Isnin, 5 Mac 2012
ANALISIS CAMPUR TANGAN KUASA LUAR DI SYRIA
ANALISIS CAMPUR TANGAN KUASA LUAR DI SYRIA
[SN296] Krisis di Syria sudah menjangkau hampir setahun. Krisis yang bermula sejak bulan Mac 2011 ini telahpun mengorbankan sebanyak lebih lapan ribu nyawa dan sehingga hari ini, masih belum kelihatan bibit-bibit penyelesaian yang dapat memberikan ketenangan bagi hati-hati yang terus merintih melihat kekejaman yang dilakukan oleh rejim Al-Assad ke atas umat Islam di Syria. Keganasan rejim Bashar Al-Assad terhadap rakyatnya sendiri ini telah melahirkan pelbagai reaksi dari dalam dan luar Syria. Selain dari kegigihan rakyat Syria yang terus menerus mengadakan demonstrasi meskipun nyawa mereka terancam, telah lahir sebuah kumpulan penentang bersenjata seperti Tentera Pembebasan Syria (Free Syrian Army) yang telah diwujudkan secara rasmi melalui deklarasi di sebuah laman web pada bulan Julai 2011. Selain dari kumpulan bersenjata, dua parti pembangkang juga telah ditubuhkan iaitu Majlis Kebangsaan Syria (Syrian National Council) dan Jawatankuasa Penyelaras Kebangsaan (National Coordination Committee).
Hakikatnya, krisis di Syria ini bukanlah krisis dalaman yang hanya melibatkan rejim Assad dan rakyat Syria sahaja. Ia sebenarnya merupakan sebuah medan pergelutan antara kuasa-kuasa besar dunia. Penglibatan Amerika, Britain, Eropah, Rusia, China dan pelbagai negara lain dalam kancah konflik ini telah menambahburukkan lagi suasana di Syria. Seorang Muslim perlu mengambil tahu dan memahami krisis yang terjadi dan perlu faham akan peranan yang dimainkan oleh kuasa besar seperti AS dan Eropah. Politikus Muslim haruslah melihat konflik ini dengan pemahaman politik yang benar dan dengan suatu pandangan yang khusus, yakni dengan pandangan Islam yang jelas. Sautun Nahdhah kali ini menyajikan sedikit analisis politik mengenai peranan kuasa besar dunia di kawasan yang bergolak ini dan betapa perlunya Syria kepada Khilafah.
Peranan AS Dalam Krisis Di Syria
Pemerintahan Bashar di Syria adalah atas restu Amerika. Fokus Amerika kebelakangan ini adalah untuk menyediakan alternatif (pengganti) kepada Bashar dan bukan lagi untuk ‘menyimpan’ Bashar. Ini kerana, sebagai pemerintah, Bashar telah gagal menstabilkan kuasanya yang sekaligus bermakna beliau telah gagal untuk memenuhi kepentingan Amerika di rantau tersebut. AS khuatir sekiranya ia mengarahkan Bashar untuk melepaskan jawatan sebelum ada pengganti yang setia kepada AS, terdapat pihak lain yang mungkin akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan Bashar. Pihak ini mungkin merupakan pemerintah yang ikhlas atau mungkin juga merupakan ejen kepada Eropah, khususnya UK. Oleh yang demikian, AS terpaksa memberikan Bashar peluang dengan apa cara sekalipun untuk terus kekal di kerusi pemerintahan, sementara AS pada masa yang sama mencari penggantinya yang sesuai.
AS sedang berusaha untuk meletakkan pengganti Bashar melalui dua saluran. Pertama, melalui Majlis Kebangsaan Syria dan AS telah ‘menyerahkannya’ kepada Turki secara langsung. Kedua, melalui Jawatankuasa Penyelaras Kebangsaan yang mana AS telah ‘menyerahkannya’ kepada Iran. Namun begitu, kedua-dua entiti ini masih belum mencapai kesepakatan yang membolehkan mereka mengawal keadaan sekiranya kuasa diserahkan kepada mereka sekarang. Oleh yang demikian, AS cuba untuk menggabungkan keduanya melalui sebuah perjanjian kerjasama, dengan harapan perjanjian kerjasama tersebut dapat memberikan mereka momentum yang cukup dan seterusnya memberikan mereka sokongan yang kuat dari rakyat Syria dan juga negara-negara Arab lainnya.
