukan elit itu.
Malah, pekerjaan yang dianggap berprestij itu sentiasa menjadi buruan wanita Libya.Mereka dilatih di sebuah kolej khas dan mengikuti program fizikal yang lasak.Mereka dilatih untuk menjadi pembunuh, pakar senjata api dan mahir dalam seni mempertahankan diri.Gaddafi akan membuat sendiri pemilihan terakhir, namun ada khabar angin kononnya pengawal peribadi itu turut dikehendaki melayan kehendak seksual Gaddafi.Wanita-wanita itu memakai lipstik, barang kemas, kuku yang dikilatkan bahkan kasut tumit tinggi tetapi ketangkasan mereka telah diuji berulang kali.
Pada tahun 1998, salah seorang daripada mereka terbunuh dan tujuh yang lain cedera selepas kumpulan fundamental Islam di Libya menyerang kenderaan Gaddafi.Gadis yang mati itu dikatakan merupakan pengawal kesukaan Gaddafi. Dia 'menerbangkan' dirinya untuk melindungi tubuh Gaddafi.Dia rela mati ditembusi peluru berbanding membiarkan peluru itu mengenai tuannya.Kehebatan Gaddafi adakalanya dipuji lawan dan kawan. Malah, ramai yang tertanya-tanya bagaimana Gaddafi, yang pernah dianggap oleh Barat sebagai bapa keganasan dan lelaki di sebalik pengeboman Lockerbie pada tahun 1988, diberi layanan istimewa oleh Berlusconi.

SUASANA lapangan terbang di Tripoli minggu ini yang menyaksikan ramai rakyat asing meninggalkan Libya berikutan pergolakan anti-Gaddafi.


Sebenarnya, tidak ramai pemimpin dunia seperti Gaddafi mengekalkan kuasa dan mengharungi pelbagai tekanan sepanjang 40 tahun pemerintahannya.Beliau menulis sendiri buku Green Book yang memaparkan pandangan politik dan teori sosialnya.Apabila beliau berkuasa pada tahun 1969, Gaddafi sanggup menghukum musuhnya tanpa belas kasihan.Pada tahun 1970, beliau sendiri mengarahkan hukuman gantung sampai mati dilakukan di tempat awam.Pada tahun 1977, beliau hadir semasa pelajar-pelajar yang memberontak ke atas rejimnya dihukum gantung.Kuasanya bukan setakat di Libya malah diakui di seluruh Afrika. Dua tahun lalu, Gaddafi menjemput lebih 200 kerabat raja Afrika dan pemimpin puak ke bandar Benghazi yang terletak di pinggir Laut Mediterranean bagi menyokong kempen 'Penyatuan Afrika' Gaddafi.
"Kita mahu tentera Afrika mempertahankan Afrika, kita mahu mata wang tunggal Afrika dan kita hanya perlukan satu pasport untuk mengembara ke seluruh negara di Afrika," beritahu Gaddafi kepada kumpulan itu yang datang dengan memakai mahkota emas dan pakaian kebesaran berwarna-warni.
Selepas peristiwa itu, Gaddafi mula digelar 'Raja Segala Raja' di Afrika. - Agensi

Ahad, 27 Februari 2011

FUTSAL PERSAHABATAN ASIS UM 2011 (SAINS GUNAAN PENGAJIAN ISLAM)



Penulis Smart Generation sekadar berkongsi gambar-gambar kenangan penulis bersama rakan-rakan batch ASIS (Sains Gunaan Pengajian Islam) setelah kami 5 tahun bersama sejak daripada Universiti Malaya Nilam Puri sehingga ke kampus Utama Universiti Malaya di Kuala Lumpur.
Sememangnya hubungan persahabatan yang telah terjalin sejak sekian lama ini akan terus menjadi memori terindah dalam perhubungan persahabatan ini.Walaupun masing-masing sibuk dengan tugas dan kerja kuliah,tetapi tetap dapat meluangkan masa seketika untuk bersama dalam perlawanan persahabat futsal pada malam 26 Februari yang lalu.Terima kasih kepada rakan-rakan yang telah menganjurkan program seumpama ini untuk memastikan hubungan silaturahim antara kami akan terus berkekalan.


Tahun ini merupakan tahun terakhir buat kami semua di Universiti Malaya.Semoga kita semua akan terus berjaya dalam lapangan masing-masing.Semoga ukhuwah yang telah terbina selama ini akan terus berkekalan...





















Sabtu, 26 Februari 2011

NAJIB PERLU MOHON MAAF SECARA TERBUKA JIKA BENAR MELABELKAN IKHWANUL MUSLIMIN SEBAGAI PENGGANAS DAN YUSOF QARADHAWI SEBAGAI SESAT...


salam kepada semua...


Datuk Seri Najib Tun Razak harus memberikan penjelasan berhubung dakwaan bahawa beliau telah melabelkan gerakan Ikhwanul Muslimin sebagai Pengganas dan Tokoh Ulama terkenal Dunia Syeikh Yusof Al-Qaradhawi sebagai membawa kesesatan ke timur tengah.Datuk Seri Najib Tun Razak harus bertanggungjawab dengan kenyataan yang telah beliau keluarkan ini.

Kenyataan ini harus di tarik balik dan beliau seharusnya memohon maaf secara terbuka kepada Ulama ini.Sekiranya Datuk Seri Najib mempunyai kebimbangan terhadap sosok seperti Sheikh Yusuf al-Qaradawi, maka mengapa beliau dianugerahkan dengan pengiktirafan selaku Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan tahun 2009/1431?.


Umat islam seharusnya bersatu dalam menentang kuasa-kuasa barat yang ternyata mahu menghapuskan islam secara terancang.Barat khususnya Amerika dan Yahudi Israel sudah tentu mahu mempergunakan pemimpin-pemimpin Negara Islam untuk menjatuhkan dan melemahkan umat islam itu sendiri.Saya berharap Datuk Seri Najib Tun Razak tidak termasuk dalam jerat barat yang mahu menghapuskan umat islam.Seharusnya kita perlu memberikan sokongan secara terbuka kepada Ulama-Ulama kita yang masih berani mempertahankan agama kita daripada terus di hina...

Sila lihat laporan National Review Online
 

By Seth Mandel 
[NRO] Since the beginning of the uprising in Egypt and the expected power shift in favor of the Muslim Brotherhood, the Islamic world has rallied around the Brotherhood and demanded that the West engage with them. But a crack in that unity appeared today when Malaysian prime minister Najib Razak said that the Muslim Brotherhood “shouldn’t be part of the process as long as they don’t reject violence and extremism.”

“Anyone who wants to be part of the political process should adopt values that are compatible with democracy,” Najib said in an interview in Istanbul, where he is speaking at a conference on moderation. “It’s not just about having a vote and choosing your leaders; it’s also part of imparting the right values for democracy to work, because there are failed democracies as well.”

Najib said he has “some concerns, deep concerns” about Yusuf al-Qaradawi, the Muslim Brotherhood’s spiritual leader. Those concerns center on Qaradawi’s support and justification for terrorism, which carries a great deal of weight given Qaradawi’s credibility as an Islamic scholar. It is exactly that type of Muslim leader that has led the Middle East astray, according to Najib. “We have lost a lot of ground to the extremists in the Middle East.”

He offered his own country as a model to emerging Islamic governments in the Middle East, saying that Secretary of State Hillary Clinton has described Malaysia as “modern, progressive, and moderate.”

“We shouldn’t want to impose on people, but people are welcome to study our experience and how we’ve done things in Malaysia. Perhaps it could be useful in their country,” he said.

Too many leaders, Najib said, misunderstand moderation. “I think they’re not paying enough attention to the values associated with being a moderate,” he said. “Moderate doesn’t mean that you’re a wimp — far from it. It means that you’ve chosen a path because you believe that’s the only way for global harmony and peace.”

PILIHAN RAYA KECIL DUN KERDAU DAN MERLIMAU:PEMBANGUNAN ATAU PERUBAHAN..????



DUA LAWAN DUA DI MERLIMAU DAN KERDAU.....SIAPAKAH AKAN MENJADI JUARA RAKYAT...?????


BARISAN NASIONAL ATAU PAKATAN RAKYAT...?????
MERLIMAU DAN KERDAU SECARA TRADISINYA MERUPAKAN KUBU KUAT BARISAN NASIONAL...NAMUN DALAM PILIHAN RAYA KECIL INI SEGALA-GALANNYA JUGA BOLEH TERJADI.....MUNGKIN PAS BISA MELAKUKAN KEJUTAN DI KEDUA-DUA KAWASAN INI...



MAMPUKAH PAS UNTUK MEREALISASIKAN HASRAT DAN PERJUANGAN MEREKA IAITU ``PAS GANTI UMNO`` ....?????



ADAKAH RAKYAT DI KERDAU DAN MERLIMAU MAHUKAN PERUBAHAN PEMBANGUNAN DI KAWASAN INI ,JUSTERU MEREKA PERLU MEMILIH BARISAN NASIONAL....



JIKA MEREKA MAHUKAN PERUBAHAN KEPIMPINAN DI KAWASAN INI MEREKA PERLU MEMILIH PARTI PAS.....



KITA NANTIKAN KEPUTUSANNYA...SIAPAKAH AKAN MENJADI JUARA RAKYAT DI KAWASAN INI..???



PEMBANGUNAN ATAU PERUBAHAN.....????



Berikut merupakan berita penuh mengenai perkara ini :-


Calon kerusi DUN Kerdau, Hassanuddin Salim (kiri) dari PAS dan Syed Ibrahim Syed Ahmad mewakili BN selepas disahkan status mereka pagi tadi. — Foto oleh Choo Choy May
 


KUALA LUMPUR, 26 Feb — Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat yang diwakili PAS berhadapan dengan pertarungan satu lawan satu pada kedua-dua pilihan raya kecil serentak — DUN Merlimau dan Kerdau. 

Status calon parti-parti yang mengemukakan borang penamaan calon disahkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebentar tadi sejurus selepas berakhirnya sesi bantahan.Pilihan raya kecil Merlimau dan Kerdau — yang ke-15 dan ke-16 sejak 8 Mac 2008, menyaksikan pertembungan tradisi Umno dan PAS.
BN memenangi kedua-dua kerusi itu tiga tahun yang lalu.

Di Merlimau, Roslan Ahmad dari BN berhadapan dengan calon PAS Yuhaizat Abdullah.
Yuhaizat merupakan Timbalan Ketua Pemuda PAS Melaka dan Timbalan Yang Dipertua PAS Jasin.
Sementara di kerusi DUN Kerdau, PAS diwakili Ketua Penerangan PAS Pahang Hassanuddin Salim manakala BN pula Naib Ketua Umno Kuala Krau Syed Ibrahim Syed Ahmad.Hassanuddin pernah bertanding di Kerdau pada 2008 tetapi tewas.

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri kawasan Kerdau berlangsung di Dewan Tun Razak, Majlis Perbandaran Temerloh dengan dikendalikan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Tarif Abdul Rahman.Kerusi itu kosong berikutan kematian Datuk Zaharuddin Abu Kassim dari BN 12 Februari lepas.Pada pilihan raya umum 2008, Zaharuddin menewaskan Hassanuddin dengan majoriti 1,615 undi.
Pengundian bagi kedua-dua kerusi diadakan pada 6 Mac ini dengan kempen rasmi bermula hari ini.Sementara itu penamaan calon kerusi Merlimau diadakan di Dewan Platinum Politeknik Merlimau.Sebaik tempoh pencalonan ditutup, borang-borang pencalonan dipamerkan di papan kenyataan berhadapan pusat penamaan itu untuk semakan umum.

Tempoh bantahan dibuka selama sejam dan tamat pada pukul 11 pagi.Pilihan raya kecil DUN Merlimau diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan pada 20 Januari lepas akibat serangan jantung.Pada pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir menewaskan calon PAS Jasme Tompang dengan majoriti undi 2,154.Pengesahan 'pertarungan' kedua-dua calon di Merlimau diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Merlimau Roslan Eusoff pada pukul 11.30 pagi.
Menurut beliau, Yuhaizat menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.05 pagi manakala Roslan berbuat demikian pada pukul 9.07 pagi.

“Terdapat tiga bantahan dikemukakan bagi pencalonan-pencalonan berkenaan, namun ia ditolak,” katanya ketika membuat pengumuman tersebut.Ini merupakan kali pertama kedua-dua calon bertanding dalam pilihan raya.Menurut Tarif, semasa sesi bantahan membabitkan Kerdau terdapat satu bantahan diterima tetapi ia telah ditolak.

Terdapat seramai 8,999 pengundi berdaftar di DUN Kerdau, 15 daripadanya pengundi pos.“Sebanyak 13 pusat mengundi dengan 22 saluran mengundi,” kata Tarif.Di Kerdau, sebagaimana disaksikan di DUN Tenang bulan lalu, jumlah pengundi wanita melebihi jumlah pengundi lelaki dengan pengundi wanita 4,628 iaitu 51.43 peratus.“Tiga kawasan di DUN berkenaan mempunyai jumlah pengundi lebih daripada 1,000 orang iaitu kawasan Felda Jengka 23 seramai 1,572 orang, Desa Murni (1,343 orang) dan Felda Jengka 22 (1,048 orang),” katanya.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

BORANG TEMPAHAN ONLINE (LENGKAPKAN SELEPAS PEMBAYARAN DI BUAT SAHAJA)

Powered by 123ContactForm | Report abuse