PENDAPATAN DAN PERBELANJAAN DALAM NEGARA ISLAM (KHILAFAH)
[SN279] Bajet 2012 telah dibentangkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan pada 7 Oktober lepas. Tiga hari sebelumnya iaitu pada 4 Oktober, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku ketua pembangkang telah terlebih dahulu membentangkan Belanjawan Pakatan Rakyat di salah sebuah bilik dalam bangunan Parlimen. Seperti biasa, setiap kali selepas bajet dibentangkan, maka para menteri dan para penyokong kerajaan akan memuji habis-habisan anggaran pendapatan dan perbelanjaan tersebut seolah-olah tidak ada sedikit pun cacat cela di dalamnya. Manakala di pihak pembangkang pula, seperti lazimnya, akan memberi komen dari aspek negatif dengan mendedahkan segala kepincangan di dalam bajet tersebut.
Apa yang pasti, kesemua belanjawan yang telah dibentangkan tersebut dibuat di dalam kerangka sistem sekular yang sedia ada dan terdapat banyak elemen yang bercanggah dengan syarak di dalamnya. Sebagai sebuah negara penganut ideologi kapitalisme, tanpa perlu mengulas lanjut setiap perkara yang dibentangkan pada bajet kali ini, kita sudah memahami bahawa bajet yang dibentangkan itu hanyalah cerminan dari sistem kapitalisme yang sememangnya bercanggah dengan ideologi Islam. Justeru, Sautun Nahdhah kali ini ingin memaparkan kedudukan Baitul Mal di dalam Negara Khilafah secara umum, sebagai sebuah institusi yang mengendalikan segala urusan kewangan Negara.
Baitul Mal merupakan institusi khusus yang menangani harta yang diterima oleh Negara dan memperuntukkannya kepada kaum Muslimin yang berhak menerimanya. Setiap harta, baik berupa tanah, bangunan, galian, wang mahupun harta benda lainnya, di mana kaum Muslimin berhak memilikinya sesuai dengan hukum syarak dan pemiliknya tidak ditentukan lagi, maka harta tersebut adalah hak Baitul Mal. Demikian juga setiap harta yang wajib dikeluarkan untuk orang-orang yang berhak menerimanya, untuk kemaslahatan kaum Muslimin dan pemeliharaan urusan mereka, serta untuk biaya pengembangan dakwah, merupakan tanggungjawab Baitul Mal untuk mengendalikannya. Ringkasnya, Baitul Mal adalah salah satu struktur dari Sistem Pemerintahan Islam (Khilafah) yang merupakan tempat penyimpanan dan pengeluaran harta Negara.
Adapun Baitul Mal di masa Nabi SAW, belum ada tempat yang khusus. Ini disebabkan harta yang masuk pada saat itu belum begitu banyak. Lagi pula hampir selalu habis dibahagikan kepada kaum Muslimin serta dibelanjakan untuk penjagaan urusan mereka. Ketika itu Rasulullah SAW segera membahagikan harta ghanimah dan seperlima bahagian darinya (al-akhmas) sejurus selesainya peperangan tanpa menundanya sedikitpun. Dengan kata lain, baginda segera membelanjakannya menurut ketentuan. Hasan bin Muhammad menyatakan, “Bahwasanya Rasulullah SAW tidak pernah menyimpan harta, baik siang mahupun malam.” Dengan kata lain, apabila harta itu datang pada pagi hari, tidak sampai setengah hari harta tersebut sudah habis dibahagikan. Demikian juga jika harta itu datang di siang hari, maka tidak pernah sampai tersisa hingga malam harinya. Kerana itu, tidak pernah ada harta tersisa yang memerlukan tempat penyimpanan tertentu.
Ketika Abu Bakar menjadi Khalifah, cara seperti itu pun berlangsung di tahun pertama kekhilafahannya di mana jika datang harta kepadanya dari sebahagian daerah kekuasaannya, maka ia membawanya ke Masjid Nabawi dan terus membahagikannya kepada orang-orang yang berhak menerimanya. Kadang-kadang Khalifah Abu Bakar menugaskan Abu Ubaidah bin al-Jarrah untuk melakukannya. Pada tahun kedua kekhilafahannya, Abu Bakar telah mendirikan ‘batu asas’ Baitul Mal iaitu dengan mengkhususkan suatu tempat di rumahnya untuk menyimpan harta yang masuk ke kota Madinah. Beliau membelanjakan semua harta yang ada di tempat tersebut untuk kaum Muslimin dan kemaslahatan mereka.
Setelah Abu Bakar wafat dan diganti oleh Umar, ketika itu juga Umar mengumpulkan petugas-petugas lalu memasuki rumah Abu Bakar seraya membuka Baitul Mal. Umar hanya mendapati ada satu dinar di dalamnya, itupun terjadi kerana kelalaian petugasnya. Ketika pembebasan-pembebasan (futuhat) wilayah lain semakin banyak dan kaum Muslimin berhasil membebaskan Rom dan Parsi, maka semakin banyak pula harta yang mengalir ke kota Madinah. Umar lalu membuat bangunan khusus untuk menyimpan harta (Baitul Mal), membentuk bahagian-bahagiannya, melantik para penulis, menetapkan santunan untuk para penguasa dan untuk keperluan pembentukan tentera. Demikianlah ringkasan kewujudan institusi Baitul Mal sebagai tempat menguruskan pendapatan dan perbelanjaan Negara yang wajib diuruskan oleh Khalifah dalam rangka memberi kemaslahatan kepada kaum Muslimin.
Baitul Mal terdiri dari dua qism (sektor) utama iaitu Qism Al-Waradat (Sektor Pendapatan Negara) dan Qism Al-Nafaqat (Sektor Perbelanjaan Negara). Al-Waradat merupakan sektor harta yang masuk ke dalam Baitul Mal yang mencakupi seluruh jenis harta yang menjadi sumber pendapatannya. Manakala Al-Nafaqat pula adalah sektor pengeluaran yang mencakupi semua jenis harta yang wajib dibelanjakan oleh Negara.
Qism Al-Waradat (Sektor Pendapatan Negara)
Di dalamnya terdapat beberapa Diwan (bahagian) yang sesuai dengan jenis hartanya:-
(A) Diwan Al-Fai’ Wa Al-Kharaj - Diwan ini merupakan bahagian yang bertanggungjawab atas penyimpanan dan pengaturan sumber pendapatan negara yang meliputi harta fai’ bagi seluruh kaum Muslimin. Ia juga menguruskan kemasukan dari dharibah (satu bentuk pungutan) yang diwajibkan ke atas kaum Muslimin tatkala sumber pendapatan Baitul Mal tidak mencukupi untuk memenuhi anggaran perbelanjaan yang bersifat wajib, baik dalam keadaan Negara mengalami krisis mahupun tidak. Untuk keperluan ini, dikhususkan suatu bahagian di dalam Baitul Mal di mana harta tersebut diuruskan untuk mengatur kepentingan kaum Muslimin serta kemaslahatan mereka sesuai dengan pendapat dan ijtihad Khalifah. Diwan Al-Fai’ Wa Al-Kharaj ini terdiri dari beberapa da’irah (unit) tertentu yang meliputi:-
(i) Da’irah al-Ghana’im - yang mencakupi harta ghanimah, anfal, fai’ dan khumus.
(ii) Da’irah al-Kharaj.
(iii) Da’irah al-Ardhi - yang mencakupi tanah yang dibebaskan secara paksaan (unwah), tanah usyriyah, as-sawafi, tanah yang dimiliki Negara, tanah milik umum dan tanah terlarang (yang dipagar).
(iv) Da’irah al-Jizyah.
(v) Da’irah al-Fai’ - yang menguruskan pendapatan dari harta as-sawafi, usyur, 1/5 harta rikaz dan bahan galian, tanah yang dijual atau disewakan dan harta pusaka yang tidak ada warisnya.
(vi) Da’irah al-Dhara’ib.
