Bebas bersuara secara sihat
Oleh JULIA ISMAIL
julia.ismail@kosmo.com.my
9 FEB 2010
Mahasiswa universiti kini tidak perlu lagi menulis surat layang atau bersuara melalui blog untuk menyatakan pendapat. Sudut Pidato yang diperkenalkan kembali di semua universiti memberi peluang pelajar bebas bersuara.
SETELAH menyepi selama 40 tahun, Sudut Pidato kini kembali memberi peluang kepada mahasiswa seluruh negara menyuarakan pendapat dan juga menyampaikan mesej kepada penghuni kampus.
Sebelum Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) digubal sekitar tahun 70-an, pelajar universiti bebas bersuara menyatakan pendapat mengenai pelbagai isu berhubung perlembagaan dan juga politik.
Namun, berikutan pindaan AUKU pada 1975 kebebasan itu ditarik balik sehinggalah ia diwartakan semula pada Februari tahun lepas.
Satu sudut disediakan bagi pelajar berpidato secara bebas dan menyampaikan apa sahaja yang mereka ingin luahkan tanpa gangguan.
Kini, setelah pindaan AUKU dilakukan pada tahun 2008 pelajar kembali mendapat apa yang mereka pernah perjuangkan sebelum ini.
Menurut Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifudin Abdullah, setelah pindaan tersebut dibuat banyak institusi pengajian tinggi (IPT) telah menghidupkan semula Sudut Pidato masing-masing.
|
MENTERI Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (kiri) ketika merasmikan Sudut Pidato di UKM sambil diperhatikan naib canselor universiti itu, Tan Sri Datuk Dr. Sharifah Hapsah baru-baru ini.
|
Ia bertujuan memberi kembali kebebasan bersuara tanpa had kepada para mahasiswa yang telah disekat sebelum ini.
"Banyak IPT telah menghidupkan semula sudut pidato mengikut cara mereka sendiri. Terpulang kepada IPT bagaimana mereka ingin mengimplementasi sudut ini.
"Ia memberi peluang kepada pelajar melontarkan pandangan sama ada berbentuk cadangan, pandangan mahu pun kritikan terhadap perundangan atau politik negara," katanya.
Walaupun kini ramai yang lebih suka menggunakan medium Internet seperti blog,
Facebook,
Twitter atau sebagainya, masih ada golongan yang suka kepada pidato. Menulis tidak sama dengan lontaran suara yang lebih jelas dari segi pengisian topik dan juga penekanan intonasinya.
Kata Saifuddin, mungkin ramai yang tidak gemar memasuki pertandingan pidato yang terlalu formal atau pun mereka tidak berpeluang menyertainya. Di sudut inilah tempat terbaik mereka menyuarakan pendapat dan mengasah bakat.
|
SEBELUM ini blog menjadi platform mahasiswa melontarkan idea.
|
Secara tidak langsung, negara mampu menghasilkan graduan yang cemerlang dari segi pendidikan dan mempunyai kemahiran dalam pengucapan awam.
"Jangan letakkan terlalu banyak peraturan sehingga menyebabkan pelajar tidak berminat untuk berpidato. IPT perlu memberi kelonggaran dan kebebasan kepada mereka untuk berpidato di sudut ini. Cukuplah sekadar memantau bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku," katanya.
Banyak universiti telah melaksanakan sudut pidato mereka dan antaranya ialah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaya (UM).
Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UM, Prof. Madya Datuk Dr. Azarae Idris, dahulu sudut pidato merupakan sebahagian daripada aktiviti dan hiburan para pelajar.
"Dulu tak ada hiburan selain berpidato secara terbuka di bawah pokok. Mana ada Internet dan pusat beli-belah. Ini adalah apa yang mereka suka lakukan.
"Orang dulu semua benda buat bawah pokok. Belajar bawah pokok, lepak bawah pokok dan macam-macam lagi," katanya merujuk kepada Sudut Pidato UM yang terletak di Dataran Kompleks Perdanasiswa.
Prof. Azarae memberitahu, pihak universiti masih lagi meneliti syarat dan peraturan pelaksanaannya namun apa yang penting ia akan memberi kebebasan kepada pelajar untuk berpidato tanpa sekatan.
Namun, UM tetap akan meletakkan syarat iaitu tidak membuat pengucapan yang menyentuh pelbagai sensitiviti seperti agama, kaum, dan dakwah keagamaan.
Sudut pidato itu juga tidak mempunyai kekebalan Parlimen dan mereka yang berpidato bertanggungjawab terhadap setiap apa yang diucapkan.
UM akan menyediakan peralatan seperti pembesar suara dan juga kawasan untuk berpidato. Kemudian terpulang kepada pelajar bagaimana mereka ingin menggunakannya.
Pemidato sulung
SUDUT pidato mendidik mahasiswa menyatakan pandangan mereka melalui pengucapan umum.
Bagi pelajar tahun dua Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan Pengajian Islam, Mohd. Asri Zulkifli, 22, peluang menjadi pelajar pertama menaiki pentas Sudut Pidato UM adalah amat berharga baginya.
"Apabila Timbalan Menteri membuka peluang kepada sesiapa yang ingin berpidato, tanpa berfikir panjang saya menawarkan diri kerana ia adalah peluang yang datang hanya sekali.
"Pihak UM telah menyediakan borang untuk sesiapa yang ingin berpidato tetapi saya sangat bertuah kerana menjadi orang yang pertama kerana dipanggil secara spontan," katanya.
Kata Mohd. Asri, walaupun ia mungkin tidak menjadi sehebat dulu, sudut tersebut akan menjadi platform kepada dirinya dan juga mahasiswa lain menyuarakan pendapat mengenai pelbagai isu yang sebelum ini tidak didengari oleh pelbagai pihak.
Ia pasti akan digunakan setiap kali terdapat isu-isu hangat negara yang memerlukan pendapat dari golongan muda selain daripada isu-isu dalaman kampus.
Menurut Ridzuan Mohammad, 24, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam sudut tersebut bukanlah gimik semata-mata tetapi harus dijadikan budaya yang berterusan.
Beliau yang sememangnya seorang pemidato dan bekas Yang Dipertua, Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) berharap semangat untuk berpidato di kalangan pelajar harus kekal dan jangan hangat pada permulaan sahaja.
"Ia akan menjadi medan bersuara di kalangan pelajar dan ia patut dibudayakan. Jangan hanya rancak ketika pelancaran.
"Suara-suara mahasiswa boleh dijadikan sebagai teguran dan cadangan yang membina," katanya.
Walaupun tidak ada kawalan daripada pihak pentadbiran, Ridzuan berkata pelajar harus dididik dengan tanggungjawab integriti terhadap setiap pengucapan mereka.
Orang lama
|
SEKUMPULAN pelajar memberikan pelbagai reaksi sewaktu melihat rakan mereka berucap di Sudut Pidato.
|
Pelancaran semula Sudut Pidato UM dilakukan dengan penuh unik apabila Dr. Ahmat Adam iaitu salah seorang pelopor aktiviti Sudut Pidato UM pada sekitar tahun 1970-an dijemput untuk kembali ke pentas pidato terbuka itu.
Ahmat masih berkhidmat di UM sebagai Felo Penyelidik Kanan, Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial.
UM memperuntukkan beberapa slot waktu yang dikhaskan untuk para pelajar mempamerkan kemahiran berhujah masing-masing iaitu dua sesi pada setiap hari Isnin hingga Khamis (1 tengah hari hingga 2 petang dan 4.30 petang hingga 6.30 petang). Satu sesi pada hari Jumaat pula diadakan pada pukul 3 petang hingga 6 petang.
Sudut Pidato UM turut dibuka sepanjang tempoh berkempen Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar UM yang berlangsung baru-baru ini.