TERIMA KASIH BRITISH KERANA TIDAK PERNAH MENJAJAH TANAH MELAYU, MALAH MENAUNGI DAN MELINDUNGI KITA SEMUA!!!
[SN275] Hanya dengan
sedikit fakta tentang Mat Indera yang disentuh oleh Mat Sabu mengenai
isu perjuangan kemerdekaan di dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau
Pinang pada 21 Ogos lepas, Timbalan Presiden PAS itu sehingga kini masih
teruk ‘dibelasah’ oleh UMNO dan para penyokongnya. Sudah tiga minggu
isu ini dimainkan oleh media arus perdana untuk menghentam Mat Sabu
habis-habisan, yang hakikatnya telah menambahkan lagi populariti
pemimpin nombor dua PAS itu. Bermula dengan isu Mat Sabu sokong Mat
Indera dalam serangan ke atas balai polis Bukit Kepong, kemudian
berkembang menjadi isu Mat Sabu sokong komunis, kemudian berkembang lagi
menjadi isu PAS sokong komunis. Disusuli selepas itu dengan isu fakta
sejarah negara yang diberi amaran oleh UMNO agar tidak diubah oleh PAS.
Kali ini, UMNO nampaknya mengerahkan seluruh kekuatannya dari Perlis hingga ke Johor untuk men’diskredit’kan Mat Sabu yang disifatkan sebagai ayam sabung PAS itu. Pendek kata, selagi ada peluru, walau sekecil mana sekalipun, selagi itulah UMNO terus menembak musuhnya itu. Mat Sabu, disamping mengemukakan pelbagai bukti dan hujah untuk mempertahankan pendapatnya, dalam masa yang sama menganggap bahawa isu ini sengaja diperbesarkan oleh UMNO untuk menutup segala kepincangan parti Melayu terbesar itu sekaligus mengalihkan isu ‘pilihanraya bersih’ yang diperjuangkan oleh PAS dan beberapa NGO lainnya. Dari isu ini juga, UMNO nampaknya cuba menyerlahkan ‘kebaikan’nya dengan terus memuji dan mempertahankan bekas polis dan tentera beserta keluarga mereka yang terlibat dengan peristiwa Bukit Kepong yang selama ini tidak pernah diambil peduli pun.
Setelah segala berita dan putarbelit dimainkan untuk menaikkan kemarahan rakyat terhadap Timbalan Presiden PAS itu dengan menuduh beliau menyokong perjuangan komunis, UMNO nampaknya masih belum berpuas hati kerana masih ada isu yang belum mereka jawab iaitu berhubung dakwaan Mat Sabu bahawa pemimpin awal UMNO dan juga pasukan keselamatan yang bertugas di Bukit Kepong adalah mereka yang berkhidmat di bawah penjajah British.
Dalam menjawab isu ini, Majlis Profesor Negara (MPN) dilibatkan untuk menolak dakwaan bahawa anggota polis dan pemimpin negara seperti Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman di zaman pentadbiran British di Tanah Melayu sebagai ‘polis British’ atau ‘pegawai British’. Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosio Budaya MPN, Profesor Datuk Dr. Zainal Kling tiba-tiba muncul di arena dan membuat satu pengisytiharan mengejutkan bahawa, meskipun British mengetuai seluruh pentadbiran Persekutuan Tanah Melayu pada ketika itu, namun Tanah Melayu bukan tanah jajahan British! Menurutnya, Tanah Melayu adalah negara naungan yang diiktiraf kedaulatan dalamannya termasuk institusi dan Majlis Raja-Raja Melayu yang menjadikan semua pegawainya adalah pegawai Tanah Melayu dan bukannya pegawai British. “Oleh itu, apabila golongan kiri seperti komunis menentang anggota polis maka mereka menentang pasukan keselamatan Tanah Melayu, meskipun ianya diketuai oleh Pesuruhjaya British,” katanya. Ini berdasarkan perjanjian Pangkor yang ditandatangani di antara Sultan Perak dengan pentadbir British pada tahun 1874 di mana dipersetujui bahawa Tanah Melayu sebagai ‘protectorate’ (tanah naungan dan lindungan), tegas Zainal [UM 10/09/11]. Nah! Kita menyaksikan kini satu peristiwa baru yang amat bersejarah telah tercipta di Malaysia, yang bakal menukar sejarah hitam Malaysia selama ini menjadi putih, bahawa sebenarnya Tanah Melayu tidak pernah dijajah oleh British, malah British adalah negara ‘penaung dan pelindung’ Tanah Melayu!!!
Tanah Melayu Tidak Pernah Dijajah?
Serangan terbaru ini merupakan kesinambungan dari serangan bertubi-tubi tanpa henti UMNO ke atas orang nombor dua PAS itu, di mana polemik ini bukan sahaja telah memuakkan rakyat, malah kini telah masuk ke tahap tak masuk akal dan menjadi bahan ketawa! Semua ini angkara keangkuhan UMNO yang tidak mahu mengaku bahawa para pemimpin awal mereka yang selama ini dijulang sebagai pejuang kemerdekaan, hakikatnya adalah merupakan orang yang berkhidmat untuk British! Sautun Nahdhah dalam siri ke-84 (tahun 2006) yang bertajuk “Erti Sebuah Kemerdekaan” telah pun mengungkap tragedi Bukit Kepong yang merupakan serangan oleh sepasukan komunis terhadap polis yang berkhidmat di bawah British.
Seribu satu persoalan telah dan boleh diajukan kepada MPN dengan kenyataan amat naif yang telah dikeluarkan itu, yang hakikatnya telah menjatuhkan kredibiliti MPN di mata orang-orang yang berfikir. Soalan pertama yang seharusnya dijawab oleh Zainal ialah, kenapa baru sekarang beliau mengeluarkan kenyataan seumpama itu. Kenapa selama puluhan tahun menjadi profesor, beliau tidak pernah mendedahkan hal ini kepada umum? Atau mungkin lebih baik beliau mengaku sahajalah bahawa kenyataan ini sebenarnya adalah sebuah “kenyataan politik”, bukannya kenyataan akademik, yang dikeluarkan kerana adamya sebuah keperluan.
Ramai pihak sebenarnya menuntut jawapan dari Zainal dalam hal ini, kerana jika benar kita tidak pernah dijajah, maka tidak timbul soal kita ‘merdeka’! Bagaimana mungkin boleh ada kemerdekaan jika tidak ada penjajahan? Kemerdekaan dari siapakah yang disambut besar-besaran oleh kerajaan setiap tahun pada 31 Ogos, jika British tidak pernah menjajah Tanah Melayu? Bukankah Malaysia merupakan salah sebuah negara anggota Commonwealth yang mana Commonwealth hakikatnya adalah pertubuhan negara-negara bekas jajahan British? Kenapa ada istilah ‘pejuang kemerdekaan’? Jika Tanah Melayu tidak pernah dijajah, maka ini bermakna kita tidak sepatutnya ada pejuang kemerdekaan, malah para pemimpin UMNO yang dijulang selama ini sebagai ‘pejuang kemerdekaan’ merupakan satu fakta yang salah. Gelaran ‘Bapa Kemerdekaan’ yang telah diberi kepada Tunku Abdul Rahman juga sebenarnya adalah gelaran sia-sia yang tidak seharusnya wujud. Malah, kematian Tok Janggut dan ramai lagi yang berjihad menentang British, kesemuanya adalah sebuah kebodohan dan kematian sia-sia kerana mereka mati menentang orang yang datang untuk menaungi dan melindungi kita!!!
Lebih naif, bekas Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya itu merujuk kepada Perjanjian Pangkor untuk menegakkan pendapatnya dengan mengatakan bahawa di dalam perjanjian tersebut British tidak pernah menyatakan bahawa mereka ingin menjajah tetapi ingin menjadikan Tanah Melayu sebagai ‘the protected Malay State’ atau disebut sebagai ‘protectorate’ (negeri naungan dan lindungan). Persoalannya, mestikah ada perjanjian bertulis dari penjajah (dan dipersetujui oleh pihak yang dijajah) yang mengatakan bahawa “kami dengan ini menjajah kamu”, barulah sesebuah negara itu ‘sah’ dikatakan dijajah? Adakah wujud penjajah ‘sebaik’ ini yang akan buat perjanjian terlebih dahulu sebelum menjajah, dan tidak akan menjajah sesebuah negara jika negara tersebut tidak bersetuju? MPN nampaknya macam sebuah badan yang langsung tidak cerdik untuk memahami kelicikan kuffar British selaku musuh Islam di dalam menjajah Tanah Melayu sebagai salah sebuah tanah umat Islam.
Penjajah British Yang Licik
Sesungguhnya British adalah negara penjajah. Ini adalah hakikat yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun. Sewaktu zaman keemasannya, British telah menjajah puluhan negara umat Islam, baik di Asia Barat, Asia Tengah mahupun Asia Tenggara. British adalah negara penganut dan pengembang ideologi Kapitalisme. Orang yang buta sekalipun mengetahui bahawa musuh utama ideologi Kapitalisme adalah ideologi Islam dan juga ideologi Sosialisme/Komunisme. Tiga ideologi di dunia ini adalah ideologi yang saling bertentangan antara satu sama lain dan saling cuba menguasai di antara satu sama lain. British, sebagai salah sebuah negara di Eropah yang rata-rata penduduknya terdiri dari penganut agama Kristian, sememangnya telah memusuhi Islam sejak sekian lama. Dendam kesumat mereka terhadap umat Islam sejak Perang Salib tidak pernah padam. Namun, kesan dari Perang Salib dan lain-lain peperangan mengajar mereka bahawa umat Islam amat sukar untuk dikalahkan di dalam peperangan fizikal. Oleh kerana itulah mereka telah menukar serangan mereka ke dunia Islam dengan melakukan serangan pemikiran dan antara serangan pemikiran yang telah memberi kejayaan besar kepada mereka ke atas dalam dunia Islam adalah serangan assabiyyah (bangsa) dan wathaniyyah (tanahair).
Dari segi sejarah, penjajah kuffar Britsih telah berjaya menjajah negara Islam satu per satu setelah sebelumnya mereka sebarkan dengan racun assabiyyah dan wathaniyyah yang menyebabkan umat Islam berpecah. Di waktu umat Islam berada di bawah kesatuan Negara Khilafah dan di bawah kepimpinan seorang pemimpin (Khalifah), puak kuffar British ini menusukkan jarum assabiyyah dan wathaniyyah ke dalam diri setiap Muslim agar cintakan bangsa dan tanahair masing-masing. Di zaman Khilafah Uthmaniyyah yang berpusat di Turki, dengan racun assabiyyah dan wathaniyyah inilah, British telah berjaya menumbuhkan kebencian bangsa Arab terhadap bangsa Turki dan sebaliknya. Akhirnya British berjaya menggerakkan kekuatan Arab untuk menentang Khilafah di Turki yang menyebabkan berlakunya peperangan sesama Muslim atas dasar assabiyyah dan wathaniyyah di mana umat Islam ketika itu ‘ingin merdeka’ dan memerintah tanahair sendiri. Perasaan ingin merdeka ketika itu hakikatnya adalah kemerdekaan yang diingini oleh umat Islam dari Daulah Khilafah. Inilah yang diingini dan dirancang oleh British dengan licik.
