Cheras: “Saya sangkakan anak patung jatuh melayang dari tingkat atas bangunan. Namun, saya tergamam apabila seorang wanita jatuh terhempas mati betul-betul di hadapan saya,” kata saksi kejadian bunuh diri yang hanya mahu dikenali sebagai Haikal, 25.
Dalam kejadian jam 4.07 petang semalam, mangsa, Woo Kwan Ti, 26, dikatakan terjun dari tingkat tujuh Bangunan Pusat Komuniti, Bandar Tun Razak, di sini.
Haikal yang ditemui berkata, dia sempat melihat kelibat objek jatuh dari atas kepalanya tanpa menyangka ia adalah manusia.
Menurutnya, dia bagaimanapun terkejut apabila tubuh mangsa terhempas di kaki lima tingkat bawah bangunan itu tidak jauh dari lokasi dia berdiri.
WOO ditemui mati selepas terjun dari tingkat tujuh Bangunan Pusat Komuniti, semalam.
“Saya tergamam seketika, namun segera mendapatkan bantuan orang ramai. Bagaimanapun, mangsa disahkan sudah mati di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada organ dalaman,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Cheras Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, siasatan awal mendapati mangsa berasal dari Taman Mulia Bandar Tun Razak, Cheras.
Menurutnya, mangsa yang masih bujang itu pernah beberapa kali cuba untuk membunuh diri sebelum ini, namun gagal kerana sempat diselamatkan ahli keluarganya.
“Hasil siasatan mendapati mangsa mengalami masalah psikiatri sejak lima tahun lalu.
“Ibunya turut mengesahkan perkara itu dan mangsa sering mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM),” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke PPUKM untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga mangsa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan