Sekumpulan warga Indonesia yang menggelar diri mereka sebagai Benteng Demokrasi Rakyat (BENDERA) mula bertindak liar dengan mengugut rakyat Malaysia dengan buluh runcing di Jalan Diponegoro dan lebih 360 sukarelawan ‘ilmu kebal’ yang dilaporkan sudah mendaftar dan bersedia untuk mengganyang Malaysia.
Angkara kebencian mereka yang memuncak sehingga kepada tahap yang serius dan menakutkan, Jabatan Penuntut Malaysia di Jakarta menasihati semua pelajar Malaysia di seluruh Indonesia supaya sentiasa berhati-hati serta agar jangan sekali-kali melalui Jalan Diponegoro bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.
Kebencian segelintir rakyat negara Indonesia itu yang semakin memuncak berikutan penyebaran pelbagai fitnah yang terus diapi-apikan oleh media massa tempatan dan dikaitkan pula dengan isu-isu lampau yang diungkit semula.
Walaupun penafian telah dibuat bahawa Malaysia tidak pernah "mencuri" tarian itu untuk iklan video klip promosi pelancongan negara yang sebenarnya dibuat sebuah syarikat swasta yang berpejabat di Singapura, namun hakikat itu "jatuh ke telinga yang tuli dan mata yang buta". Tetapi yang hairannya, sebuah stesen TV yang baru saja menyiarkan program dialog di mana seorang pegawai tinggi Kementerian Luar Indonesia memberikan penjelasan bahawa Malaysia tidak pernah mengakui Pendet sebagai tarian berasal dari Malaysia, namun stesen TV yang sama juga kemudian mengulangi lagi tuduhan yang serupa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan