Tambah nilai harta bersih anda, tanam modal dalam pakej terbaik
MEMBINA kekayaan adalah mengenai penambahan nilai harta bersih anda seperti dibincangkan dalam keluaran lalu. Aset tolak liabiliti sama dengan nilai harta bersih anda, yang mungkin positif (merujuk kepada nilai aset melebihi nilai liabiliti) atau negatif (nilai liabiliti melebihi nilai aset).
Dalam perbincangan kali ini, kita akan bertumpu pada peningkatan aset melalui simpanan dan pelaburan. Matlamat pelaburan anda, apabila menabung secara berterusan, anda perlu membuat keputusan penting mengenai cara melabur wang anda.
Bagaimana berbuat demikian? Mudah saja, langkah pertama untuk melabur secara berhemat adalah dengan menetapkan matlamat pelaburan anda.
Bagaimana menetapkan matlamat pelaburan yang sesuai dengan keperluan anda? Ada pelbagai soalan penting yang perlu difikirkan sebelum keputusan pelaburan dibuat.
Mari kita kaji soalan berikut untuk melihat beberapa isu yang selalu difikirkan
Anda hendaklah bersikap realistik apabila menjawab soalan-soalan itu. Ambil kira sumber pendapatan anda dan fikir bagaimana anda boleh menyimpan dan melabur secara konsisten.
Matlamat kewangan dan pelaburan anda seharusnya munasabah dan boleh dicapai. Ingatlah untuk menjadikan matlamat kewangan dan pelaburan anda munasabah serta boleh dicapai.
Kisah Adam
Dalam siri 12 artikel ini, kita berbincang bagaimana perancangan kewangan boleh menjadi amalan harian apabila kita mengharungi liku dan cabaran berbeza dalam kehidupan kita.
Berikutan perancangan kewangan adalah suatu bahagian yang penting ketika membesar, setiap orang - tidak kira tua atau muda harus mempunyai pengetahuan asas dalam ilmu kewangan.
ADAM seorang pemuda budiman yang berasal daripada keluarga sederhana dan memilik tiga adik. Bapanya seorang juruteknik di sebuah syarikat tempatan manakala ibunya pula mengajar di sekolah rendah.
Adam adalah anak sulung dalam keluarga dengan seorang adik lelaki dan dua adik perempuan yang masih di bangku sekolah. Keluarganya bukanlah kaya tetapi mereka mempunyai semua keperluan asas hidup serta sedikit wang sampingan untuk dibelanjakan ketika percutian sekeluarga.
Adam dan adik-adiknya bukan selalu dapat menikmati permainan serta alatan terkini canggih. Malah, Adam sering ditegur bapa dengan kata-kata - bukan senang hendak cari wang, rezeki tidak jatuh dari langit tahu?
Adam baru menamatkan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan sementara menunggu keputusannya, Adam mencari kerja sambilan. Beliau berjaya mendapat kerja sebagai juruwang bank dan dibayar gaji RM800.
Sebaik menerima gaji pertamanya, separuh daripada gajinya dimasukkannya ke dalam akaun bank. Sebenarnya, tabiat menabung ini dipupuk oleh ayahnya sejak Adam kecil lagi.
Ayahnya pernah berpesan pada Adam dan adik-beradiknya untuk menabung sebaik saja mereka mula bekerja. Dengan gajinya yang selebihnya, sekali-sekala Adam membawa keluarga keluar menikmati makan malam.
Dari bulan kedua, Adam mula berfikir untuk merancang belanjawannya. Ini kerana sejak Adam mula bekerja, beliau tidak lagi menerima wang saku daripada ibu bapanya.
Adam tidak mahu terlalu bergantung pada ibu bapanya. Adam juga tidak mahu membazirkan wang yang diperolehnya dengan titik peluhnya sendiri (sekarang Adam sudah mula sedar mengenai nilai wang!)
Jadi Adam menyediakan belanjawan berikutnya:
Pendapatan (RM)
Gaji bulanan 800
Perbelanjaan (RM)
- Makanan 250
- Pengangkutan 150
- Pakaian dan hiburan 200
- Hadiah kepada ibu bapa 10
- Tabungan 100
Jumlah 800
(Untuk kiraan mudah, kita membuat andaian bahawa tidak ada apa-apa potongan berkanun ditolak daripada gajinya)
Adam menganggap perbelanjaan makanan mencakupi bahagian terbesar daripada perbelanjaannya. Lalu Adam memperuntukkan RM10 setiap hari untuk belanja makanan (purata 25 hari kerja dalam sebulan). Ini cuma untuk makan tengah hari dan snek petang.
Adam bercadang untuk bersarapan pagi dan makan malam di rumah kerana ini bukan saja menjimatkan belanja malah lebih menyihatkan.
Adam juga membeli kad perjalanan bulanan berbanding pas harian. Ini kerana ia lebih murah sekiranya penumpang selalu menggunakan pengangkutan awam.
Dengan perbelanjaan RM135 sebulan, Adam dapat menikmati perjalanan dengan bas awam dan LRT. Adam juga memperuntukkan wang sebanyak RM15 sekiranya beliau perlu menggunakan teksi ketika hari hujan.
Adam juga mengetepikan sehingga RM200 untuk dirinya bagi perbelanjaan pakaian dan hiburan, seperti menonton wayang di hujung minggu dan sekali-sekala keluar bersama kawan dan keluarga.
Sebagai seorang anak yang baik, Adam memberikan wang sebanyak RM50 pada kepada kedua-dua ibu dan bapanya dan selebihnya sebanyak RM100 ditabungkan. Selepas bekerja di bank selama enam bulan, Adam mendapat berita bahawa keputusan STPM akan diumumkan. Adam kemudian memaklumkan kepada penyelia bahawa beliau akan berhenti kerja tidak lama lagi kerana ingin melanjutkan pelajaran.
Pengurusnya juga menawarkan untuk mengambil Adam bekerja secara tetap selepas beliau memperoleh ijazah. Sokongan ini membuat Adam berasa bangga dan kini lebih bertekad untuk belajar bersungguh-sungguh.
Sepanjang malam Adam berasa gelisah memikirkan keputusan STPM yang bakal diumumkan pada keesokan harinya. Namun, selepas menatap buku tabungannya, Adam tersenyum kerana berjaya menabung wang hampir RM1,000 (wang yang tidak dibelanjakannya disalurkan kepada tabungan) sepanjang enam bulan bekerja.-AKPK
Tiada ulasan:
Catat Ulasan