(B) Diwan Al-Milkiyyah Al-Ammah (Pemilikan Umum) - Diwan ini menguruskan segala aspek yang terkait dengan harta milik umum yang merupakan milik seluruh kaum Muslimin. Khalifah menggunakan harta ini untuk kepentingan kaum Muslimin berdasarkan keputusan dan ijtihadnya sesuai dengan hukum syarak. Diwan Pemilikan Umum ini juga dibahagi kepada beberapa da’irah berdasarkan jenis harta pemilikan umum tersebut iaitu:-
(i) Da’irah al-Nufut wa al-Ghaz (minyak dan gas).
(ii) Da’irah al-Kahraba’ (elektrik).
(iii) Da’irah al-Mu’adun (galian).
(iv) Da’irah al-Bahr wa al-Anhar wa al-Bahirat wa al-Uyun (laut, sungai, perairan dan mata air).
(v) Da’irah al-Ghabat wa al-Mara’ie (hutan dan padang ragut).
(vi) Da’irah al-Hima (tempat khusus yang dirizabkan oleh Negara).
(C) Diwan as-Sodaqat - Diwan ini menguruskan harta zakat yang wajib. Da’irah dalam Diwan as-Sodaqat ini disusun berdasarkan jenis harta zakat, iaitu:-
(i) Da’irah Zakat an-Nuqud wa Urudh al-Tijarah (zakat wang dan barang dagangan).
(ii) Da’irah al-Zuru’ wa al-Tsamar (zakat tanaman dan buah-buahan).
(iii) Da’irah al-Ibil wa al-Baqar wa al-Ghanam (zakat unta, lembu dan kambing).
Keseluruhan harta di dalam Diwan as-Sodaqat ditempatkan di dalam Baitul Mal secara khusus dan tidak boleh dicampur dengan harta lainnya di mana Allah SWT telah menentukan orang-orang yang berhak menerima zakat ini iaitu hanya lapan golongan sahaja sebagaimana firmanNya,
“Sesungguhnya sodaqat (zakat-zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang miskin, pengurus-pengurus zakat (amil), para mu’allaf yang dipujuk hatinya, untuk (memerdekakan) hamba, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah (fi sabilillah) dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan (ibnu sabil), sebagai suatu ketetapan yang diwajibkan Allah. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana” [TMQ at-Taubah (9):60].
Harta zakat tidak boleh diberikan kepada selain daripada lapan golongan tesebut [Berikut adalah gambarajah Qism Al-Waradat dalam Daulah Khilafah].
[sila lihat versi pdf utk gambarajah]
Qism Al-Nafaqat (Sektor Perbelanjaan Negara)
Qism Al-Nafaqat menguruskan perbelanjaan negara dan harta yang mesti dibelanjakan oleh Baitul Mal untuk pelbagai keperluan termasuk pembiayaan Baitul Mal itu sendiri. Qism An-Nafaqat ini juga mengandungi beberapa Diwan:-
(A) Diwan al-Khilafah - yang terdiri daripada :-
(i) Dar al-Khilafah.
(ii) Maktab al-Mustasyarin (Penasihat).
(iii) Maktab Mu’awin al-Tafwidh.
(iv) Maktab Mu’awin al-Tanfidz.
(B) Diwan Masalih al-Daulah - yang terdiri daripada unit-unit berikut :-
(i) Da’irahAmir al-Jihad.
(ii) Da’irah al-Wulat (wali / gabenor).
(iii) Da’irah al-Qudhat (qadhi / hakim).
(iv) Da’irah al-Masalih al-Daulah wa al-Dawa’ir wa al-Idarat wa al-Marafiq al-Ammah al-Tabi’ah Laha (Kemaslahatan Negara dan lain-lain).
(C) Diwan al-I’tha’ (Pemberian) - Diwan ini menguruskan harta yang menurut pendapat Khalifah berhak untuk diberikan kepada golongan yang memerlukan seperti fakir, miskin, mereka yang dalam keadaan sangat memerlukan, yang berhutang, yang sedang dalam perjalanan, para petani, para pemilik industri dan lain-lain golongan yang menurut Khalifah mendatangkan maslahat bagi kaum Muslimin serta layak diberi subsidi.
(D) Diwan al-Jihad - yang meliputi:
(i) Diwan al-Jaish, Insya’an wa Takwinan wa I’dadan wa Tadriban (pasukan tentera, rekrutmen, persiapan dan latihan).
(ii) Da’irah al-Taslih (persenjataan).
