SABAK BERNAM – Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun melalui pengalaman mengerikan apabila melecur anggota badan apabila terjatuh dalam periuk di sebuah rumah jirannya, di Parit 11 Sungai Panjang, di sini, 17 Mei lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa, Annur Iman Mohd Nizam, berusia dua tahun ketika itu sedang duduk di kerusi kayu belakang rumah jirannya sebelum dia tiba-tiba terjatuh ke dalam periuk hidangan sup ayam berkenaan.
Ibu mangsa, Radziah Md Zakaria, 34, berkata, semasa kejadian, anaknya itu sedang leka bermain dulang atas meja kerusi terbabit sambil dia menyuapkan makanan kepada anak bongsu daripada empat beradik itu.
“Tiba-tiba anak saya tergolek ke belakang dalam keadaan terlentang dan kemudiannya dia menjerit kesakitan apabila badannya kepanasan selepas terjatuh dalam periuk terbabit,” katanya kepada Sinar Harian.
Radziah berkata, dalam keadaan panik itu, dia terus memegang kedua tangan anaknya keluar daripada periuk dan terus menyiram anggota badan Annur Iman menggunakan paip berhampiran bagi melegakan kesakitan yang dialami.
“Saya dapati terdapat kesan lecur pada bahagian kanan iaitu pada badan; tangan dan kepala serta sedikit kesan yang sama pada tangan kiri dan di bahagian belakang kepala anak saya.
“Pada masa itu, Annur Iman hanya meraung sekuat-kuatnya. Saya hanya mampu ucap ‘Astagfirullah’ dan kemudiannya kami terus membawanya ke sebuah poliklinik swasta di Sungai Besar bagi mendapatkan rawatan,” katanya.
Radziah berkata, anaknya itu terpaksa bergantung sepenuhnya pada ubat sapu dan jeli gamat bagi memulihkan kesan lecur yang dialami dan keadaannya semakin pulih selepas menerima rawatan dua hari sekali di poliklinik terbabit.
“Doktor kata anak saya boleh elok, tetapi memakan masa lama untuk kembali pulih sepenuhnya. Bagaimanapun, setelah seminggu ini, saya dapati sel kulit baru pada anggota badannya mula tumbuh dan menunjukkan perkembangan positif,” katanya.
Katanya, dia ke rumah jirannya itu kerana menghadiri undangan kenduri doa selamat selain turut membantu mereka menyediakan juadah makanan di dapur untuk dihidangkan kepada tetamu yang hadir.
“Alhamdulillah anak saya semakin sembuh dan saya anggap ini sebagai satu dugaan kepada saya yang pertama kali mendapat anak perempuan dan reda dengan apa yang berlaku, selain memanjatkan kesyukuran kerana semuanya selamat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan