Selamat datang ke blog Smart Generation kami menyediakan pelbagai jenis barangan untuk anda pilih dengan harga berpatutan! kepuasan anda keutamaan kami!.Jangan lupa untuk follow blog ini ok..:-)..SMART GENERATION MENGUCAPKAN TERIMA KASIH ATAS SOKONGAN ANDA.

Jumaat, 1 Julai 2011

HUKUM DEMONSTRASI MENURUT ISLAM

salam kepada semua...


alt
 
HUKUM DEMONSTRASI MENURUT ISLAM
 
[SN267] Umat Islam di seluruh dunia sedang menyaksikan kebangkitan dan sudah mula menuntut kembali kekuasaan yang telah dirampas dari mereka oleh para penguasa zalim di Timur Tengah. Dari satu negara ke negara yang lain, kita telah mula melihat tembok ketakutan terhadap rejim zalim yang sekian lama berkuasa, menyeksa, memenjara dan menghalang aspirasi politik umat Islam, sudah mula dihancurkan. Beberapa orang penguasa telah jatuh dan yang lain sedang hidup di ambang kejatuhan atau ketakutan. Maka, di dalam usaha untuk mempertahankan sisa-sisa kekuasaan yang ada, seluruh kekuatan polis dan tentera dikerahkan oleh para penguasa zalim ini untuk membantai rakyat yang melakukan protes terhadapnya. Kini, senario yang hampir sama sudah boleh disaksikan di Malaysia.

Gabungan Pilihan raya Bersih Dan Adil (Bersih) sejak lebih sebulan lalu telah melancarkan usaha untuk menggerakkan rakyat Malaysia untuk mengadakan protes besar-besaran kepada kerajaan bagi menuntut pilihan raya umum ke-13 yang bakal diadakan nanti agar berjalan dengan bersih dan adil. Bertemakan ‘Bersih 2.0’, usaha kumpulan yang diketuai oleh Datuk Ambiga Sreenevasan itu menuntut lapan perkara yang kesemuanya berkaitan pilihan raya dan bercadang menyerahkan memorandum tuntutan tersebut kepada Yang Dipertuan Agung semasa demonstrasi besar-besaran yang dirancang pada 9 Julai ini.

Demonstrasi ini nampaknya mendapat sambutan hangat dari parti-parti pembangkang dan beberapa NGO sehingga benar-benar membuatkan kerajaan UMNO-BN gelisah tidak menentu dan pihak polis pula menjadi ‘semakin ganas’. Belum pun perhimpunan Bersih 2.0 diadakan, sudah lebih seribu laporan polis dikatakan telah dibuat. Ambiga pula dilaporkan telah menerima ugutan bunuh manakala Pemuda UMNO dan kawan baik UMNO, Perkasa, telah pun mengadakan demonstrasi lebih awal untuk membantah Bersih 2.0. Namun sebagaimana kita sedia maklum, apa jua demonstrasi yang dibuat oleh UMNO, Perkasa dan kumpulan mana sekalipun yang merupakan penyokong kerajaan, semuanya selamat dari gangguan polis, malah kehadiran polis di tempat yang berkenaan adalah untuk menjaga dan melancarkan lagi perhimpunan. Pemuda UMNO dan Perkasa telah pun mengeluarkan kenyataan dan berikrar bahawa mereka akan mengerahkan penyokong-penyokong mereka bagi menghalang perhimpunan pada 9 Julai nanti walaupun akan berlaku pertembungan dan kekecohan.


Dalam masa yang sama, sudah berpuluh penyokong Bersih ditangkap oleh pihak polis di dalam kempen-kempen awal yang mereka jalankan dan dikaitkan dengan usaha menghidupkan semula fahaman komunis dan sebagainya. Premis-premis mereka diserbu dan digeledah serta polis telah bertindak melampau dengan menangkap tanpa sebab, sehinggakan sesiapa sahaja yang memakai baju Bersih ditangkap. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah pun mengisytiharkan ‘keharaman’ kemeja-T Bersih dan menegaskan bahawa polis akan mengambil tindakan ke atas orang ramai yang memakai baju tersebut kerana ia jelas ada hubung kait dengan perhimpunan haram tersebut [UM29/06/11].


Di antara isu utama yang timbul dalam perhimpunan Bersih 2.0 ini adalah isu ‘perhimpunan haram’. Pihak polis bersungguh-sungguh memberi amaran dan menekankan bahawa perhimpunan nanti adalah perhimpunan haram kerana tidak ada permit, yang sepatutnya dimohon di bawah Akta Polis 1967. Manakala di pihak penganjur dan penyokong Bersih pula, mereka berhujah berdasarkan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan hak rakyat untuk berhimpun. Sekali lagi kita melihat bahawa kedua-dua pihak, walaupun majoritinya terdiri dari umat Islam, telah merujuk kepada undang-undang taghut untuk ‘mengesahkan’ atau ‘menghalalkan’  tindakan masing-masing. Sungguh menyedihkan apabila ulama dan gerakan Islam sekalipun tetap menyandarkan ‘kehalalan’ atau ‘keharaman’ perhimpunan ini berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, bukannya berdasarkan Al-Quran dan Sunnah yang sewajibnya menjadi nas untuk mengukur sesuatu perbuatan sama ada halal atau haram!


Hukum Demonstrasi


Secara amnya, kami telah pun menjelaskan hukum demonstrasi menurut Islam di dalam Sautun Nahdhah siri ke-71 (tahun 2006). Namun demikian, kami masih tetap berusaha untuk mengingatkan para  pembaca sebagai saudara sesama Muslim dan menambah sedikit lagi perbincangan mengenainya. Adalah amat penting untuk kita fahami bahawa memuhasabah penguasa adalah satu kewajiban di dalam Islam, dan tanggungjawab ini terletak di bahu setiap Muslim tidak kira lelaki atau wanita serta di mana sekalipun mereka berada. Allah SWT telah mewajibkan kepada pemerintah untuk memerintah berdasarkan Al-Quran dan Sunnah dan umat Islam pula diwajibkan mentaati ulil amri (pemerintah) selama mana mereka masih berpegang teguh dengan Al-Quran dan Sunnah. Namun apabila mereka telah menyimpang dari keduanya, maka sabda Nabi SAW,


“Tidak ada ketaatan kepada makhluk di dalam (perkara) memaksiati Allah”
[HR Ahmad].

Inilah yang difahami oleh para sahabat dan ini ditunjukkan kepada kita dengan ucapan Abu Bakar As-Siddiq ketika beliau memegang jawatan Khalifah, katanya,


“Bantulah aku sekiranya aku berada di jalan yang benar dan betulkanlah aku jika aku menyimpang....taatilah aku selama mana aku mentaati Allah dan RasulNya. Apabila aku mengengkari Allah dan RasulNya, maka engkari dan nasihatilah aku”.


Dari banyak nas dan teladan daripada Al-Quran, As-Sunnah serta Khulafa’ Rasyidun, kita dapat fahami bahawa apabila seseorang penguasa itu tidak berhukum dengan Al-Quran dan Sunnah, sebalikya berhukum dengan hukum taghut seperti dalam sistem demokrasi sekarang, maka dia tidak lagi perlu ditaati sebaliknya wajib diluruskan (dimuhasabah). Muhasabah kepada pemerintah boleh (malah wajib) dilakukan di dalam pelbagai bentuk yang dibenarkan oleh syarak dan tidak terbatas hanya kepada satu bentuk tertentu sahaja. Ia boleh dilakukan baik secara individu atau berkumpulan, secara lisan mahupun penulisan, baik di media cetak, media elektronik dan sebagainya. Demonstrasi adalah salah satu dari bentuk muhasabah yang dibenarkan dengan syarat tidak melakukan kerosakan di dalamnya. Dalil-dalil secara amnya membolehkan anggota masyarakat untuk berkumpul dan menyuarakan pendapat selama mana pendapat tersebut adalah diperbolehkan di dalam Islam.


Protes dan demonstrasi adalah merupakan salah satu cara untuk menyuarakan pendapat. Namun perlu difahami bahawa hukumnya adalah bergantung kepada sebab dan tujuan demonstrasi atau protes tersebut dilakukan. Oleh itu segala fakta tersebut mestilah dianalisakan sebelum sesuatu uslub (cara) untuk menyuarakan pendapat tersebut boleh dikategorikan sebagai halal atau haram. Contohnya, sekiranya umat Islam keluar berdemonstrasi untuk menjadikan riba sebagai suatu yang halal, maka demonstrasi atau protes tersebut adalah haram sebab tujuannya adalah untuk melaksanakan suatu yang haram. Begitu juga jika anggota masyarakat keluar berdemonstrasi untuk menghalalkan arak, judi atau berdemonstrasi untuk melaksanakan atau mempertahankan undang-undang taghut atau Perlembagaan taghut, maka kesemua bentuk demonstrasi ini adalah haram. Tetapi sekiranya masyarakat keluar untuk memuhasabah pemerintah yang zalim atau untuk menyuruh mereka menerapkan undang-undang Islam, maka demonstrasi seperti ini adalah diperbolehkan. Ia ‘halal’ untuk dilakukan, bukan kerana Perlembagaan membenarkan atau kerana mendapat permit polis, tetapi kerana nas (dalil) membenarkannya!


Satu lagi dalil umum yang membenarkan ‘tunjuk perasaan’ adalah perintah amar ma’ruf nahi munkar yang diwajibkan ke atas umat Islam. Sabda Rasulullah SAW,


“Jihad yang paling afdhal adalah menyuarakan yang haq di hadapan pemerintah yang zalim”
[HR an-Nasa’i].

Hadis ini yang memerintahkan untuk melakukan aktiviti politik tanpa merincikan cara untuk menyuarakan kebenaran (hak) terhadap kezaliman pemerintah, menunjukkan bahawa segala cara yang tidak dibuktikan haram oleh syarak, maka ia diperbolehkan. Jadi, sama ada melalui surat, menyebarkan risalah, menerbitkan buku, menulis artikel di dalam media atau menegur secara terus kepada pemerintah adalah kesemuanya cara yang dibolehkan untuk mencapai tujuan tersebut. Hadis riwayat Bukhari yang berbunyi


“Sampaikan dariku walaupun satu ayat”


juga membawa maksud untuk menyampaikan kebenaran Islam kepada orang lain tanpa dirincikan kepada cara-cara tertentu. Oleh itu hadis-hadis ini sesungguhnya membolehkan kita untuk menyampaikan kebenaran (Islam) baik melalui cara perseorangan atau berkumpulan, baik di tempat khusus mahupun umum, baik di dalam kelas pengajian atau melalui internet dan sebagainya. Apa sahaja tindakan yang membawa kepada tujuan tersebut adalah diperbolehkan, selagi tiada dalil yang menunjukkan keharaman cara-cara tertentu yang diambil.


Di dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda,


“Penghulu para syuhada adalah Hamzah dan seorang yang berdiri di hadapan pemerintah yang zalim, menasihatinya lalu dia dibunuh oleh pemerintah tersebut”
[HR al-Hakim].

Fakta bahawa ‘penguasa diperbetulkan di hadapan umum dan di tempat umum’ adalah merupakan sebab yang paling utama untuk orang yang memperbetulkan pemerintah tersebut, dibunuh (oleh pemimpin yang zalim), sesuai dengan ungkapan hadis di atas. Di zaman Saidina Umar Al-Khattab menjawat jawatan Khalifah, beliau berpidato,


“Sesiapa di antara kalian yang melihat pada diriku suatu penyelewengan, maka hendaklah kalian meluruskannya”. Mendengar hal ini, seorang Arab badwi dengan lantang menjerit,“Demi Allah wahai Umar! Jika kami dapati kamu melakukan penyelewengan, maka kami akan meluruskan kamu dengan pedang kami yang tajam!”


Apakah tindakan Umar tatkala mendengar kenyataan sekeras ini? Khalifah yang hebat ini menerima jawapan itu dengan pujian dan penuh rasa gembira, beliau menjawab,


“Alhamdulillah, pujian bagi Allah yang menjadikan dari kalangan umat Muhammad mereka yang sanggup meluruskan Umar dengan pedangnya”.


Demikianlah seorang pemimpin yang adil dan baik, yang menerima secara terbuka nasihat dari rakyatnya, bukan sebagaimana seorang pemimpin yang zalim, yang menangkap dan membunuh rakyat yang menasihatinya!


Syeikh Abdul Aziz Al-Badri di dalam kitabnya ‘menterjemahkan’ kata-kata Umar seperti berikut:


“Tidak terlaksana maksud ‘meluruskan’ dalam perkara yang membabitkan pemerintahan melainkan dengan cara mengkritik. Islam mewajibkan ke atas setiap pemerintah yang menguasai urusan kaum Muslimin agar mendengar dan berlapang dada terhadap sesiapa sahaja yang mengkritiknya, sebagaimana ia diperintahkan agar tunduk kepada kritikan ini selagi mana ia bertepatan dengan perundangan dan hukum-hukum Islam. Sekaligus Islam melarang sebarang bentuk seksaan yang boleh menyakiti dan ancaman terhadap mereka yang mengkritik dan membangkangnya, sekalipun menerima kritikan yang pedas ataupun dengan kata-kata yang keras dan tajam”
[Abdul Aziz al-Badri, Al-Islam Baina al-Ulama’ Wa al-Hukkam].

Pasa satu ketika yang lain, Saidina Umar juga pernah ditegur di khalayak ramai di dalam satu majlis dengan dikatakan kepada beliau,


“Bertaqwalah engkau kepada Allah wahai Umar!’. Salah seorang yang hadir dalam majlis itu mencelah, ‘Berani engkau berkata demikian terhadap Amirul Mukminin!. Namun Saidina Umar menjawab dengan mutiara kata yang indah, ‘Tiada kebaikan bagi kamu (rakyat) jika kamu tidak menyatakannya dan tiada kebaikan bagi kami (pemerintah) jika kami tidak mendengarnya”
[Manaqib Amir al-Muminiin, Ibnu Jawzi].

Terdapat banyak sekali nas yang membenarkan perhimpunan (muhasabah) dilakukan di tempat umum. Imam Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu Abbas yang mengatakan,


“Apabila ayat berikut diturunkan, ‘Dan berikan peringatan (wahai Muhammad) kepada kaummu dan ahli keluargamu” [TMQ asy-Syu’ara (26):214], Rasulullah SAW berdiri di atas bukit Safa dan memberikan peringatan, “Wahai Bani Fahr! Wahai Bani ‘Adi!”. Ramai orang telah berkumpul termasuk Abu Lahab, lalu Rasulullah (SAW) bersabda, “Apa pandangan kamu sekiranya aku memberitahumu bahawa terdapat pasukan berkuda di sebelah lembah ini yang datang untuk menyerang kamu, adakah kamu mempercayaiku?’ Mereka menjawab, ‘Ya, kami tidak pernah melihat engkau berdusta’. Baginda lalu bersabda, ‘Aku adalah pemberi peringatan kepada kamu tentang azab yang besar’. Abu Lahab kemudian berkata, ‘Binasalah kamu! Apakah kamu mengumpulkan kami semata-mata untuk mendengar ucapan ini?”
.

Dalam redaksi Imam Muslim yang meriwayatkannya dari Abu Hurairah,


“Apabila ayat tersebut diturunkan, Rasulullah SAW telah memanggil kaum Quraisy dan mereka berkumpul lalu diberikan peringatan. Kemudian baginda SAW merujuk kepada kaum tertentu dan berkata, ‘Wahai Quraish, selamatkan diri kamu daripada api neraka; wahai kaum Bani Ka’ab, selamatkan diri kamu daripada api neraka; wahai Fatimah anak kepada Muhammad, selamatkanlah diri kamu daripada api neraka, sebab aku tidak berkuasa untuk menolong kamu daripada azab Allah kecuali yang mana aku memelihara hubungan denganmu”
.

Apa yang jelas di sini adalah, apabila Rasulullah SAW menerima perintah untuk berdakwah kepada kaumnya, baginda telah pergi ke Bukit Safa sambil memanggil kaum Quraisy untuk mendengar peringatannya. Peristiwa ini menunjukkan kepada kita bahawa diperbolehkan untuk menyampaikan kebenaran di khalayak ramai dan di tempat umum. Perbuatan Rasulullah ini menjadi dalil kepada kita bahawa berhimpun di tempat umum adalah dibolehkan. Namun apa yang mesti perhatikan di sini adalah, ‘perkara’ yang wajib disampaikan itu hendaklah perkara yang sejajar dengan tuntutan Islam, bukannya sejajar dengan undang-undang kufur. Dengan kata lain, perkara yang ingin diperkatakan itu adalah perkara yang bertepatan dengan Al-Quran dan Sunnah, bukannya perkara yang bertepatan dengan Perlembagaan taghut atau undang-undang taghut atau ke arah untuk melaksanakan atau mengekalkan sistem taghut.


Sesungguhnya di zaman Rasulullah SAW telah pun berlaku satu bentuk ‘demonstrasi’ yang dilakukan oleh para sahabat. Mujahid, yang melaporkan dari Ibnu Abbas, mengatakan bahawa, ketika Umar al-Khattab ditanya kenapakah dirinya mendapat gelaran al-Faruq (yang dapat memisahkan antara kebenaran dengan kebatilan), Umar berkata,


“Sejak aku memeluk Islam, adakah kita berada di jalan yang benar, di sini dan di Akhirat?’ Rasulullah SAW menjawab, ‘Sememangnya engkau adalah dalam keadaan demikian! Aku bersumpah dengan nama Allah yang nyawaku di dalam genggamanNya, engkau adalah di atas jalan yang benar di dunia ini dan di Akhirat’. Aku bertanya kepada Rasulullah, “Jika demikian, kenapakah kita melakukan aktiviti yang tersembunyi, tidak di khalayak ramai? Aku bersumpah dengan nama Allah yang mengutusmu dengan kebenaran, kita akan meninggalkan aktiviti sembunyi dan kita akan melakukan dakwah terang-terangan di hadapan masyarakat umum’. Kami kemudian berarak dalam dua kumpulan, Hamzah mengetuai yang satu lagi. Kami bergerak ke masjid di siang harinya. Apabila kaum musyrik melihat kami berkumpulan, muka mereka menjadi resah gelisah, dan mereka berasa susah dan berdukacita. Sejak peristiwa tersebut, Rasulullah SAW memberikan gelaran al-Faruq kepadaku” [Rahiq al-Makhtum].


Oleh yang demikian, demonstrasi dan protes terhadap penguasa yang bertujuan agar mereka menerapkan Islam, meluruskan kezaliman mereka atau membongkarkan pengkhianatan mereka terhadap Islam atau persekongkolan mereka dengan kuffar, adalah diperbolehkan berdasarkan nas-nas yang umum dan juga khusus. Kebolehan tersebut adalah dengan syarat bahawa tidak ada hukum-hukum syarak lainnya dilanggar semasa melakukan demonstrasi seperti pemusnahan harta benda awam, slogan jahiliyyah atau pencampuran bebas lelaki dan wanita dan seumpamanya.


Khatimah


Wahai kaum Muslimin saudara seIslam sekalian! Sukalah kami mengingatkan kalian bahawa walaupun demonstrasi aman (masirah) dibenarkan dalam Islam, namun lihatlah kepada perkara atau ‘tuntutan’ di dalam demonstrasi yang ingin kalian lakukan. Sekiranya tuntutan yang kalian ingin suarakan adalah bertepatan dengan Islam dan sesuai dengan kehendak Allah, maka silalah berbuat demikian, semoga Allah bersama kalian dan semoga Allah memakbulkan tuntutan kalian. Namun, jika apa yang kalian ingin suarakan di dalam demonstrasi adalah suatu yang bertentangan dengan Islam dan perintah Allah, maka jauhilah diri-diri kalian dari murka Allah dan nasihatilah saudara-saudara kalian yang lain agar tidak melakukan hal yang sama. Fikirkanlah dengan berlapang dada dan hati yang jernih serta  penuh keikhlasan semata-mata kerana Allah, adakah tuntutan untuk ‘membersihkan’ pilihan raya di bawah sistem demokrasi kufur ciptaan manusia ini, merupakan cara yang bertepatan dengan syarak di dalam usaha kita untuk merubah sistem taghut ini, kepada sistem Islam ciptaan Allah Azza Wa Jalla?



4 ulasan:

Shahidah berkata...

wah ! bagus2 . . saya dah baca yg kertas punya . . :)

insyaAllah ia akan bg kesedaran kpd semua . .
moga Allah memberikn pahala kpd dirimu kerana telah mnyebarkn yg haq . .

Tanpa Nama berkata...

mcmane nk berjuang ke jln Allah,cmne nk jd demonsrasi bersih klu yg memimpin pon bkn islam..yg nk jatuhkan islam...yg dpt dana dr yahudi...ye..sy sdg brckp ttg ambiga!kite yg islam ni pon percaye la kt die..dan kisah yg trjd pd iraq pon brlaku..di mane, org kafir msuk ke iraq, n org islam bg segala bantuan kpd org kafir utk mnjatuhkan pemimpin islam..skrg pe jd??umat islam kt iraq nk angkat kepala pon xbole..hmmmmm..kite berjuang kerana Allah..bkn kerana harga brg naik..mnyak naik or len2..tegakkan Agama Allah dlu..bru pkr bangse dan negara..peace..

Insan Berakal berkata...

TO July 01, 2011 11:28 PM

Macamna nak taat pada pemerintah kalau pemerintah pun dapat dana dari Yahudi dan gunakan Apco sebagao penasihat? BERSIH berjuang untuk bersihkan PRU dan bukannya untuk Ambiga atau mane2 parti.

Mazz berkata...

mohon share..

CARI ITEM PILIHAN ANDA DI SINI

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

BORANG TEMPAHAN ONLINE (LENGKAPKAN SELEPAS PEMBAYARAN DI BUAT SAHAJA)

Powered by 123ContactForm | Report abuse