Nabil Al-Arabi, Setiausaha Liga Arab telah pun menjalankan tugasnya dalam hal ini dan telah berjaya di dalam proses penandatanganan perjanjian di antara mereka pada 30/12/2011. Ia sebenarnya telah ditandatangani terlebih dahulu oleh Burhan Khaluon bagi pihak Majlis Kebangsaan dan Haytham Manna bagi pihak Jawatankuasa Penyelaras. Bagaimanapun, ‘respon’ rakyat terhadap mereka dalam hal ini adalah berupa pemberontakan di jalanan yang terus berlaku, yang telah menyebabkan Al-Arabi dan Khaluon berputus asa. Memandangkan ini merupakan inisiatif AS untuk menguji sejauh mana rakyat menerima keterlibatan kedua-dua entiti ini dalam rangka mencari pengganti kepada Assad dengan cara yang paling ‘wajar’, adalah semakin jelas kepada Amerika bahawa tidak ada seorang pun, sama ada secara sendiri atau bersama dengan yang lain, yang boleh mengisi kekosongan di dalam pemerintahan Syria dan diterima oleh rakyat.
Dalam kes veto oleh pihak Rusia di dalam Majlis Keselamatan PBB, ia telah dibuat selepas pertemuan di antara Clinton dan Menteri Luar Rusia. Pihak media, beberapa jam sebelum pertemuan tersebut, telahpun mengulas tentang kedudukan Russia yang semakin berlembut sehingga beberapa orang wakil di PBB menyuarakan sikap optimis bahawa Moscow tidak akan mengganggu draf resolusi. Namun begitu, sebaik sahaja selesai pertemuan antara Clinton dan Menteri Luar Russia tersebut, yang berlangsung di Munich pada hari Sabtu 04/02/12 dan sejurus sebelum undian oleh Majlis Keselamatan pada hari yang sama, nada Russia ternyata telah berubah. Apa yang mungkin telah berlaku adalah seolah-olah Clinton, semasa pertemuan tersebut telah memprovokasi atau melakukan sesuatu sehingga Menteri Luar Rusia tidak mengubah posisinya untuk memveto resolusi tersebut – seolah-olah Amerika mahu Rusia berbuat begitu!!
Oleh yang demikian, kita dapat membuat kesimpulan bahawa, sebaik sahaja Amerika berjaya mendapatkan pengganti, ia akan mengarahkan Bashar untuk berundur dan Bashar tidak akan sanggup untuk mengatakan tidak, kerana Amerikalah yang membawa Assad dan orang-orangnya ke tampuk kekuasaan yang mana selama ini Bashar hanya didokong oleh Amerika, bukannya oleh rakyat. Oleh itu, sekiranya Amerika mengarahkan mereka untuk berundur secara serius, mereka tidak boleh menolak. Sehingga masa tersebut tiba, Amerika memberikan lampu hijau kepada Bashar untuk terus melakukan pembunuhan dan kekejaman. Nampaknya, alternatif untuk Bashar sudah semakin dipersiapkan. Pergerakan Majlis Kebangsaan telah menjadi semakin dinamik dan jika Amerika berjaya mempengaruhi Majlis Kebangsaan ini, maka kemungkinan besar Amerika akan melepaskan sokongannya terhadap Jawatankuasa Penyelaras Kebangsaan, menciptakan dua pihak dalam pemerintahan Syria, Majlis Kebangsaan sebagai pihak pemerintah dan Badan Penyelaras Kebangsaan sebagai pihak pembangkang.
Pengaruh Dan Usaha Eropah
Pengaruh dan kekuatan Eropah khususnya Britain dan Perancis di Syria senantiasa dibendung di sepanjang masa pemerintahan Assad. Oleh itu, peluang mereka untuk mengganggu perancangan Amerika di Syria adalah tipis walaupun tidak diragui bahawa mereka telah mampu untuk sedikit sebanyak menggoncang perancangan Amerika. Secara zahir, memang kita dapat melihat bahawa AS seolah-olah sehaluan dengan Eropah dalam kata-kata namun amat jelas sekali Amerika tidak konsisten dalam mengimplementasi ‘kesepakatan kata-kata’ ini.
Eropah juga sedang berusaha untuk mempercepatkan penyelesaian krisis kerana mereka sedar bahawa Amerika sedang sibuk menyediakan pengganti Bashar. Eropah cuba menimbulkan keraguan di dalam hal ini. Sesiapa sahaja yang memerhatikan tindakan Menteri Luar Qatar, Presiden Jawatankuasa Arab Untuk Hal-Ehwal Syria (Arab Committee on Syrian Affairs) yang setia kepada British dan tindakan Nabil Al-Arabi, Setiausaha Liga Arab yang pro Amerika, akan dapat melihat perkara ini dengan jelas. Dalam ucapan mereka di New York, Menteri Luar Negeri Qatar begitu lantang dalam ucapannya manakala Nabil bersikap apologetik di mana dia telah mengulang-ulang kenyataannya seolah-olah dia tahu bahawa kenyataannya itu tidak akan dapat memuaskan pendengarnya.
Amerika dan ejennya merancang dan menggerakkan kakitangan mereka agar melewat-lewatkan pengunduran Bashar bagi membolehkan mereka mempersiapkan pengganti untuknya. Eropah dan ejen mereka pula berusaha memanaskan keadaan dan mencari penyelesaian yang dapat mengekalkan pengaruh mereka di Syria dengan pelbagai cara. Antara usaha yang telah dilakukan oleh Eropah adalah seperti penarikan balik para pemerhati mereka dari negara-negara Teluk, atau melalui cadangan dari Menteri Luar Tunisia, Rafiq Abdul Salam pada 12/02/12, untuk mengadakan persidangan antarabangsa di Tunisia bertemakan ‘Sahabat-Sahabat Syria’ pada 24/02/12. Cadangan ini amat dialu-alukan oleh Arab Saudi dan Qatar. Peranan Eropah di sebalik cadangan ini dapat dilihat dengan jelas melalui petikan oleh Associated Press di mana Michael Mann, jurucakap Menteri Luar Kesatuan Eropah mengatakan bahawa Kesatuan Eropah bercadang untuk memainkan peranan aktif di dalam organisasi Sahabat-Sahabat Syria!
Kesemua usaha ini hakikatnya telah diawali oleh pertemuan Majlis Kerjasama Teluk (Gulf Cooperation Council) yang mengeluarkan amaran keras melalui Saud al-Faisal. Ini disusuli pula dengan pertemuan Menteri-Menteri Liga Arab yang banyak dipengaruhi oleh Majlis Kerjasama Teluk. Apa yang nyata, salah satu dari resolusi yang dikeluarkan adalah untuk meminta Majlis Keselamatan PBB agar menghantar pasukan pengaman, yang telah diluluskan dengan segera oleh Kesatuan Eropah walaupun ia hanyalah satu undangan yang dipanjangkan kepada Majlis Keselamatan. Walaubagaimanapun, perancangan ini gagal akibat tindakan veto. Semua ini menunjukkan bahawa kelantangan suara Eropah di dalam Liga Arab sudah mula termanifestasi, yang sebelum ini tidaklah seberapa, khususnya dalam keadaan di mana Amerika tidak percaya bahawa suara Eropah akan diterima kerana Eropah dianggap tidak mempunyai kaedah pelaksanaan yang berkesan.
Mengenai veto yang telah dilakukan oleh Rusia dan China, walaupun mereka menunjukkan penentangan terhadap inisiatif PBB ini, pengaruh mereka dan pengaruh politik mereka di Syria adalah terlalu lemah untuk memberikan kesan yang besar ke atas suasana politik di Syria, meskipun mereka mempunyai kepentingan ekonomi dan ketenteraan dengan Syria. Asas tindakan mereka memveto resolusi tersebut, khususnya bagi Russia, adalah kerana kekhuatiran berulangnya campurtangan ketenteraan oleh NATO dalam menyelesaikan masalah dalaman negara tersebut. Rusia masih lagi terkesan akibat penglibatan NATO di Kosovo. Rusia berharap agar NATO tidak akan campurtangan di rantau berkenaan walaupun NATO telahpun melakukan campurtangan di Libya. Tambahan pula, terdapat beberapa kawasan di Rusia dan China yang agak ‘panas’ dan tidak stabil seperti di Kaukasus dan Republik Asia Tengah seperti Turkistan Timur dan Tibet di China. Di dalam keadaan ‘panas’ ini, kebangkitan sebagaimana yang berlaku di Timur Tengah boleh berlaku di kawasan-kawasan tersebut. Oleh itu, campurtangan NATO dalam hal ini sememangnya membimbangkan kedua-dua negara tersebut.
Pengumpulan Senjata Oleh Golongan Alawiyyin
Dalam perkembangan terbaru, diberitakan bahawa golongan Alawiyyin mula mengumpulkan senjata di Syria dan ini menimbulkan kebimbangan banyak pihak. Hakikatnya ini adalah tidak lebih dari jaminan bagi golongan Alawiyyin untuk mempertahankan diri mereka setelah pengunduran pemimpin mereka. Pengumpulan senjata ini bukanlah bermakna mereka akan mendirikan negara mereka sendiri di tempat mereka tinggal. Ini adalah kerana, sekiranya Amerika telah meminggirkan mereka, mereka tidak akan dapat mendirikan sebuah negara sendiri walaupun sebahagian dari mereka cuba untuk berbuat demikian. Oleh yang demikian, pengumpulan peralatan senjata tersebut adalah bagi memastikan mereka selamat selepas golongan mereka (Alawiyyin) tidak lagi memerintah Syria.
Memang benar bahawa golongan Alawiyyin mempunyai cita-cita untuk memerintah negara mereka sendiri yang terpisah dari orang-orang Islam. Mereka pernah meminta dari Perancis agar mereka diberikan sebuah negara yang terpisah selepas kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah. Namun begitu, buat masa ini, cita-cita mereka itu adalah suatu yang tidak mungkin tercapai.
Syria Perlukan Khilafah
Umat Islam di Syria sudah cukup lama menderita di bawah kezaliman rejim Bashar al-Assad yang diwarisi dari rejim bapanya sebelum itu. Di sepanjang proses kebangkitan yang kita saksikan sekarang, Bashar telah melakukan kekejaman di luar batas kemanusiaan ke atas rakyatnya sendiri. Si diktator ini terus-menerus menyerang dan membunuh rakyatnya tanpa belas kasihan. Dia membedil apa sahaja yang ada di hadapannya tanpa mengira apakah ia seorang wanita yang baru menjadi balu, seorang bayi, mahupun seorang yang telah tua. Kekejamannya telah benar-benar menguji keimanan dan keberanian rakyat Syria.
Namun, di sebalik segala pembunuhan brutal yang dilakukan oleh Al-Assad, kita dapat melihat jauh ke dalam hati para penunjuk perasaan yang tidak mengenal erti takut apatah lagi penat lelah itu, suatu sifat unik yang sungguh memukau. Apakah sifat tersebut? Baik lelaki mahupun wanita di Syria, mereka telah sama-sama memilih jalan kematian daripada menyerahkan diri kepada si zalim tersebut. Tanpa memandang lagi serangan bersenjata oleh tentera Syria yang telah memusnahkan rumah, bangunan, sekolah dan hospital, kaum Muslimin tetap tabah dan bertekad meneruskan protes sehingga mereka melihat si Bashar berundur atau mereka (kaum Muslimin) menemui ajal mereka. Mereka tidak lagi akan berpatah balik sehingga jika kematian menjemput mereka sekalipun, mereka sudah yakin bahawa ia adalah kematian yang mulia di sisi Allah SWT. Umat Islam di Syria sudah membuang penyakit wahn (cinta dunia dan takut mati) dari diri-diri mereka. Mereka sudah yakin bahawa syurga itu semakin dekat dengan mereka dan tumpahnya darah mereka itu tidaklah sia-sia selama mana perjuangan mereka adalah semata-mata kerana Allah SWT.
Rakyat Syria benar-benar menginginkan dan memerlukan perubahan dan perubahan yang sebenar tidak akan berlaku dengan hanya perubahan pemimpin, dari seorang pemimpin diktator kepada pemimpin diktator yang lain. Perubahan sebenar juga tidak akan berlaku dengan hanya perubahan dari sistem pemerintahan diktator kepada sistem pemerintahan demokrasi kerana kedua-duanya merupakan sistem kufur. Perubahan yang sebenar hanya akan terjadi apabila sistem kufur yang sedia ada digantikan dengan sistem pemerintahan Islam yakni sistem Khilafah. Inilah perubahan yang diperlukan oleh rakyat Syria. Dan perubahan ini tidak akan dapat dicapai selagi umat Islam berharap kepada PBB, Amerika, Eropah, Liga Arab mahupun OIC. Perubahan sebenar hanya akan dapat dicapai apabila umat Islam bergerak dan berjuang untuk menegakkan Khilafah, sebuah Negara Islam yang akan menerapkan Kitabullah dan Sunnah RasulNya di dalam pemerintahan.
Sesungguhnya Rasulullah SAW telah mendoakan kebaikan untuk bumi Syam. Rasulullah SAW juga telah menjanjikan khabar gembira bahawa Khilafah suatu hari nanti akan tegak di bumi Syam. Maka berjuanglah wahai ahlu (penduduk) Syam dan usunglah khabar gembira ini sehingga ke liang lahad kalian. Insya Allah apabila fajar Khilafah telah menyingsing, kesedihan yang kalian hadapi akan segera berakhir dan cahaya kemenangan Islam akan kembali menerangi langit dan alam buana ini seperti mana yang telah dijanjikan Allah Azza wa Jalla. Allah SWT telah pun memberikan khabar gembira buat orang-orang yang beriman bahawa,
“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhaiNya untuk mereka dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahKu dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun denganKu dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik” [TMQ an-Nur (24):55].
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
CARI ITEM PILIHAN ANDA DI SINI
BORANG TEMPAHAN ONLINE (LENGKAPKAN SELEPAS PEMBAYARAN DI BUAT SAHAJA)
Powered by 123ContactForm | Report abuse
Tiada ulasan:
Catat Ulasan