Ringkasnya, dengan bantuan British, satu demi satu tanah umat Islam telah ‘merdeka’ (terlepas) dari kesatuan Khilafah yang mana akhirnya British dapat masuk menjajah dengan mudah. Setelah satu demi satu tanah Islam terkeluar dari Daulah Khilafah, tanah-tanah Islam ini akhirnya diperintah secara langsung oleh British dengan menerapkan undang-undang kufurnya dan Negara Khilafah yang tersisa menjadi semakin kecil dan lemah. Perasaan assabiyyah dan wathaniyyah yang telah ditanam oleh British inilah antara penyebab kepada runtuhnya Daulah Khilfah dan dengan kehancuran Daulah Khilafah, kerja British untuk memusnahkan kekuatan umat Islam menjadi lebih mudah. Kuffar penjajah ini kemudiannya melantik dan melatih pemimpin dari kalangan umat Islam untuk menjadi ejennya, yang memerintah dengan cara yang mereka kehendaki (sekular) dengan mencampakkan kesemua hukum-hukum Allah dari pemerintahan negara. Mereka melatih, menjaga, mendidik dan membesarkan ejen-ejen ini sehingga mereka benar-benar berpuas hati bahawa pemimpin ini akan pasti mengikuti telunjuk dan ‘menyembah’ mereka dari satu generasi ke satu generasi dan ke generasi seterusnya. Setelah yakin bahawa para pemimpin ini akan memerintah dengan sistem kufur yang mereka ajarkan dan setelah yakin para pemimpin ini tidak akan menyatukan semula umat Islam di bawah kesatuan Khilafah, maka satu per satu tanah jajahan ini ‘dimerdekakan’ oleh British. Tanah Melayu juga tidak terkecuali dari kelicikan yang sama dilakukan oleh kuffar British ini.
Antara Hak Dan Batil
Di antara kelicikan penjajah British adalah ‘mengangkat’ para pejuang assabiyyah dan wathaniyyah sebagai hero sehingga setiap orang Islam berebut-rebut ingin menjadi atau termasuk ke dalam kategori ‘pejuang bangsa dan tanahair’. British tidak akan membunuh para ‘pejuang bangsa’ ini kerana inilah yang dikehendaki oleh British, yakni lahirnya seramai mungkin pejuang bangsa dan tanahair. Tetapi British akan membunuh ‘pejuang Islam’ seperti Tok Janggut dan lain-lain kerana pejuang Islam adalah musuh British. Begitu juga dengan pejuang komunis, akan dibunuh oleh British kerana komunisme adalah musuh kapitalisme. Ringkasnya, sesiapa yang menentang British atas nama bangsa dan tanahair, akan ‘diredhai’ oleh British dan dilayan dengan baik, tetapi sesiapa yang menentang British atas nama Islam (atau Komunisme), akan diperangi oleh British. Kerana itulah kita menyaksikan bahawa nama-nama pejuang bangsa dan tanahair seperti Tunku Abdul Rahman, Onn Jaafar dan lain-lain ‘diangkat’ oleh British, manakala nama-nama pejuang Islam (dan pejuang Komunis) dianggap sebagai pengkhianat oleh British.
Justeru, tidak hairan sekiranya kita melihat UMNO menjulang para pejuang bangsa dan tanahair kerana itulah hakikat perjuangan UMNO, yang telah terbius dengan didikan dari British selaku bekas tuannya. Dan tidak hairan juga sekiranya kita melihat pemimpin UMNO (melalui pasukan polis) memantau, menangkap dan memenjarakan para pejuang Islam yang berdakwah ingin menegakkan Islam di Malaysia, kerana inilah juga didikan British yang telah dicerap oleh UMNO sejak sekian lama yakni agar UMNO kekal sebagai pejuang sekularisme dan memusuhi Islam serta para pejuang Islam.
Kerana masih terpengaruh dengan racun assabiyyah dan wathaniyyah, kita menyaksikan percakaran yang berlaku di antara UMNO dan PAS sekarang hanyalah seputar isu siapakah pejuang bangsa dan tanahair. Perbalahan mengenai siapakah hero kemerdekaan negara yang sebenar, yang panas sejak tiga minggu lepas, adalah satu perbalahan yang langsung tidak ada kena mengena dengan Islam, bahkan tidak menguntungkan Islam sedikitpun. Baik Mat Indera mahupun Tunku Abdul Rahman, Onn Jaafar dan lain-lain (yang dikategorikan sebagai nasionalis kiri dan kanan), selama mana mereka berjuang atas nama bangsa dan tanahair, maka ini bukanlah satu perjuangan Islam dan merupakan satu perjuangan yang tidak perlu diperbalahi atau diangkat atau dibangga-banggakan. Ini kerana berdasarkan Al-Quran dan Al-Hadis, perjuangan bangsa dan tanahair ini merupakan sebuah keharaman yang jelas lagi nyata! Sabda Nabi SAW,
“Bukan dari kalangan kami orang yang menyeru kepada assabiyyah, orang yang berperang kerana assabiyyah dan mati kerana (mempertahankan) assabiyyah” [HR Abu Dawud].
Malaysia sebenarnya tidak pernah merdeka dalam ertikata yang sebenar. Kemerdekaan Malaysia daripada British hanyalah kemerdekaan dari kehadiran tubuh badan orang-orang kafir British, namun hakikatnya pemikiran, sistem dan undang-undang kufur British masih tertancap kuat dan dalam, di dalam pemikiran para pemimpin di Malaysia. British menjajah Tanah Melayu dengan menyebarkan ideologi kufur mereka dan sehinggalah ke hari ini, kita menyaksikan betapa undang-undang dan sistem pemerintahan di negara kita hakikatnya saling tidak tumpah dengan undang-undang dan sistem pemerintahan British, sama-sama diasaskan kepada ideologi Kapitalisme yang bertentangan dengan Islam. Perlembagaan yang digubal oleh si kafir Lord Reid yang masih dipegang kukuh, ditaati baik oleh pemerintah mahupun pembangkang merupakan bukti betapa pemikiran, undang-undang dan sistem kufur masih menebal di dalam pemikiran sebahagian besar pemimpin dan umat Islam di Malaysia. Justeru, semua perbalahan yang sia-sia ini harus ditinggalkan segera dan kesemua pihak harus kembali kepada perjuangan Islam!
Khatimah
Wahai kaum Muslimin! Kalau kita mengambil kira pandangan MPN, nampaknya, kerajaan Malaysia kena memohon maaf kepada British di atas keceluparan selama ini yang menuduh British sebagai penjajah. Mungkin Dr. Zainal seharusnya menjadi orang yang pertama memohon maaf kepada British di atas keterlanjuran kerajaan Malaysia dan rakyat Malaysia selama puluhan tahun lamanya menuduh British sebagai penjajah. Tidak cukup dengan itu, kerajaan dan rakyat Malaysia juga seharusnya mengucapkan terima kasih yang tak terhingga kepada British kerana mereka sebenarnya datang ke Tanah Melayu bukan untuk menjajah, sebaliknya adalah untuk menaungi dan melindungi kita! Ya, British telah datang ke Tanah Melayu untuk ‘menaungi dan melindungi’ Tok Janggut dengan cara menyeksa dan membunuh pejuang Islam ini. British datang ke Tanah Melayu dan ‘menaungi’ kita dengan ideologi kufur mereka, dengan undang-undang dan sistem kufur mereka dan mereka memastikan yang pemimpin Tanah Melayu, setelah peninggalan mereka, tetap menaungi kita dengan undang-undang dan sistem kufur yang sama. British datang ke Tanah Melayu dan telah ‘melindungi’ para pemimpin dan penduduk Tanah Melayu daripada Islam sehingga para pemimpin ini langsung tidak nampak Islam sebagai cara hidup untuk mengatur negara. Inilah naungan dan perlindungan yang telah diberikan oleh kuffar British kepada kita di Malaysia! Justeru, patutkah kita menghadiahkan kepada British sebuah ‘kesyukuran’ di atas ‘jasa baik’ British selama ini yang telah ‘menaungi dan melindungi’ kita semua dengan kekufuran mereka?
1 ulasan:
UMNO-BRITISH
PAS-KOMUNIS
*sama2 saling menghentam
Catat Ulasan