(iii) Da’irah Sona’ah Al-Islahah (industri ketenteraan)
(E) Diwan Masarif al-Sadaqat (pengelolaan harta zakat) - pembiayaan diwan ini datang dari harta zakat.
(F) Diwan Masarif al-Milikiyyah al-Ammah (pengelolaan harta milik umum) - Diwan ini dibiayai dari Diwan al-Milkiyyah al-Ammah berdasarkan pendapat Khalifah yang sesuai dengan ketentuan syarak.
(G) Diwan al-Thawari’ (darurat atau bencana alam) - Diwan ini memberikan bantuan kepada kaum Muslimin tatkala wujud keadaan darurat/bencana mendadak seperti gempa bumi, taufan, kelaparan dan sebagainya. Biaya yang dikeluarkan oleh Diwan ini diperolehi daripada bahagian pendapatan Diwan al-Fai’ wa al-Kharaj dan juga dari Diwan al-Milkiyyah al-Ammah. Apabila tidak terdapat harta dalam kedua-dua Diwan tersebut, maka keperluannya dibiayai dari harta kaum Muslimin (samada dari sumbangan sukarela atau dharibah).
(H) Diwan al-Muwazanah al-Ammah wa al-Muhasabah al-Ammah wa al-Muraqabah (bajet umum, akaun umum dan pengawasan) - Al-Muwazanah al-Ammah adalah badan yang mempersiapkan anggaran pendapatan dan perbelanjaan negara (bajet) yang akan datang (mengikut pendapat Khalifah) berdasarkan jumlah pendapatan dan pembelanjaan harta yang ada dalam Negara. Hal ini dilakukan dengan mempertimbangkan pendapatan dan perbelanjaan sebenar secara umum dengan mengambil kira jumlah pendapatan dan perbelanjaan Negara yang sedang berjalan secara terperinci. Diwan ini terkait rapat dengan Dar al-Khilafah. Al-Muhasabah al-Ammah pula menguruskan seluruh aspek akaun harta Negara. Al-Muraqabah pula bertugas memeriksa, mengawasi dan meneliti secara mendalam segala urusan yang terkait dengan harta Negara. Badan ini akan menjalankan fungsi pengawasan terhadap harta Negara di mana ia akan mengawasi jumlah dan status harta yang ada, keperluan Negara, pendapatan Negara, pembelanjaan Negara, mempertanggungjawabkan para pegawai yang mengelolakan harta-harta tersebut serta mengawasi urusan administrasi seluruh struktur Diwan dan administrasi Negara [Berikut adalah gambarajah Qism Al-Nafaqat dalam Daulah Khilafah].
[sila lihat versi pdf utk gambarajah]
Inilah antara struktur administrasi sistem kewangan Negara Khilafah secara umum yang jauh berbeza dari sistem Kapitalisme yang diamalkan pada hari ini. Dalil yang menyokongnya diambil dari fakta bahawa keseluruhan struktur ini merupakan sarana yang akan menjadikan aktiviti kenegaraan lebih efektif dan efisien. Rasulullah SAW telah mengatur masalah adminisrasi Negara secara langsung dan baginda jugalah yang melantik para pegawai untuk urusan tersebut. Dalam konteks pengaturan hal ehwal kewangan Negara (penggunaan dan penetapan bahagian-bahagian Baitul Mal), perkara ini terus berlanjutan pada zaman Khulafa’ ar-Rasyidin dengan disaksikan dan diketahui oleh para sahabat tanpa ada penolakan oleh seorang pun dari mereka. Inilah sebahagian dari sistem-sistem Islam yang menjadi kewajipan ke atas kita untuk menerapkannya dan menjadi kewajipan juga ke atas kita untuk membuang sistem kapitalisme yang ada pada hari ini yang sudah terbukti rosak lagi merosakkan. Wallahu a’lam. [Perbincangan di atas dipetik dari kitab Al-Amwal Fi Daulah al-Khilafah karya Syeikh Abdul Qadim Zallum. Penjelasan menyeluruh mengenainya beserta dengan nas-nas yang terperinci terdapat di dalam kitab tersebut].
Tiada ulasan:
Catat Ulasan